Tuesday, June 28, 2016

Sebulan berkampung di Hospital Universiti Sains Malaysia

 


Assalamualaikum semua dan apa khabar...

(Erk perlu ke aku menyapa macamni untuk setiap entri blog aku?).. maafkan di atas kedaifan aku menulis blog, blogging ni experience baru tau. ramai yang pesan supaya rajin rajinkan lah diri pergi melawat blog orang lain nak collect ilmu bagaimana cara mereka update blog, tapi tu la nak harapkan aku membaca dari blog orang lain, kalau kena dengan masa aku, banyak sungguh la pembacaan aku haritu.
 
Baiklah sambungan cerita sebelum ni..(boleh baca di sini)..
Aku dibawa ke hospital berdekatan di daerah itu dahulu, kemudian aku dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. di situ ada pakar otak..
Sewaktu aku dapat offer sambung belajar selepas SPM dulu, salah seorang kakak aku menasihati supaya melakukan solat sunat istikharah agar dapat membuat pilihan yang terbaik. dalam beberapa tawaran yang aku terima, ada antaranya offer untuk sambung belajar di matrikulasi di negeri aku menetap, tetapi uitm kelantan ini menjadi pilihanku. sekarang mungkin ini hikmahnya, kalau tak silap rasanya pakar otak di Malaysia hanya di beberapa tempat sahaja, antaranya di husm kubang kerian, HKL dan beberapa tempat lain lagi.. sekurang kurangnya aku di sini tidak terlambat dirujuk kepada pakar..
Setelah ahli keluarga aku menerima berita ini, mak, ayah dan salah seorang kakakku dengan segera terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh ini.. perjalanan dari rumah kami ke kelantan memakan masa 8jam. mungkin itu 8jam terpanjang dalam hidup mereka!.





3 Oktober: operation kali pertama.


Sekitar jam 1:30 tengahari pada 2 Oktober, mak dan ayah aku dimaklumkan bahawa aku baru sahaja dipindahkan ke husm Kubang Kerian. tiga orang ahli keluarga aku yang berkesempatan untuk terus datang setelah menerima panggilan pagi tadi akhirnya selamat sampai di Kubang Kerian jam 6 petang.
Setibanya mereka di sana, sudah semesti medical officer UiTM turut berada di sana juga, beliau amat bertanggungjawab menguruskan banyak perkara dalam hal ini. satu lagi pihak yang banyak membantu keluarga aku adalah schoolmate aku yang perempuan tu bersama sama dengan kakak saudaranya. kebetulan juga kakak saudaranya merupakan student master di husm ketika itu, mereka banyak membantu dari mula lagi. sewaktu ahli keluarga aku tersesat dalam perjalanan ke husm petang tersebut pun, mereka sudah mula menghulurkan bantuan.. Terima kasih, baik sungguh orang orang begini, semoga Allah membalas pertolongan semua orang yang cuba membantu.
Tepat jam 12 tengah malam, mak dan ayah aku harus membuat keputusan untuk pembedahan di kepala aku, pembedahan perlu dilakukan kerana terdapat darah dalam otak aku di bahagian cerebellum. secara officialnya, aku masuk bilik operation jam 3 pagi, 3 oktober 2011 untuk pembedahan kepala. lebih kurang dua jam aku dalam tu. pada masa sekarang kakak aku simpulkan secara ringkasnya, segala yang mereka lalui di awal babak di hospital dahulu tak jauh beza macam dalam drama drama melayu, yang mana waris si pesakit harus buat keputusan di luar bilik operation, waktu kemuncak bagi sesebuah drama melayu kan. tapi itu lakonan, yang realitinya di sini.





