Followers

Monday, October 02, 2017

Rumah sewa di Serdang: pengalaman hidup menyewa 7 bulan di sana




Assalamualaikum dan salam sejahtera, long time no see ha. rasanya kebanyakan orang pasti ada tarikh istimewa dalam hidup mereka sendiri seperti tarikh ulang tahun perkahwinan, tarikh kelahiran anak mereka yang disambut setiap tahun atau lebih sinonim sebagai sambutan hari lahir. ada juga yang menganggap perkara remeh pada pandangan orang lain tetapi tidak bagi dirinya menjadi satu tarikh yang istimewa seperti 'tarikh aku beli anak kucing comel', semuanya terpulang pada hak masing masing. aku pun termasuk dalam kelompok tu, aku anggap 2 Oktober pada setiap tahun sebagai tarikh anniversary koma bagi aku.

Aku menulis blog kali ni adalah kesinambungan bagi entri sebelum ni yang berkaitan Dayah, nurse HKL yang cantik vs AVM dalam kepala. mana yang kekal buat masa ni?. kata doktor pakar, air dalam kepala aku 5 kali ganda lebih banyak daripada yang normal sehingga otak aku bengkak. sebenarnya aku tak pasti apa tindakan lain yang mak dan ayah aku lakukan selain daripada terus merawat aku dengan perubatan homeopati dan fisioterapi, dalam tak sedar masalah air yang banyak dalam kepala dan menyebabkan otak aku bengkak dulu agaknya telah selesai kerana yang menjadi kayu ukurnya adalah 'kawasan leher dan telinga kiri aku tak sakit BUAT SEMENTARA WAKTU NI', masih ada terasa sakit cuma ianya amat jarang berlaku. nak ikutkan chances seseorang untuk mati, semua orang pun berpotensi ke arah tu kan?, tak perlu menanggung penyakit kronik pun boleh mati. disebabkan kata orang "life must go on", lebih kurang sekitar bulan 5 tahun 2014 ayah aku mula cadangkan dan menggalakkan supaya aku belajar memakai pampers sendiri dalam keadaan berbaring, secara tak langsung nanti aku mampu pakai pampers dalam keadaan berdiri juga (pakai bodoh). sesuatu diperlukan pada badan aku untuk dijadikan garis panduan semasa memakai pampers, iaitu 'pusat'. pampers pada bahagian depan pastikan tak melebihi aras pusat ataupun biarkan sama level dengan pusat manakala bahagian pampers yang ada di belakang badan hanya perlu dilebihkan sedikit daripada bahagian pampers pada bahagian depan. selain itu aku juga telah cuba masuk ke tandas dengan berpegang pada dinding dan objek objek lain di sekitar laluan aku tanpa bantuan daripada sesiapa, tetapi dengan syarat mesti dan masih perlu ada orang memerhatikan dari jauh waktu aku melakukan pergerakan yang berisiko tersebut, berbanding sebelum ni banyak kali juga aku masuk ke tandas dengan cara ni tapi mereka masih mengiringi di tepi aku. kesimpulannya dengan keadaan aku yang berjalan macam ni rasanya lebih mudah dengan menggunakan wheelchair 100%.


8 November 2014


kami duduk di tingkat atas

Setelah 3 tahun sakit, ini merupakan kali pertama aku dibawa bersama untuk tinggal menyewa di sebuah rumah di Serdang, bermakna persekitaran aku akan berbeza, malah jadual harian aku pun sedikit sebanyak akan turut berubah. rasanya ini bukanlah perubahan yang mudah untuk dibiasakan oleh orang kurang upaya, sama juga kalau kita mengalih kedudukan perabot dalam rumah orang buta, bukankah susunan lama perabot lebih dibiasakan oleh si buta? ok mungkin tu hanya mindset kuno. berkenaan keluasan dalam rumah ni, tak dinafikan ia agak sempit, kebetulan pula aku baru mula semula berlatih berjalan (sebenarnya dah banyak kali berulang, aku berlatih berjalan ni seperti hangat hangat tahi ayam, hari ni aku berlatih berjalan dan keesokannya aku dah pun berhenti). dalam pada aku yang masih memerlukan wheelchair 100% untuk bergerak, mungkin ini hikmahnya kami menyewa rumah sempit di sini, paling ketara apabila setiap kali pergi ke tandas aku mampu masuk dan keluar sendiri dengan berpegang pada dinding seperti cicak tanpa perlu pengawasan sesiapa, tak perlu langsung mereka memerhatikan dari jauh sekalipun seperti yang disebutkan di awal entri tadi, malah mereka langsung tak tahu masa aku ke tandas.



