Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Pertama
sekali aku nak ucapkan takziah buat ahli keluarga mangsa kebakaran wad
ICU Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor yang berlaku hujung
bulan lepas.
Dah
lama rasanya aku tak sambung bercerita, jadi entri kali ni adalah
sambungan untuk cerita sebelum ni yang aku tinggalkan part aku dapat
berjalan semula tanpa tongkat pada penghujung Januari tahun 2013 (
klik sini untuk
baca entri berkaitan sebelum ni) tapi itu acah acah je, masih belum
tiba pengakhiran hidup aku yang banyak masa dihabiskan dengan terlantar
waktu tu. pada hari pertama aku mula berjalan tanpa tongkat ataupun
mungkin hari hari seterusnya, ketika aku bersama keluarga masih di
tempat aku berubat tu, difahamkan aku dah tak boleh bersukan, ah tamat
lah kehidupan berfutsal dan aku dinasihatkan juga supaya tak menunggang
motosikal, senang cerita tak boleh melakukan aktiviti lasak. aku tak
ingat pula 'tak boleh' tu merujuk untuk selama lamanya atau buat
sementara waktu saja, ataupun itu hanya saranan daripada orang/doktor
homeopati yang merawat aku berdasarkan keadaan aku waktu tu.
"Arghhh
mengapa aku diuji begini?! Sanggupkah aku habiskan sisa sisa hidup aku
dalam keadaan standard seperti barang second-hand?".. erk, macam dialog
drama melayu kan, aku tak pakai dialog ni.
Juga pada hari yang
sama ataupun mungkin hari hari seterusnya setelah aku dapat berjalan
dengan kedua dua tangan mengepak macam jalan itik tu, ada satu hari tu
aku dipaksa untuk berjalan, tapi bukan berjalan sendiri, aku perlu
pegang lengan doktor tersebut dan mendaki jalan yang sangat berbukit
(sila bayangkan lebih kurang 67.5 degree kecondongan jalan tersebut,
haha) kalau aku tak nak kena tinggal di tengah jalan yang berbukit dan
kena mengesot pulang ke klinik sendiri ataupun pulang dalam keadaan
tergolek golek, teruskan pegang lengan tu dan berjalan. secara tak
langsung aku dah pun kena paksa berjalan.
Bulan dua
tahun 2013 tersebut aku sudah boleh mencukur misai sendiri, dan rasanya ni
bukan kali pertama, aku dah pernah mencuba sikit sikit sendiri sekali
dua sebelum ini. tapi kerja mencukur misai kali ini bukan mencuba lagi
dah, memang aku buat dari A sampai Z sebagai persiapan untuk majlis
perkahwinan akak sulung aku pada awal bulan tiga nanti. awal awal aku
dah mencukurnya sebab aku perlu sediakan waktu untuk 'tunggu luka
sembuh', aku tak nak la waktu majlis nanti kulit pada bahagian misai aku
terasa pedih. waktu ni tangan kanan aku masih belum normal lagi (tangan
kiri aku lagi teruk), jadi pasti luka waktu bercukur nanti. oleh itu aku
perlu bercukur awal sebagai persediaan berdasarkan pengalaman terluka
waktu cukur misai sebelum ni. bulan yang sama tahun tersebut juga
merupakan kali pertama aku potong rambut di kedai gunting rambut. masa
tu aku dah boleh melangkahkan kaki dan juga jalan berpimpin di kiri
dan kanan. dari kereta yang diletakkan di hadapan kedai tersebut untuk
masuk ke dalam kedai, aku perlu jalan berpimpin, disebabkan jalan di
situ sangat mencabar dan hanya mak aku seorang yang menguruskan aku maka
lebih senang aku peluk mak aku dari belakang sementara kedua dua tangan
aku bersilang di lehernya, macam yang aku cerita sebelum ni. begitulah
keadaan kami setiap kali melangkah masuk ke kedai gunting rambut bermula
bulan dua yang lepas.
Ketika
majlis perkahwinan akak sulung aku dulu kami ada bertemu dengan seorang
pengamal homeopati yang lain, dan dari situ bermulalah idea berpindah
tempat untuk berubat iaitu di
klinik homeopati di Sitiawan Perak atas
beberapa faktor. pada 27 Mac 2013 kami mula berulang dari rumah ke sini
semata mata untuk bawa aku berubat, destinasi yang kami tuju ni sudah
semestinya lebih dari 2 marhalah berbanding daripada tempat aku berubat
sebelum ni. perjalanan pula memakan masa sekitar 8 ke 9 jam
ataupun mungkin 10 jam. maklumlah mereka bawa orang yang tak sempurna,
banyak kali terpaksa berhenti untuk salin pampers aku, buat makanan aku,
dan pelbagai masalah lain lagi. sebab tu apabila 'orang yang tak berapa
normal' dibawa berjalan/travel (dalam kes ni aku lah orangnya), banyak
barang keperluan dan jugak aksesori dia yang perlu dibawa bersama. macam
angkut barang satu lori banyaknya.
