Wednesday, August 31, 2016

'Bersyukur' bukan ketika musim kemerdekaan sahaja






Merdeka . .
Merdeka . .
Merdeka . .
(Suka hati kau lah nak 3 kali atau 7 kali, yang penting laungkan dengan penuh semangat ye)



Apabila bercerita tentang kemerdekaan, kerap kali dikaitkan dengan nilai sebuah kebebasan, susah payah mencapai kemerdekaan di tanah air sendiri, ataupun boleh jadi bersyukur dengan keamanan@kedamaian@ketenangan yang diperolehi.
Ya kita patut bersyukur(sebut cukuur~) di atas kemerdekaan yang diperolehi. tetapi kali ni aku bukan nak bercerita pasal kemerdekaan pun, cukup aku terjemahkan semangat patriotisme aku kat atas sekeping kertas lukisan ni. di sini aku hanya nak sentuh tentang 'syukur' yang menjadi elemen penting di sebalik cerita kemerdekaan. tetapi dari sudut yang berbeza, lebih kepada apa yang berkait dengan kehidupan seharian kita. Hmm macam pening je ayat aku ni.



....



Mungkin aku ni hujan..
Kadangkala dipuji.. kadangkala dikeji..
Namun aku tetap turun membasahi seisi makhluk
Yang memanggil manggilku..
Saban hari..
Manusia yang beremosi.....
Lebih aku benci dari daun yang sepi.




Aku pernah berkawan di alam maya dahulu dengan seseorang yang berbakat dalam penulisannya pada pandangan mata aku, dan ini merupakan hasil tulisan tangannya, aku admire sangat dengan yang ni so aku simpan.
Nukilan ni tak menceritakan secara keseluruhannya tentang diri si penulis yang diibaratkan seperti hujan. atau tidak juga menceritakan segala bakti dan layanan yang diterimanya semula.
Seperti yang telah dijelaskan pada aku, ini cerita perihal orang orang yang merungut tentang rezeki.
Hujan itu kan rahmat, bila turunnya hujan ada saja yang merungut. begitu juga kalau sebaliknya yang berlaku, berminggu minggu tak hujan, apatah lagi berbulan bulan, pasti ada yang merungut.
Ayat last sekali tu baru menceritakan tentang diri si penulis, cerita akan kebencian terhadap golongan tadi menebal berbanding orang yang hidup susah lagi tidak merungut (diibaratkan seperti daun yang sepi).

Ini nasihat untuk diri sendiri jugak, sama samalah kita.. dan kesimpulannya di sini, tak usah lah kita duk merungut je. kalau memang 'jenis' kita yang suka merunguttt ni / dalam bahasa lembutnya-suka describe secara negatif sesuatu situasi itu, apa kata bila kita mendapat satu benda yang dikira nikmat, ucapkan alhamdulillah ataupun kalau yang bukan Islam tu cuba berterima kasih pada tuhan kau ataupun tunjukkan dengan cara kau 'menghargai'.. Ingat, bila perkara yang tak disenangi berlaku, jangan tahu nak Describe Secara Negatif je. selalukan jugak diri tu nak bersyukur dan menghargai pada perkara baik yang datang kepada kita, biarpun sekecil kecil perkara.


-Satel

Saturday, August 20, 2016

Hai ape kabare semua..
Entri kali ni tak bermanfaat sangat pun, jangan baca kalau anda sibuk.




Harini usaha aku nak menyiapkan menulis cerita pengalaman setahun jagung aku ni. macam biasalah, layari internet/menggoogle merupakan cara utama untuk aku buat rujukan sikit sikit selain bertanyakan pada ahli keluarga aku sendiri. ceh macam nak siapkan thesis pulak ada rujukan bagai. google punya google, ada yang bermanfaat, ada jugak yang menghabiskan tenaga dan masa aku je.

Dannn akhir sekali penutup kepada aktiviti google aku pada malam ini disebabkan aku terjumpa satu blog. lawak boleh tahan la ayat ayat yang digunakan dalam entri tu, menghiburkan, menarik minat, boleh la buat tersenggih. yang jadi lagi best bukan sebab apa pun, blog tu dimiliki oleh seorang perempuan. haha.. jarang aku nak jumpa manusia bergender perempuan suka menulis dengan cara penyampaian yang lawak (mungkin ada bersepah, aku punya alasan je untuk suka blog tu kot).


. . .
. . .