(Aku flashback kejap ni)
Sebelum kami memulakan perjalanan ke Serdang, kami singgah sebentar di Pasaraya TF untuk membeli pampers, malangnya ada satu insiden yang telah berlaku di sana. waktu ni aku masih belum mampu berjalan sendiri, oleh kerana tu kami berani untuk park belakang kereta sesiapa yang parking keretanya di tempat letak kereta OKU, maaf sebab nampak kejam tapi kami tiada pilihan. cuba bayangkan dalam keadaan tersebut mak aku letakkan kenderaan yang mempunyai anak OKU jauh dari orang ramai dan anak OKU tersebut tidak langsung menampakkan kecacatannya dalam keadaan duduk di dalam kereta, andai kata sesuatu berlaku, siapa orang di sekeliling yang menyangka anak di dalam kereta tersebut adalah orang OKU? siapa yang akan menyedari kewujudan anak OKU yang jauh dari orang ramai tu?
Setelah mak aku kembali ke kereta bersama troli pasaraya, sempat juga berlaku situasi yang sedikit tegang, tapi tak lama sebab sudah cukup mak aku memunggah lebih kurang 25 bungkus pampers ke dalam bonet kereta untuk menjelaskan segala galanya. ya ini menunjukkan waktu kami menyewa rumah di Serdang aku masih lagi bergantung pada pampers 24 jam sehari.
(ok dah habis flashback)



Aku tak sangka rumah yang sempit menjadi titik permulaan yang memaksa aku untuk banyak bergerak dan melakukan banyak aktiviti tanpa bantuan orang lain contohnya seperti mencuci sinki tandas, ambil sendiri pinggan plastik di rak pinggan untuk makan, kemudian setelah selesai makan pula aku basuh pinggan sendiri dan juga kesemua pinggan kotor yang ada di dalam sinki, maklumlah dari pagi hingga ke petang aku tinggal berseorangan di dalam rumah ni (cuma sekali sekala saja mak aku berpeluang pulang ke rumah waktu tengah hari), aktiviti apa lagi yang dapat aku lakukan selain daripada berfacebook dan ber WhatsApp 24 jam ditambah pula tiada television di sini.
Masa aku cuci pinggan ada ketikanya air yang keluar daripada paip mengalir perlahan maka timbullah beberapa persoalan dalam kepala aku; kenapa mulut kita selalu merungut apabila basuh tangan di sinki dengan aliran air paip yang perlahan semasa air hampir tiada? sedangkan waktu air paip mengalir laju tak pula kita menzahirkan syukur kita melebihi daripada sewaktu mulut kita merungut tadi. pernah tak kita terfikir lebih baik air yang perlahan daripada tiada langsung air?


Malang sekali untuk kerusi malas tempat aku bertapa dan menghabiskan masa sepanjang hari kerana tak dapat dibawa, malah wheelchair pun kami beli yang lain, saiz yang lebih kecil berbanding sebelum ni dan lebih mudah untuk digunakan serta mudah dibawa berjalan.


Disebabkan aku masih lagi berada dalam zon aktif muntah, maka di Serdang aku masih lagi bawa besen muntah ke mana saja termasuklah waktu tidur malam pun, sentiasa ada di sebelah aku. sebenarnya bukan setakat besen muntah aku bawa masuk tidur, aku akan pastikan juga ada beberapa keping roti putih sebagai persediaan sekiranya lapar ataupun kembung perut apabila terjaga di malam hari nanti. selalunya setiap malam memang aku akan terbangun untuk beberapa minit, yang jadi masalah apabila waktu tersebut aku kembung perut, kadang kala juga ia bermula akibat daripada sakit kencing, setelah aku salin pampers dan sementara nak menunggu saki baki keperitan berkurangan untuk tidur semula yang aku gelarnya sendiri sebagai 'tempoh ngilu', masa tu mungkin kembung perut datang tanpa diundang, inilah masanya kegunaan roti tadi. dalam tak sedar habit aku ni sebenarnya boleh merosakkan gigi sendiri meskipun usia aku masih lagi muda.


Sebelum kami menyewa di Serdang, aku akan makan 5 kali dalam satu hari, 4 kali aku ambil makanan berat manakala satu kali tu aku hanya makan roti berserta sedikit madu lebah selepas bangun di subuh hari dan sementara menunggu makan pagi lebih kurang jam 10 nanti. melainkan awal awal aku dah putuskan untuk tak bangun solat subuh langsung supaya aku tak perlu berjaga lepas subuh akibat lapar ataupun kembung perut, supaya aku tak perlu menjadikan kekerapan masa makan aku kepada 5 kali sehari, juga supaya aku tak perlu cuci madu lebah yang tertumpah atas dada menggunakan penyembur air dan beberapa helai tisu selepas makan di kerusi malas kerana itu saja pilihan yang ada. di Serdang aku masih lagi makan 5 kali dalam satu hari cumanya tiada lagi roti dan madu lebah di sebelah pagi, aku akan minum minuman booster produk keluaran ARBA dan entah macam mana aku mendapat ilham untuk makan epal di setiap pagi kerana daripada pemerhatian yang dibuat, epal boleh menyebabkan aku sendawa, tambahan pula gara gara perut kembung masa ni hingga aku kerap mengeluarkan bunyi seakan akan nak muntah setiap kali waktu makan. sejujurnya aku tak tahu makan epal di pagi hari boleh mendatangkan kesan buruk ataupun tidak, sebab misi aku mudah; teruskan hidup sementara menyewa di sini dan perlu elakkan daripada muntah ataupun pengsan untuk mengurangkan kesibukan mak aku menguruskan kakak aku (inilah tujuan kami menyewa di Serdang).