Kenapa kena buat makanan aku? Kenapa tak makan makanan yang dibeli di kedai sepanjang perjalanan je?
Aku kan ada sakit kencing, makan makanan yang ada di kedai terang terang aku akan sakit nanti.
Apa yang dimaksudkan dengan 'buat makanan' tu?
Mereka bawa periuk nasi, termos, bawa lauk, bawa macam macam kecuali
garam, kunyit, asam gelugur, peti ais, tong gas, kuali dan seangkatan
dengannya. haha. jadi bila tiba aku perlu diberi makan, kami akan
berhenti sekejap dan masing masing selesaikan perut sendiri. makanan aku
pula mereka siapkan dan diisi dalam tapeware dengan lauk yang siap
diperisi sekali.
Waktu ni aku cuba suap makanan sendiri
dalam kereta beralaskan beg beg yang berfungsi sebagai meja makan sebab
waktu ni tangan aku tak boleh nak tolong pegang tapeware. memang lama
masa yang diambil untuk aku habiskan makanan.
Ermm most of the
time rasanya mereka akan suap aku makan sebab dalam kereta aku
dikecualikan daripada suap sendiri. lepas ni aku akan cerita
permulaan aku perlu suap makan sendiri.
Diringkaskan cerita, kali
pertama kami ke sini pada tahun 2013 dahulu aku dibawa ke laut untuk
difisio. ok aku tak tahu nak tulis apa, cuma
yang ada hanyalah gambar.
Dalam
hal hal yang lain aku masih lagi serupa seperti dulu, cuma mungkin ada
sedikit perubahan. kalau dulu mereka mandikan aku atas kerusi malas di
dalam tandas ataupun hanya lap badan aku guna kain kecil atas kerusi
malas ni juga tetapi di luar tandas. kemudian selari dengan
perkembangan baik yang berlaku pada aku, lama kelamaan aku dibawa
masuk ke dalam tandas bersama sama dengan wheelchair tersebut, rasanya cara ni
digunapakai dalam jangka masa yang lebih lama berbanding cara yang lain
lain tu, untuk melalui pintu tandas yang bertingkat sikit tu macam
biasalah kena dahulukan tayar belakang yang lebih besar. mujur tandas tu
muat nak sumbat ramai ramai dalam tu, dah lah wheelchair tu macam
jentera besar.
Di dalam tandas aku akan ditransfer dari wheelchair
ke kerusi plastik tempat aku duduk untuk mandi, aku akan pegang tangan mereka dan berjalan dengan perlahan. semuanya mereka yang buatkan,
sabunkan aku, syampukan kepala aku, cucikan muka aku, kemudian bilas
aku, malah gigi pun mereka gosokkan. senang cerita macam mandikan budak
kecil semula.
Eh kejap, orang yang sihat pernah terfikir tak bahawa gosok gigi
sendiri tanpa melihat cermin tu kerja yang sangat rumit? tambahan pula
selepas koma ni aku dah lupa susunan gigi dalam mulut sendiri. aku tak
tau mana yang perlu digosok dan mana yang tidak, yang aku tau dan ingat
sampai ke harini kalau mereka gosok gigi aku dengan kasar, aku gigit berus
gigi tu tanda protes. haha.
Lepas aku jatuh sakit ni dinding
mulut aku ataupun bibir aku selalu pecah pecah, aku selalu juga menghadapi masalah gigi berlubang. sebab itu kerja kerja mereka menguruskan gigi aku sangat rumit, gosok gigi aku yang ada ulser dah
satu hal, kalau mereka gosok kasar kasar terkena ulser, aku pun apa
lagi terus gigit berus gigi tu. setelah aku pandai gosok gigi sendiri
pula, lepas aku gosok gigi mereka kena korekkan gigi aku, aku gosok
tak bersih, dah la gigi aku banyak berlubang, ditambah ulser yang silih
berganti cuma bertukar tukar koordinat dalam mulut ni. sampai sekarang
tau!. susunan gigi aku yang kurang cantik dan merumitkan pun aku rasa
salah satu sebab aku gosok gigi tak bersih, ish tapi lebih baik ada gigi
yang tak tersusun rapi, sekurang kurangnya masih mampu mengunyah
makanan daripada kena makan guna tiub susu ikut hidung, kan?