4 Oktober: operation kali kedua.


Setelah menjalani pembedahan kali pertama di kepala pada pagi 3haribulan, aku dimasukkan ke unit rawatan rapi (icu). aku bagaikan patung, kaku tidak memberi respon sekalipun dipegang oleh mak aku, yang berbunyi hanyalah life support machine. pada keesokkan harinya pula 4haribulan Oktober, sekitar jam 9 pagi sekali lagi aku dimasukkan ke bilik operation. apa yang diceritakan pada aku pembedahan kali kedua yang aku jalani ini mungkin untuk menyelesaikan sepenuhnya pembedahan kali pertama kerana pada pagi 3haribulan tersebut berkemungkinan mereka dalam keadaan telah letih menguruskan pesakit yang agak ramai sebelum itu. hmm aku sendiri tak berapa pasti pasal ni. operate kali kedua ni mungkin juga untuk matikan urat yang masih ada bersimpul.
Yang pasti tengkorak kepala yang ditebuk lebih kurang sebesar duit syiling dua puluh sen yang lama.


Ok yang ni clear sikit, tapi gambar ni setahun selepas pembedahan.
Masa ni potong rambut guna tenaga orang yang jaga aku je, mak dan kakak aku. disebabkan masa ni aku masih belum mampu untuk melangkah dan menapak lagi, apatah lagi untuk berdiri sendiri, bergerak pun guna kerusi roda dan kalau nak laju elok orang yang tolakkan kerusi roda tu, maka terlalu rumit untuk bawa aku ke kedai gunting rambut. yang termampu dilakukan, mereka pakaikan aku plastik alas meja untuk menutup badan semasa kerja kerja memotong dijalankan. seorang sodok je la rambut aku tanpa peraturan, asalkan berpotong. dan seorang lagi mesti jadi tukang kipas aku, biasanya tugas mengipas tu digalas kakak aku. tukang kipas sangat diperlukan sebab ketika tu aku memang tak boleh panas langsung. ini 100% homemade lah ni.







5 Oktober: sain minta kebenaran penjaga untuk tebuk leher si pesakit.


Menurut doktor selain mangsa mangsa kemalangan jalan raya, pesakit yang mengalami koma atau pengsan berpanjangan juga turut terdedah kepada masalah kesukaran untuk bernafas secara normal di mana penyebab utamanya adalah kerana kecederaan laring (di leher) yang dialami pesakit. oleh sebab itu aku memerlukan alat bantuan pernafasan. seperti kebiasaan pesakit yang menggunakannya, mereka akan bernafas melalui tiub ini dan mereka juga tidak boleh bercakap secara normal kerana udara yang masuk melalui leher yang ditebuk menyukarkan mereka bertutur.

Sedikit info untuk dikongsikan;

 * Terima kasih info dari google tu tau..


Antara masalah yang dihadapi pesakit yang menggunakan tiub ini mereka akan mengalami batuk dan kadang kala batuk tersebut berlendir. maka di sini tekak aku akan dijolok menggunakan seakan akan satu getah tiub berbentuk straw untuk membuang kahak tersebut..





9 Oktober: pindah katil ( ICU 2 ke HDU 6 ).


Aku masih lagi di tempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bilik 2 di wad delima. ramai yang datang melawat sejak 2 haribulan tempoh hari, ahli keluarga, kawan kawan rapat dan saudara mara dari luar negeri kelantan, dari jauh mereka datang. lecturer lecturer tempat aku study, dan aku diberitahu seluruh coursemate turut menziarahi aku, sungguh tak disangka sebab aku pun belum tentu kenal mereka semua. khabarnya, 2 haribulan yang lalu selesai urusan mereka di dalam dewan exam, mereka bergegas melawat aku, memberi kata kata semangat "aku kuat" dan sebagainya. pasti terganggu emosi mereka semua untuk exam ketika itu. aku tak pasti kebenaran cerita tu, yang aku tahu antara perasaan terharu dan malu aku tu sama banyak je.
Wayar penuh berselirat atas badan aku, ahli keluarga yang bercerita pada aku pun tak pasti wayar apa semua ni, 20 wayar yang sempat mereka kira, yang selebihnya tu masih banyak lagi.
Kira kira dua hari yang lepas iaitu 7 Oktober aku telah sedar sepenuhnya, lebih kurang lima ke tujuh hari aku koma. wayar di seluruh badan aku yang banyak itu mula ditanggalkan. yang masih ada hanyalah wayar di dada, wayar di kepala, kateter ataupun dalam bahasa mudahnya tiub saluran kencing, tiub di hidung dan bantuan pernafasan di leher (tiub tracheostomy). kemudian baru aku dipindahkan ke highdependcy unit (HDU) katil 6. masih lagi di wad yang sama, wad delima.