Yang jadi aku rasa nak tido terus takde mood nak sambung menulis sebab baca entri blog yang baru aku jumpa tu la, lepas satu satu aku baca, berapa banyak kali 'older post' yang aku tekan. Sampai la aku terjumpa satu entri ada pasal anak dia. Hah!Dah beranak?!.. aishhh ada betul jugak teori aku dari zaman dahulu kala, yang cantik selalu dah berpunya.. haha jangan pakai teori tu, aku saja nak berkongsi.
Ok aku takde mood ni, feelingless, smelless, bye.

Saturday, August 13, 2016

Kehilangan memori jangka pendek (short term memory loss)


'Lebih kurang 9 bulan kemudian, bulan ini banyak perkara baru dan pelik yang berlaku pada aku. di sebelah pagi aku terdengar orang bercakap seperti berbisik bisik di dapur. awal pagi sebelum subuh agaknya, ntah apa yang mereka bualkan, mereka tak ubah macam tengah mencuri makanan. di sebelah malam pula bunyi bising di luar rumah seakan akan bom meletup.'


Julai 2012.

Ini adalah sambungan daripada entri sebelum ni (klik sini untuk baca).
Boleh dikatakan setiap malam sejak kebelakangan ini asyik dengar bunyi bom meletup letup di luar rumah. eh bukan! bukan bunyi bom. aku pasti itu bunyi mercun. tapi apa yang menghairankan, mengapa aku tak bermain mercun dengan adik aku di luar? mengapa aku terbaring dalam bilik? mengapa aku tak keluar rumah?. semua persoalan tu baik tinggalkan saja tak perlu dijawab, sebab masa ni terlalu banyak perkara yang pelik berlaku dekat aku, berlaku di sekeliling aku. di sebelah malam bunyi mercun, di sebelah pagi pulak bunyi bising di dapur. dalam lebih kurang pukul empat ke lima pagi aku akan terjaga kerana mendengar mak dan kakakku curi curi makan di dapur. mengapa mereka perlu makan diam diam awal pagi begitu? dah la tak ajak aku makan. pada masa yang sama aku diberikan sebuah handphone skrin besar. sejak kebelakangan ni habis aku gelebek dan teroka handphone tu, setiap kali aku terbuka gallery dan lihat gambar kawan course aku, aku tau tu bukan muka aku dan hati aku terdetik, "macam familiar je tengok muka dia tapi serius aku tak ingat siapa". aku selongkar lagi sampai ke bahagian 'bluetooth', perkara kedua tentang gadget berskrin besar tu yang buatkan aku tertanya tanya, mengapa aku menggunakan nama "mu duk manno" untuk nama bluetooth handphone tu, itu kan bunyi seperti loghat kelantan.
Kemudian setiap kali bangun pagi aku mesti dalam keadaan basah lejut di atas kain yang sudah basah bercampur air berbau hancing. kenapa aku harus buang air kecil atas katil? kenapa aku tak buang air kecil di tandas? habis semua basah, seluruh badan aku basah, sampai ke lengan dan leher turut basah, kaki jangan ceritalah. keadaan bermandikan air kencing yang harus aku lalui setiap pagi tu diiringi dengan soalan yang aku ajukan pada mak aku juga di setiap pagi,
"mak, kita kat mana?"
Puas la mak aku suruh ingat jalan masuk ke taman perumahan ini ataupun bertanyakan aku pernah bersekolah di mana, dan bermacam lagi usaha yang mak aku lakukan. yang aku hairannya, aku kenal pula wanita di depan aku tu adalah mak aku. waktu ni aku belum menyedari hakikatnya yang aku ni sakit, aku hairan mengapa perlu buang air dalam pampers. sebab tu di hari hari mendatang ni apabila aku tengok orang yang sakit teruk, aku selalu tanya mak aku, "mak diorang tahu tak diorang sakit?".. antara seorang manusia yang tahu dia tengah sakit dengan seorang manusia yang tak tahu langsung apa yang dia sedang lalui, aku lagi kesian dekat mereka yang sedar dan tahu yang mereka sedang sakit teruk, sebab dalam keadaan begitu dia waras akal fikiran dan sedikit sebanyak pasti hadir rasa sedih dalam diri bagi mereka yang mengetahui mereka sedang sakit.