5 kali makan dalam satu hari memang gemuk aku jadinya, baju yang sedia ada pula macam makin mengecil. walau pada hakikatnya aku hanya memerlukan / memakai baju apabila keluar dari rumah tetapi mak aku tetap belikan baju mengikut syarat keselesaan aku iaitu besar dan nipis. sewaktu usia baru di awal 20an ni, kawan kawan aku mampu bercerita saat manis mereka menyarung jubah sewaktu graduasi setelah tamat diploma selama 3 tahun dan ada juga diploma 4 tahun, mereka juga bercerita tentang hari yang bakal mereka tempuhi sewaktu praktikal nanti (ada yang akan intern sampai ke luar negara), ataupun bagi yang sudah melaluinya mereka rajin berkongsi pengalaman praktikal mereka. aku pula boleh bercerita pengalaman aku untuk kekal bernafas dan tidak pengsan ketika aku berseorangan di dalam rumah sewa ni dengan mencari peti ais untuk sejukkan badan ketika ketiadaan elektrik.

nipis adalah perkara paling penting dalam memilih baju untuk mengelakkan aku daripada panas

Manusia memang selalu nampak hikmah sesuatu perkara yang berlaku kepadanya tu agak lambat setelah perkara tersebut berlalu. tapi takpa sebab "better late than never". entah macam mana agaknya nak maintain keperluan utama seperti pampers aku yang diperlukan lebih kurang 25 bungkus sebulan, ataupun entah macam mana cara penjagaan aku secara menyeluruh di kawasan di mana langit tak berhenti mencurahkan air malah airnya pun tak ditelan bumi. ya ditakdirkan bulan Disember tahun tersebut banjir melanda di kebanyakan daerah di negeri asal kami menetap dan daerah daerah di negeri lain, banjir besar besaran tapi tidak di Serdang.



bangunan bumbung biru dalam gambar ni adalah bangunan yang sama dalam gambar di bawah


Kalau di sana banjir, aku yang di sini setiap hari lebih kurang 5 kali dan kadang kala lebih daripada tu paha aku berendam dengan cecair bernama urine di atas wheelchair ni. kemudian aku jugalah yang perlu cuci wheelchair tersebut di depan tandas guna tisu dan penyembur air, barulah bersihkan diri sendiri, kebanyakkan kerja aku menjadi mudah dengan ruang yang sempit di dalam rumah sewa ni. 'seburuk buruk tulisan adalah lebih baik daripada sebaik baik ingatan' , oleh sebab demikian aku pun merajinkan diri mencatat pada buku berapa banyak kali aku bocor di atas wheelchair dalam satu hari, dan itu juga menunjukkan masa aku banyak dihabiskan di atas wheelchair. kerusi malas yang pernah aku sebut dalam entri sebelum ni adalah tempat kedua selepas katil yang merupakan tempat paling selesa dalam hidup aku buat masa ni. bagi menggantikan kerusi malas yang tak dapat dibawa, selain wheelchair aku juga banyak menghabiskan masa di birai katil terutama selepas makan dengan beralaskan tikar getah, oleh itu alas tikar getah pun merupakan benda yang kerap aku terpaksa cuci menggunakan tisu dan penyembur air.

Masa di Serdang ni aku masih meneruskan aktiviti mencatat tarikh buang air besar di dalam handphone supaya aku bersedia mental serta fizikal pada hari tu dan tak gopoh gapah bila tiba masa perlu ke tandas nanti, melainkan terjadinya hal di luar jangkaan seperti aku terbangun jam 4 pagi kerana sakit perut. ini adalah kali pertama aku bangun jam 4 pagi dan pergi ke tandas seorang diri dalam tempoh 3 tahun setengah ni, seram!. mungkin juga aku boleh memilih untuk buang air besar dalam pampers tapi sekarang ni bukan lagi 'zaman buang air besar dalam pampers' macam dulu dan lebih menyusahkan nanti aku yang perlu memcucinya sendiri.