Perubahan yang aku maksudkan di sini
sejak aku boleh melangkahkan kaki ni, memang tak berlaku secara drastik
pun dan makan masa juga, contohnya lama kelamaan mereka tak perlu lagi
bawa masuk wheelchair, dah memadai park wheelchair di depan pintu
tandas je. kemudian aku berjalan masuk ke tandas dalam keadaan takut
licin dan takut terjatuh sambil dipimpin mak aku, kalau kakak aku ada di rumah mereka lah buat. lama kelamaan aku mula sabun
sendiri, kadang kadang cuci muka sendiri, syampu kepala sendiri, dan
bilas badan pun sendiri. kalau dulu mereka ada sepenuh masa di dalam
tandas untuk mandikan aku, bilaskan aku, dan lapkan badan aku (aku
sebenarnya tak ingat pun part mereka lapkan badan aku ni, yang
pasti tak mungkin aku mampu buat sendiri). sekarang aku perlu buat
sendiri hinggakan kadang kadang aku sudah siap bilas badan pun tiada
orang yang tengok tengok kan aku.
Ada satu masa dahulu, sementara
aku menunggu orang yang bertanggungjawab bawa aku masuk tandas untuk
datang semula memimpin aku keluar dari tandas, aku terfikir sambil mata
aku memandang pintu tandas yang tak sampai 8 kaki dari tempat aku mandi
duduk di dalam tandas, sejauh tu pun aku tak mampu untuk bangun sendiri
dan keluar, sedihnya waktu tu. rasa tak sangka, sebab dahulu dalam acara
lompat kijang aku wakil sekolah di peringkat daerah dan aku berjaya
meraih pingat gangsa, huhu saja nak bagitau aku memang aktif bersukan
waktu sekolah tapi tak bermakna aku kekal sihat sampai ke tua, sekarang
nak berjalan pun lagi teruk daripada budak 2 tahun. sementara aku masih
lagi menunggu untuk dipimpin keluar dari tandas, dalam tak sedar air di
badan aku kering sendiri tanpa dilapkan.
Setelah aku
selesai mandi sendiri, sebelum keluar dari tandas mereka akan terus
pakaikan aku pampers secara berdiri / pakaikan pampers secara ringkas. haa
hebat tak kami boleh pakai pampers berdiri. hehe. bukan apa, kalau
dulu sebelum aku ada sakit kencing, kalau dulu sebelum aku ada 'rasa nak
buang air kecil', kalau dulu masa mereka kena tolak wheelchair masuk
tandas untuk bawak aku mandi, waktu tu mereka akan pakaikan aku pampers
setelah keluar dari tandas selepas mandi yang macam kebiasaan buat pada bayi tu, tapi disebabkan aku tiada kemampuan nak tahan dan selalu 'ter'
buang air kecil sebelum sempat pakai pampers, mereka mula ubah supaya
pakaikan pampers siap siap dalam tandas lepas mandi.
Tapi secara berperingkat jugak;
mula
mula pakaikan pampers atas wheelchair di dalam tandas, kalau nak tahu
jentera besar tu boleh dibaringkan. mereka pakaikan pampers dalam
keadaan aku baring atas wheelchair tu. kemudian selari dengan perubahan
pada aku yang sudah mula berdiri/melangkah ni, mereka pakaikan pampers
cincai cincai di dalam tandas tetapi secara berdiri. aku namakan sendiri
teknik pakai cincai cincai ni sebagai 'pakai bodoh'.
Zaman zaman mereka pakaikan pampers aku secara berdiri di dalam tandas selepas
mandi ni selalu juga mereka tersentuh bahagian belakang kepala aku,
memang sakit, rasa macam tersentuh terus ke otak. maklumlah, bahagian belakang kepala aku
kan kena operate. aku tak tau apa sebenarnya yang
berlaku tu, betul ke tersentuh otak aku tadi, jadi aku akan suruh mereka berhati hati. penggunaan pampers pula masa ni masih lagi
banyak.. sangat banyak. tiada perbezaan pun daripada sebelum ni. bila
tiba masa beli pampers tu macam kena beli satu lori kontena.
Seorang
kawan sekolah aku pernah bertanya pada aku sewaktu kami berbual di facebook dulu, macam mana kalau aku nak buang air besar? ada orang kena
tolong papahkan ke?. ish boleh pula dia tanya macamtu, rasanya sekitar
waktu ni aku baru saja pandai mencuci 'benda' tu dengan tangan sendiri,
tolong papahkan aku untuk buang air besar bukan lagi isu besar yang
memalukan. kalau dulu langsung aku buang air besar dalam pampers,
kemudian tangan merekalah yang 'basuh aku'.