Semua kebingungan ni agaknya telah mendorong aku untuk bertanya pada mak aku di setiap pagi apabila beliau masuk ke bilik ini, bilik apa ni pun aku tak tahu. hah bilik ni pun satu lagi perkara yang sangat pelik pada aku, seingat aku pintu bilik sebelum ni di sebelah kanan pada bahagian kepala, tapi sekarang bilik yang aku duduk di sini mempunyai pintu di sebelah kiri pada bahagian kaki. masa tu puas aku cuba kenal pasti aku berada di mana. yelah aku tak pernah langsung tidur di bilik ni masa sihat dahulu, macam mana aku nak tau.
Apabila dikenangkan kembali kisah dan persoalan persoalan itu semula, semua cerita  tu adalah apa yang aku pernah rasai, dan itu sahaja persoalan persoalan yang timbul dalam benak fikiran aku yang masih aku ingat hingga ke hari ini. banyak lagi perkara lain yang berlaku pada aku dalam seharian dahulu cumanya tak timbul pula soalan soalan yang pelik, aku jalani sahaja kehidupan aku yang hidup segan mati tak mahu dahulu tu tanpa persoalkan; mengapa diorang perlu suap aku makan?, mengapa diorang mandikan aku?, mengapa aku buang air dalam pampers?, atau mungkin juga soalan seperti siapa diri aku sebenarnya ni?. dan boleh jadi banyak lagi soalan lain tapi semua tu tak terlintas di fikiran aku.

Cuti semester kakak ketiga aku telah pun bermula, maka bermulalah pula episod dia dan mak menjaga aku. jadinya yang berlaku di awal pagi seperti orang mencuri makan tu adalah kakak ketiga aku bersama sama dengan mak, setelah beberapa tahun berlalu baru aku tahu mereka bukan curi curi makan tetapi mereka tengah bersahur, mereka perlu makan di dapur secara diam diam untuk mengelakkan aku terjaga. kalau aku terjaga bertambah lagi la kerja mereka nak suap aku makan dan gosokkan gigi aku, sedangkan mereka sendiri nak kejar bersahur. waktu tu aktiviti makan aku mengambil masa yang lama, itu pun dah satu hal. biasanya bila dah bersahur, secara automatik aku pun turut berpuasalah haritu melainkan pagi sikit atau tengah hari nanti aku minta makan. dalam keadaan diri aku yang macam tu dapat juga enam hari berpuasa tahun tersebut. Ermm tapi jujur aku cakap, solat pun tidak, aku puasa pula kerana apa? ya tepat sekali, aku puasa sebab terjaga masa kakak dan mak aku bersahur. kemudian mereka akan gosokkan gigi aku. Mereka akan dudukkan aku di birai katil, beberapa saat sahaja bertahan kemudian perlahan lahan badan aku akan senget. dan terus senget, lalu terjatuh. aku tau dari dulu mereka suka mengajuk gaya badan aku yang menyenget kemudian jatuh tu, aku memang tak boleh nak duduk sendiri lagi masa tu. oleh itu sementara kakak aku mengosokkan gigi aku, dalam keadaan berbaring mak aku akan bertindak menyokong badan aku menggunakan kaki sama seperti keadaan yang berlaku pada pokok kacang.
Itu cerita mereka gosokkan gigi aku. kalau mandikan aku pulak, mula mula dahulu mereka akan mandikan aku di atas kerusi malas yang telah dibawa ke dalam tandas, tapi masa ni rasanya aku jarang mandi di tandas sebab banyak masa aku dihabiskan dengan duduk di kerusi malas dan tidak berpeluh. jadinya yang selalu mereka lakukan hanyalah lap badan aku menggunakan sehelai kain kecil setiap hari, itu sudah memadai. kadang kadang kain kecil yang mereka gunakan untuk lap badan aku tu berbau wangi, aku tau air yang digunakan tu menyebabkan wangi. aku tau sebab baldi yang berisi air wangi tu dibawa hingga bersebelahan tempat aku bertapa ni.


"dari tarikh aku koma sehinggalah saat aku dapat semula memori aku iaitu lebih kurang awal bulan Julai 2012, selama tempoh tersebut aku berada dalam keadaan tiada memori. macam hilang ingatan lah ni."
Dulu aku selalu berpendapat begini, tetapi sebenarnya yang aku alami selama lebih kurang sembilan bulan tu adalah kehilangan memori jangka pendek ataupun kita panggil hilang ingatan jangka pendek, bukanlah hilang ingatan terus.
Apa itu kehilangan memori jangka pendek?
"Apabila seseorang mengalami kehilangan memori jangka pendek, dia mampu mengingati kejadian yang berlaku 20 tahun yang lalu tetapi kabur mengenai sesuatu perkara secara terperinci yang berlaku 20 minit sebelum itu.
Terdapat beberapa sebab kehilangan memori jangka pendek, antaranya hasil keadaan perubatan seperti sawan, epilepsi, pembedahan pintasan jantung, kemurungan juga boleh memberi kesan kepada memori jangka pendek dan lain-lain yang berkaitan dengan kecederaan atau disebabkan pengaruh luar yang lain. kekurangan oksigen untuk sampai ke otak juga boleh memberi kesan kepada memori jangka pendek. alkohol dan penyalahgunaan dadah, gegaran dan trauma lain yang melibatkan kepala turut berpotensi memberi kesan kepada memori jangka pendek. kehilangan memori jangka pendek merupakan salah satu tanda tanda awal demensia.
Orang yang pernah menjadi mangsa atau menyaksikan peristiwa traumatik seperti jenayah kekerasan atau kemalangan juga boleh mengakibatkan mereka mengalami ingatan jangka pendek."