10 Oktober: pindah wad Delima ke wad Intan, mereka belajar gerakkan sendi aku.


Aku dipindahkan pula dari highdependcy unit di wad delima ke wad intan yang merupakan wad nuero ketika itu. boleh dikatakan hampir keseluruhan hari hari aku di wad tu dihabiskan dengan demam, lebih kurang 2 minggu juga la.


Seperti biasa jadual di hospital, setiap pagi pesakit harus bersiap sebelum ketibaan doktor melawat wad, nurse nurse akan menyediakan pesakit dalam keadaan yang cantik bersih. keesokkan paginya, mereka yang menjaga aku diajarkan untuk menggerakkan tangan dan kaki aku, aku perlu di fisio. takkan la nak dibiarkan terbaring kaku macam sudah menyerah kalah. Teringat kata kata dari seorang penulis blog Aku Kah Itu yang diuji dengan anaknya yang sakit, 'mata yang memandang tidak akan tahu beratnya bahu yang memikul'.





12 Oktober: kaksu mula membantu.


Kalau tak silap aku, Su Yee(kaksu) ketika ini merupakan student degree di husm. maaflah kalau aku silap mengeja dengan betul nama insan yang bantu meringankan beban keluargaku ini. Beliau mula membantu menjaga aku selepas dipindahkan ke wad intan dua hari yang lepas memandangkan hal hal berkaitan penjagaan aku sangat berat, meletihkan mereka semua. letih mental dan emosi mereka. dengan aku yang perlu difisio nya, diberi minum susu ikut wayar susu, tekak aku perlu dijolok untuk buang kahak. dan macam macam hal lagi yang aku sendiri tak sempat nak bersoal jawab dengan mereka. Dari jam 8 pagi ke 8 malam beliau akan menjaga aku. manakala jam 8 malam hingga 12 tengah malam giliran kakak aku. seterusnya giliran mak aku pula yang menjaga aku sehinggalah jam 6 pagi.





14 Oktober: aku keluarkan lidah.


Berdasarkan catatan yang sangat ringkas daripada kakak aku disebabkan sibuk menjaga aku, tiada apa apa perkara besar pun yang berlaku. cuma dua hari lepas aku cuba untuk bercakap tapi tak boleh keluar suara. aku sendiri memang tak ingat dan ingin tau apa yang aku mahu katakan masa tu.. seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, aku tak dapat mengeluarkan suara kerana tekak aku yang ditebuk.
Untuk 14haribulan pula, kakakku sekadar ingin menyatakan pada hari tersebut aku sudah bergerak sedikit, untuk permulaan aku telah mengeluarkan lidah. bukan la seperti dalam ICU yang hanya terbaring je. kaku dan bisu.





16 Oktober: mula buang air besar.


Ini adalah kali pertama sejak 2 haribulan yang lepas. seperti catatan yang teramat ringkas dari kakak aku, 2 hari kemudiannya pun perkara yang sama berlaku. doktor ada memberikan sejenis ubat kepada aku kerana hal ini berlanjutan walaupun aku telah sedar dari koma dan ini membimbangkan mak aku.