Tak dinafikan banyak masa di sini aku kerap teringatkan rumah, aku rindukan semacam suhu atau kelembapan udara di rumah asal kami, rumah sewa ni tak begitu panas pun cuma setelah letih duduk di atas wheelchair ataupun duduk di birai katil, aku akan berbaring secara terlentang di atas katil, itu sudah cukup untuk buat belakang badan dan belakang kepala aku berpeluh peluh. keadaan bertambah buruk waktu aku sakit kencing, air peluh yang keluar lagi menggila. mungkin puncanya bukan kerana suhu ataupun cuaca tetapi kerana aku perlukan kerusi malas, kesimpulannya aku rindukan kerusi malas. aku rindukan suasana sunyi untuk tidur di siang hari kerana entah kenapa telinga aku sangat peka dalam keadaan badan aku yang belum normal lagi ni, dalam kata lain keadaan di sini sangat tidak aman dan tenteram, bunyi gerudi dan pelbagai jenis bunyi sewaktu renovation terasa macam sebelah telinga dan waktu kerja mereka yang bermula dari pagi hingga ke petang membuatkan rasa seperti sudah setahun kerja kerja renovation yang mereka lakukan tapi masih juga belum siap. aktiviti aku selain berfacebook, ber WhatsApp, aku juga kerap menghabiskan masa dengan mendengar lagu lagu dalam simpanan ataupun radio dari handphone aku, secara tak langsung ini memberi aku idea untuk mengatasi masalah sukar tidur di 'zon peperangan'. akhirnya aku tidur sambil memakai earphone dengan memasang volume lagu dan radio lebih kuat (terasa didodoi) daripada bunyi gerudi di rumah sebelah ataupun pelbagai jenis bunyi bising di sekeliling seperti bunyi kerusi atau meja yang diseret sewaktu dialihkan, bunyi pintu yang ditutup dengan kuat serta bunyi budak budak kecil berlari lari di rumah townhouse ni.
Keadaan telah memaksa aku untuk buang mindset yang ada sebelum ni iaitu 'aku perlu tidur dalam keadaan sunyi', jadi aku berpendapat jiran jiran di sekeliling rumah sewa kami juga mungkin perlu belajar sesuatu iaitu Cara Tutup Pintu Dengan Perlahan, Cara Mengalihkan Kerusi Dan Meja Tanpa bunyi (sebenarnya aku sangat mahir teknik ni), Cara Berjalan Dan Berlari Tanpa Menghentak Dengan Tumit. ataupun semua bunyi bising ni sebenarnya normal, cuma keadaan dan suasana rumah asal kami di kampung yang sunyi tak menyediakan orang sakit untuk menghadapi semua ni.
Banyak lagi perkara remeh temeh yang lain turut menjadi alasan untuk aku mahu pulang ke rumah dengan segera setelah selesai urusan kami di Serdang ni. memang permulaan tinggal di sana aku kerap bertanya mak aku bila kami akan pulang, aku tak pasti kenapa mulanya mak aku jawab penghujung bulan 2 kami akan pulang, kemudian semakin dekat dengan penghujung bulan 2 tarikh kami akan pulang dianjak ke depan lagi, dan lagi. mungkin itu 'jawapan segera' untuk menyedapkan hati dan mendiamkan aku.


Ini adalah perkongsian cerita daripada aku sementara masih hidup, tiada niat yang negatif selain daripada ingin bercerita. cuma aku nak tulis entri blog kali ni ambil masa 3 bulan, rasanya macam dah semakin jauh aku untuk buka blog ni dan juga baca blog orang lain, tapi entahlah. sebagai penutup bacalah berita ni - pelajar terbaik SPM 2003 meninggal dunia:

Link 1

Link 2







Sedekahkan Al Fatihah kepada arwah.
Sekian.
Tahniah kepada sesiapa yang rajin membaca.



2 comments :

  1. Besarnya dugaan yang perlu dihadapi Mr Cahaya. GV kagum dengan semangat juang dan ketabahan yang sangat jitu daripada Mr Cahaya utk menghadapi segala bentuk cabaran hidup tu. GV juga kagum dengan keluarga Mr Cahaya yang sangat menyayangi Mr Cahaya dan menjaga Mr Cahaya dengan cara paling terbaik sekali. Semoga Mr Cahaya cepat sembuh dan sihat kembali. InsyaAllah. Aamin. Al-Fatihah juga kepada arwah Dr Ahmad Atiq Abdul Hamid. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang beriman. InsyaAllah. Aamin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. amin..ya semoga cepat sembuh spt sedia kala kalau ada rezeki sy utk sembuh..dah 6 tahun, ada org kata itu tempoh yg lama, ada juga yg ckp 'baru' 6 tahun, tak kisahlah. yg pasti kwn2 yg sebaya dah terlalu jauh ke depan..rasa terharu sbb GV baca entri ni, haha terima kasih. sy ni yg dah lama tak bukak blog..

      Delete