Kesimpulannya koma tidak menyebabkan seseorang hilang ingatan. kedua dua keadaan koma dan kehilangan ingatan adalah disebabkan oleh kecederaan kepada otak. dan apa yang aku lalui dulu tu adalah kehilangan memori jangka pendek, bukan disebabkan koma tetapi disebabkan kecederaan kepada otak ataupun trauma yang melibatkan kepala. itu apa yang aku faham hasil daripada pembacaan artikel bahasa inggeris yang memeningkan, ish penat nak kena google translate.
Aku google lagi segala macam yang berkaitan koma, banyak pula terjumpa cerita semasa koma, katanya mereka jumpa itulah jumpa inilah, kononnya orang yang telah mati datang menemui si pesakit koma lalu memberikan semangat lah. ermm itu terserah pada nasib mangsa yang koma agaknya, mungkin la ada orang dapat jumpa sesuatu yang tak disangka sangkakan semasa mereka koma, ataupun sebaliknya. Ok ni perkongsian yang ikhlas, bagi aku pula, aku rasa aku takda pun jumpa apa apa semasa koma, kalau ada pun mungkin aku tak ingat. tapi 100% aku pasti aku tak dapat nak ceritakan pengalaman semasa koma, apatah lagi malam sebelum aku koma dulu tu, kata kawan kawan di kolej masa tu aku menggenggam botol minuman sehingga kemek. kisah genggam botol sehingga kemek pun aku tak boleh ingat, macam mana orang lain boleh ingat apa yang mereka lalui semasa koma?, ok dah cukup aku berhenti di situ.

Zaman zaman aku tengah mengalami short term memory ni, selalu sangat mak aku soal aku semula setelah selesai melakukan sesuatu aktiviti tu contohnya apabila dah selesai makan, lebih kurang beberapa jam selepas tu mak aku akan tanya semula apa yang aku telah makan tadi. ataupun orang yang datang menziarah, aku kenal sipolan sipolan waktu tersebut, setelah mereka pulang mak aku akan tanya siapa yang datang tadi. seperti kebiasaannya aku tak akan dapat memberikan jawapan kepada kedua dua jenis soalan mak aku masa tu.
Dua jenis soalan ni sampai sekarang aku ingat ingat lupa, terasa macam biasa dengar soalan ni, terasa macam pernah terjadi cuma tak begitu jelas dalam kepala, aku tau situasi ini terjadi pun melalui penceritaan yang dah berulang kali. soalan jenis ini yang selalu disoal pada aku, aku terasa macam ingat ingat lupa, tapi yang lebih teruk, siapa yang pernah ziarah aku masa tu, sampai sekarang aku tak tau dan tak ingat langsung. oh satu lagi, ingat lagi kawan rapat yang rajin mengikuti perkembangan aku dari mula tu?, dalam keadaan aku yang masih belum nampak normal ni, kawan perempuan yang merupakan kawan sekelas aku waktu sekolah menengah dulu selalu menelefon. maaf tentang ini pun aku tak dapat nak ingat langsung.

Seperti yang telah dicatatkan oleh aku pada sebuah buku atas dasar ingin menyimpan sesuatu yang mempunyai nilai tersendiri, pada tarikh 9 Julai 2012 aku mula menghantar mesej kepada orang pertama dalam kalangan kawan kawan menandakan aku baru sahaja mula untuk mengingati secara normal. kalau tak salah, 9 Julai ni sebelum tibanya hari raya. namun kesemua memori tak datang sekaligus secara serentak, sikit sikit, makan masa, hingga ke hari ini pun kadang kadang ada perkara lama yang pernah berlaku sebelum aku sakit dahulu tetapi baru sahaja aku ingati (ada benda lama memang aku dah sedia ingat, bukan semua benda yang lepas aku dah lupa). perkara pertama yang aku mula ingat dan sedari adalah aku pernah belajar di kelantan yang mempunyai kawan dan dia juga pernah bersekolah menengah sama dengan aku dahulu. shoolmate perempuan aku tu, dia orang pertama dalam kalangan kawan kawan yang aku mula ingat. masa tu aku macam terkejut campur teruja pun ada, sebab aku mula perasan sesuatu yang baru berlaku dalam hidup aku, aku dah mula ingat semula!. tapi masa ni aku belum sedar bahawa aku tengah sakit, cuma aku persoalkan mengapa aku sudah tak belajar bersama kawan kawan yang lain.