20 Oktober: buat angiogram jam 2:45 petang.


Memandangkan ahli keluarga aku datang dari jauh ke Kelantan dan sudah hampir 3 minggu mereka bersusah payah tinggal di sini sementara menunggu aku, mak aku bercadang untuk balik. keadaan aku yang 50-50 ke arah mati tu di tambah pula permintaan untuk pulang ke tempat kami dapat la dipertimbangkan. angiogram perlu dibuat untuk report mereka supaya mudah nak refer kan kes aku ke mana.
Angiogram masa ni aku tak ingat satu habuk pun. tapi peluang aku untuk merasai 'pengalaman angiogram' ni datang sekali lagi pada tahun 2014. Pada penghujung tahun 2013 aku kerap muntah muntah. kali terakhir muntah waktu tu ada sedikit darah (tapi darah tu doktor kata bukan indikasi apa apa pun, mungkin tekak aku terluka masa muntah je).
Rentetan itu, mak aku usahakan untuk rujuk masalah aku di hospital terdekat. setelah berbincang dengan pihak hospital, mereka aturkan appointment aku di HKL bulan tiga 2014 untuk menjalani angiogram. Mula mula aku masuk satu bilik khas, mak aku perlu tunggu di luar. setelah aku baring dan dikelilingi 5 ke 6 orang yang aku sendiri tak pasti apa pangkat mereka, mereka mula 'mengerjakan' aku.. pangkal paha kaki kiri aku disuntik, kemudian tak lama lepastu ada satu alat macam skrin besar atas kepala aku. dalam keadaan mata aku yang terpejam, aku dapat lihat cahaya bergerak pada skrin tu sama macam mesin photostate. dan ada ketika ketikanya, bahagian pipi aku terasa panas secara tiba tiba, kemudian beralih ke bahagian mata aku pula panas. takut juga la. masa tu aku ditegur sebab mengerutkan dahi, jangan buat pergerakan yang terlalu besar katanya. hehe manalah aku tau. setelah selesai, akhir sekali mereka mencabut seakan akan satu dawai melalui pangkal paha kiri aku dan tunjukkan ke arah aku sambil lalu saja, mungkin dawai tu sepanjang paku 5 inci yang dipenuhi darah. tapi diameternya bukan setebal paku, hanya seperti dawai besi.





26 Oktober: tekak ditutup.


22 Oktober yang lalu aku sudah tidak menggunakan bantuan pernafasan. cuma tiub tracheostomy masih ada di leher aku walaupun tong oksigen sudah tidak digunakan. beberapa hari selepas tidak menggunakan bantuan pernafasan aku masih lagi batuk, tapinya hanya batuk kosong tiada kahak. harini tiub tracheostomy tu pula dicabutkan dari leher aku. leher aku tu kalau tak ditutup memang berlubang la buat masa ni, jadi menurut cerita kakak aku dia pun tak sure mungkin ada macam kain atau kapas yang menutupi tekak aku tu. orang yang bekerja di hospital pasti faham apa yang aku maksudkan ni.
Maka bermulalah kehidupan aku tanpa alat bantuan pernafasan, tanpa tiub tracheostomy, tanpa suara. untuk beberapa bulan pertama ni aku akan menjadi bisu atau mungkin selamanya, eh tapi waktu ni aku memang tak bercakap pun, apa yang aku nak cakapkan? pandangan aku pun tembus ke dinding, badan aku keras. susah untuk mereka kendalikan aku.





27 Oktober: pindah ke Wad Selatan, cabut sendiri wayar hidung.


Episod episod terakhir kami di kelantan, aku dipindahkan ke wad selatan pula kali ini, wad selatan yang merupakan wad biasa sahaja..



Kata kakak aku, aku sangat buas waktu di wad ni. kali pertama aku cabut sendiri wayar dari hidung, kemudian nurse akan pasangkan semula. beberapa kali benda ni berulang dan akhirnya wayar susu tadi terus tak dipasang terus. akhirnya aku tak lagi menggunakan wayar susu di hidung, sebaliknya makan bersuap saja.








29 Oktober: tak pakai kondom.


Satu malam di wad Selatan mak aku meminta nurse untuk mengikat aku atas sebab kenakalan aku yang tak mahu tidur malam tu, bergerak gerak, beralih alih, tidur terbalik, aktif sangatlah maksudnya ni.. aku mula buas setelah berpindah ke wad ini sejak beberapa hari yang lalu. kata nurse lelaki di situ, itu tandanya aku normal, sihat..
Hari ini juga kateter telah ditanggalkan daripada badan aku secara rasmi dan diiktiraf, bukan aku yang menanggalnya sendiri, dan bermulalah kehidupan aku memakai pampers semula di usia yang hampir mencecah 20an.





30 Oktober: jejak kaki atas lantai.


Dengan bantuan Su Yee dan kakak aku, aku cuba untuk bangun. badan aku mengiring ke sebelah tepi, aku menggunakan kedua dua belah tanganku menolak badanku sepenuh tenaga sambil dibantu oleh mereka sehingga kaki aku dapat diturunkan dari katil. konon je nak bangun tu, itu pun orang tolong.


Sekitar awal bulan depannya pula aku ditransferkan ke hospital di negeri kami menetap, dekat la sikit..












P/s:
maaf la kalau ada jalan cerita yang kurang betul, tentang pembedahan ataupun segala fakta berkaitan urusan di hospital yang kurang tepat. harap pihak yang terlibat tak terasa hati, baik ahli keluarga sendiri mahupun orang orang yang membantu, macam nak kena reka fairytale pula.

Akhir kata, kepada seluruh umat Islam selamat berpuasa untuk beberapa hari lagi yang tinggal..

Sunday, June 12, 2016

Haih, kenapa sekejap sangat?




Tamat sekolah waktu tingkatan lima dulu aku tak bawa balik result SPM yang begitu cemerlang, cukup cukup makan je. aku juga ada ditawarkan untuk sambung belajar di beberapa tempat. dengan result SPM aku tu, aku memilih untuk ke UiTM kelantan, buat diploma 3 tahun. hari pendaftaran bagi pengambilan pelajar baru sekitar minggu depannya, aku kesibukan membeli segala keperluan dan kelengkapan nak merantau ni.
Aku tiada abang kandung, yang ada hanya kakak kakak sahaja. merekalah yang menemani, membantu, dan melayan karenah aku bershopping untuk ke UiTM. kami turut sertakan sekali aktiviti bermandi manda di Ulu Yam ke dalam tentatif program kami.. mak dan ayah sibuk mencari rezeki masa tu, tapi kami seronok tetap seronok.

Perjalanan dari rumah ke Kelantan bukanlah dekat, jauh kalau nak ke sana. akhirnya hari untuk bertolak ke Kelantan pun tiba, seperti pengguna jalanraya yang lain kebanyakan mereka memilih waktu siang untuk memulakan perjalanan yang jauh, begitu juga kami. dalam perjalanan tersebut kami hampir terbabas selepas melalui satu kawasan yang agak berbukit di sebabkan nak mengelak daripada segerombolan lembu yang melintas di tengah tengah jalan, yang jadi masalah tu bila ada seekor yang lambat tercicir jauh dari kumpulan tersebut. memang cemas la, sebab ketika tu mak aku sedang memecut laju. namun perjalanan diteruskan sebab tiada perkara serius yang berlaku. yang pasti jalanraya di kawasan tu agak buruk, berombak ombak dan sebagainya. kereta dipandu dalam kategori laju walaupun kelajuannya yang terkawal. nak di jadikan cerita, jalanraya yang berlekuk lekuk dan kereta dipandu laju adalah gabungan yang menarik untuk membuatkan kenderaan kita mengalami masalah. ya, tayar kereta kami telah pancit.
Aish banyak betul halangan kami nak pergi mendaftarkan aku di UiTM ni, macam tak bagi aku pergi je kan. mujur aku dan ayahku mampu menjadi mekanik tidak bertauliah. berpeluh peluhlah di bawah terik matahari tu nak menukar tayar, nasib baik ini bukan hari pendaftaran aku sebagai pelajar. peluh pun dah macam ketika bermain futsal ni.
Disebabkan program yang menjadi tujuan utama kami ke Kelantan akan bermula esok, kami putuskan untuk tidur bermalam di homestay yang terletak tidak jauh dari UiTM. sebelum ke homestay mesti penuhkan perut, tambah tambah lagi badan berada dalam keadaan yang letih. dalam perjalanan ke homestay pun sempat lagi kami singgah di kedai tepi jalan untuk memenuhkan ruang kosong di dalam perut ni, kami makan durian! malam tu tengah tengah hujan pun bersungguh berhenti semata mata sebab ada durian. bak kata loghat kampung aku, 'sehe' berhenti makan durian.