Aku masih ingat mesej di dalam handphone mak aku, ada beberapa orang kawan yang mesej mak aku dahulu memberikan kata semangat. mesej yang paling aku ingat ada menceritakan tentang penyakit scoliosis yang dihidapinya, katanya penyakit itu berpotensi membuatkan dia paralyse dengan niat memberi semangat untuk kami lebih kuat menghadapi ujian ini, ya aku faham tujuan mesej tu dihantar dan terima kasih. ikutkan keadaan badan aku ni yang cepat lupa, yang baru nak pulih dari masalah kehilangan memori jangka pendek, aku sepatutnya dah lama dapat lupakan mesej tersebut. tapi disebabkan aku baca mesej di dalam handphone mak aku tu berulang ulang kali maka sekarang aku tak dapat melupakan mesej tu secara keseluruhannya. Namun apakan daya, handphone nokia mak aku dan handphone berskrin besar aku tu telah rosak. kami masing masing masih menyimpannya, sebab ia ada sejarah dan cerita tersendiri yang sungguh bermakna di sebaliknya.

Oleh kerana ada sesetengah perkara yang telah aku lupa, maka aku kena lalui semula keadaan tersebut untuk mengembalikan ingatan aku tentang perkara tu, tapi itu kalau sesuatu peristiwa. kalau alamat email, kata laluan, ataupun nombor pin kad bank dan seangkatan dengannya, aku tak mampu untuk mendapatkan semula. rentetan daripada apa yang berlaku tu, pada 20 Oktober 2012 aku mula cipta akaun facebook baru sambil dibantu adik beradikku, untuk apa tujuannya pun aku tak pasti, mungkin sebab nak bagitau kawan kawan yang aku masih hidup agaknya. mula mula aku gunakan nama sendiri untuk akaun facebook tu, lama kelamaan aku tukarnya sendiri lebih kurang kepada nama Bersyukur Diberi Kesihatan dengan harapan ada manusia yang menyedari bahawa kesihatan adalah mahkota tak terlihat, dan tidak ada seorang pun yang dapat melihatnya melainkan mereka yang sakit. sebagai contoh, tidak perlu pantang untuk makan sesuatu tu dah merupakan salah satu nikmat yang cukup besar!


Tuesday, August 02, 2016

Hiburan sebelum aku memiliki gadget (BAHAGIAN 2)

 


Agaknya masa muda ayah aku suka kumpul benda ni,




Turunlah ke aku. aku simpankan koleksi ayah aku ni berserta aku punya yang tak seberapa ni.



Aku tau duit syiling satu sen dan sekeping syiling seringgit tu nanti akan ada nilainya so awal awal aku simpan 46 keping tu sebagai koleksi kepunyaan aku, tapi aku tak dapat la nak kumpul duit singapura atau duit thailand.

Minat aku mengumpul sesuatu barang yang ada nilai tersendirinya diteruskan lagi dengan mengumpul keratan keratan akhbar yang menarik di mata aku.


Masa ni minat betul aku dengan sejarah titanic. aku mencari segala cerita berkaitan titanic, aiceberg, dan cerita mangsa yang terselamat. punya la semangat sampai ke library di daerah ni aku pergi mencari. Vcd titanic pun ada kat rumah ni, siap beli yang ori lagi.


Akhir sekali perangai aku yang suka copy paste ayat ayat sedap ni jadi hobi aku, secara tak langsung dahulu ia mengajar aku cara untuk menulis dan berbahasa. akan tetapi sampai sekarang aku masih tidak sehebat orang lain dalam menghasilkan sesuatu penulisan.


p/s:
Alhamdulillah aku sempat merasai zaman kanak kanak yang seronok dalam keadaan sihat dahulu.. orang lain mungkin nampak itu perkara biasa, tapi bagi aku tak. melalui zaman kanak kanak dalam keadaan yang sihat nampak seperti perkara kecil. hakikatnya, orang yang tak dapat merasai nikmat seperti itu pasti mahukannya. Bersyukurlah sentiasa kawan.