Pagi pagi lagi aku dah kena bersiap pakai kemeja dan berseluar slack, tuck in dan siap bertali leher. fuh nasib baik malam tadi aku sempat pelajari secara ringkas daripada ayah aku cara nak ikat tali leher, entah untuk kali yang ke berapa dalam hidup aku, masih lagi lupa. setelah bersiap hasilnya aku kelihatan macam mahasiswa yang berjaya, erk. segalanya nampak baik dan berjalan lancar je pagi tu, sehinggalah masa kami bertolak dari homestay untuk ke UiTM. sesat pula pagi tu, bila tanya penduduk sekitar tu arah manakah yang patut kami tuju untuk ke destinasi, barulah kami sedar kami dah jauh menyimpang. alahai sesat pulak, ni petanda tak nak bagi aku merantau jauh ke?.

Selesai urusan pendaftaran yang mendebarkan aku tu, sehingga mampu buat tangan dan kaki aku sejuk namun tiada apa apa perkara yang buruk pun berlaku. dengan itu bermulalah kehidupan aku di negeri orang.
Kali pertama duduk jauh daripada keluarga pergi belajar (masa sekolah menengah paling jauh pun belajar di daerah lain tapi masih dalam negeri yang sama), pengalaman yang best!. di sini dah la jauh dari keluarga, sedara mara rapat aku yang di kelantan pun tiada, nasib baik ada seorang perempuan schoolmate aku dapat kampus sama aku di sini dan seorang lagi lelaki yang aku kenal, kebetulan pula sama kos dengan aku. (masa tingkatan 3 dahulu aku pindah keluar dari sebuah sekolah, dan dia pula pindah masuk sekolah tu. kira kami tak pernah belajar bersama, cuma pernah kenal sebab lepak bersama je). dua orang penting ni pun dah cukup buat menemani aku memulakan hidup di tempat baru. orentasi di mana mana tempat sepanjang hidup aku yang mesti aku lalui memang ada seronoknya, ada juga benda yang menyakitkan hati. itu tidak dinafikan. tetapi orentasi tu la permulaan buat kita mengenali kawan kawan baru, mengenali senior senior, mengenali lecturer lecturer, mengetahui selok belok kawasan tempat belajar kita, dan sebagai tambahan memberi peluang untuk pelajar lelaki mengenali akak akak senior yang sporting.





Sedar tak sedar kehidupan aku di negeri orang, kini sudah hampir ke penghujung semester pertama dah. segalanya aku harus uruskan sendiri, dari mencari barang keperluan untuk kehidupan seharian yang habis hinggalah menguruskan urusan urusan berkaitan pembelajaran aku, nak bayar itu nak bayar ini, nak beli itu ini, aku kena uruskan sendiri financial aku. nak beli handphone baru lagi, tanpa pinjaman PTPTN jawabnya terpaksa la aku ikat perut. upah bekerja selepas SPM dulu masih tidak digunakan langsung, ada lebih kurang dalam RM300. aku perlu berjimat untuk menyimpan lagi RM100. masa tu kawan kawan ramai yang guna handphone touchscreen, keinginan aku untuk memiliki handphone jenis tu bertambah kuat sebab memang dah lama aku berhajat sejak mula membantu kerja kerja di ladang selepas tamat persekolahan dulu. kini aku hanya beberapa langkah saja lagi untuk memiliki barang idaman aku tu. Membeli keperluan untuk persatuan seperti kasut putih pun menjadi masalah kepada aku. macam aku sebutkan tadi, semuanya aku perlu uruskan sendiri. sedih tiada ahli keluarga yang dapat bantu untuk belikan kasut, aku sendiri nak kena buat, dah la banyak lagi benda lain yang perlu dibuat. mujur ada schoolmate aku yang perempuan tu, kebetulan dia pun menyertai persatuan yang sama dengan aku. hah lagi mudah tujuan kami ke bandar untuk membeli benda yang sama.
Untuk permulaan hidup di Kelantan ni aku sendiri rasakan seolah olah aku sangat bergantung terhadap schoolmate aku tu, sikit sikit nak pergi bandar cari barang, selalu pergi dengan dia. lama kelamaan selepas dapat geng lelaki, aku kurang bergantung harap dengan kawan perempuan aku tu, manja betul aku ni!. lama kelamaan aku lebih selesa keluar dengan roomate aku, dia budak Gombak.

Lebih kurang lima bulan aku di sana, merata juga la aku dah teroka; pintu gong, kota bharu, wakaf che yeh (kalau tak silap situ ada pasar), jeram linang, jeram pasu dan macam macam tempat lagi, sangat menyeronokkan bila belajar jauh ni. seingat aku, aku rajin dan bersemangat untuk belajar di universiti sebab aku sukakan suasana pembelajaran di pusat pengajian. environmentnya best. aku tak perlu galas beg berkilo kilo beratnya untuk ke kelas, aku hanya perlu bawak satu fail plastik yang selalunya memang penuh isi di dalam dengan buku buku, alat tulis mana yang perlu tanpa bekas pensil besar gedabak, manakala kalkulator di dalam poket seluar. Bab bab assignment sama ada berkumpulan ataupun tidak, aku dapat jayakan dengan baik, bila ada test aku akan study, bila ada quiz aku study ikut mood, sekali sekala aku suka ponteng kelas untuk subjek yang tak best. secara keseluruhannya, pembelajaran aku di sana dalam keadaan baik agaknya. tak macam masa duduk di asrama dulu, terlalu banyak peraturan, dengan ada prep tengaharinya, itu kan masa sedap untuk tido. tetapi dalam pada aku rajin menuntut ilmu di universiti tu, aku juga rajin berjaga sehingga awal pagi bermain game, tak macam segelintir student yang lain stay up selalunya untuk study atau siapkan kerja mungkin.. Ha ini adalah kesilapan besar aku, sangat besar!..
Hampir lima bulan aku belajar di Kelantan ni, sekarang tengah final exam semester pertama. berbaki dua paper lagi untuk aku habiskan semester satu ni aku telah pun buat kejutan untuk ramai orang. keesokkan hari aku ada paper calculus, malam tu aku study subjek yang aku sendiri tak pernah lulus waktu di sekolah menengah dulu. beberapa topik di dalam addmath di sekolah menengah adalah basic di dalam calculus..yang basic tu pun aku masih lagi merangkak untuk faham, apatah lagi untuk aku kuasai. malam tu aku amalkan lagi aktiviti tidak sihat yang seperti kebiasaannya dan kali ni nasib tak menyebelahi aku, pagi tu aku pengsan. kawan kawan yang berada disamping aku pada pagi kejadian menghubungi mak aku seperti yang telah aku pesankan pada mereka seandainya apa apa terjadi pada aku.

Waktu tu merupakan pagi ahad, 2 Oktober 2011. pagi pagi lagi mak aku dikejutkan dengan menerima panggilan daripada nombor talifon aku. apabila mak aku menjawab panggilan tersebut dan bukan suara aku yang kedengaran di talifon, mak aku sudah pun dapat mengagak sesuatu yang buruk telah berlaku. menurut cerita mak dan ayah aku, dari lubang telinga dan hidung aku darah telah mula meleleh keluar. mak aku meminta kawan kawan aku yang di kolej dapatkan aku air kelapa, biasalah dalam keadaan yang panik, mana mungkin masa tu aku mampu meneguk air kelapa. dalam masa yang sama, mak aku telah pun menghubungi Hal Ehwal Pelajar bagi memaklumkan keadaan aku..

Terganggu sekejap urusan dan emosi mereka semua untuk mengambil exam calculus pada pagi itu. mak aku menghubungi H.E.P semula dan ternyata sungguh pantas tindakan yang diambil. sebelum ke dewan exam, kawan kawanku sempat membantu mengangkat aku turun dari kolej. dan sekarang aku dalam perjalanan dibawa unit kesihatn UiTM  ke hospital di daerah tu.....
ok nanti la sambung..