Proses yang memerlukan aku untuk meneran tu
selalu berlaku di tempat aku bertapa, kerusi malas ni. di situ memang tempat yang sesuai. tempat aku bertapa ni jugalah tempat aku
makan, tidur, duduk sepanjang hari, 'melepas' , mandi, gosok gigi, dan
juga bersolat.
 |
dah
lama kerusi malas ni berkhidmat dan dah terlalu banyak aktiviti yang dilakukan di atasnya sehinggalah terpaksa alas pakai kotak |
Habis semua dah takde rahsia lepas aku
sakit ni. daripada makan, minum, pakai, cuci, mandi, gosok gigi,
kebersihan badan, dan segalanya, semua mereka dah tolong buatkan, dah
tiada rahsia. termasuklah bulu bulu di badan, menggunting misai pun
kakak aku buatkan untuk majlis pertunangan kakak sulong kami bulan Ogos
2012, pada tahun 2013 ni aku baru mampu untuk mencubanya sendiri tapi
itupun bukan menggunting misai, aku mencukur misai. tau kenapa? cukur
lagi senang daripada gunting, maklumlah tangan kiri aku macam ni,
tangan kanan aku pun bukan normal sangat lagi, suap makanan pun tumpah
tumpah.
Kalau
nak buang air besar pun aku masih perlu dibantu untuk ke tandas, begitu
juga kalau aku nak bergerak ke mana mana, mereka tetap perlu berdiri
depan aku, aku akan pegang pinggang mereka dan bangun sendiri. kalau
dari katil, aku gerakkan badan hingga ke tepi katil, kemudian
mengiringkan badan menghadap ke tempat nak turun tu, selalu aku pilih
untuk pusing ke sebelah kiri badan sebab boleh menggunakan tangan kanan
aku yang lebih kuat dan lebih normal berbanding pusing ke sebelah kanan
dan terpaksa menggunakan tangan kiri untuk bekerja, jatuhkan kaki
lepastu aku tolak badan guna kedua dua tangan sehingga dapat duduk di
birai katil dalam keadaan kedua dua kaki mencecah lantai. kemudian
pegang pinggang mereka untuk bangun, proses nak bangun ni pun bukan
senang, selalunya ambil masa. bila susah sangat aku nak bangun sendiri, mereka mula pegang ketiak aku dan terus angkat aku, tapi takde la
serumit dulu untuk mengalih alikan aku dari satu tempat ke tempat yang
lain.
Itu kalau cerita aku untuk bangun dari berbaring di katil,
kalau aku baring di atas tilam yang sama level dengan buku lali ataupun lantai, memang menimbulkan masalah sikit tapi tetap dapat dilakukan.
dari lantai aku bangun daripada baring untuk duduk bersila sama stepnya
macam di katil cuma aku tak mampu nak bangun berdiri tegak. jadi kalau
dari paras lantai mereka terpaksa tundukkan badan, pegang ketiak aku dalam keadaan aku
dah duduk bersila dan terus mengangkat aku
macam nak mendukung baby besar, aku hanya bantu sedikit dengan menolak
kaki sendiri untuk bangun.
Waktu waktu ni fikiran aku terlalu
kartun dan tak matang langsung (maklumlah umur aku baru mencecah 20
tahun. ah peduli apa sekarang pun aku belum matang lagi), aku tau aku
nak cepat sembuh, aku tau aku tak nak pakai pampers dah, aku tau aku nak
boleh berjalan macam orang normal, aku tau aku tak nak ada sakit
kencing dah, dan macam macam perubahan yang aku inginkan dalam sekelip
mata, aku nak macam ada satu keajaiban berlaku pada aku supaya aku dapat
jumpa semula kawan kawan seperjuangan untuk ucapkan selamat tinggal.
dulu tak sempat langsung aku nak buat majlis perpisahan, aku berhenti
belajar dengan sangat mengejut!. pernah juga masa aku mula mula dapat
tau aku berada dalam keadaan sakit, aku terfikir kalau aku baca selawat
syifa' yang telah mereka ajarkan dulu dengan kerap termasuklah
membacanya setiap kali makan ubat biji kecil kecil (ubat homeopati),
mungkin aku akan sembuh
DALAM SEKELIP MATA, tapi tiada pun
keajaiban yang boleh diklasifikasikan di luar kewarasan manusia macam tu
yang berlaku pada diri aku waktu tersebut. sama jugak kalau aku
berharap dapat terserempak secara tak sengaja dengan Britt Robertson kat
KLIA. mustahil kan untuk berlaku benda benda macamtu?
 |
kepada sesiapa yang tak dapat bayangkan rupa britt robertson, ha ni muka dia |
 |
kalau nak tau dia ada berlakon movie terbaru, Mr. Church yang turut dibintangi oleh Eddie Murphy dalam movie tersebut |
(Aku flashback kejap ni)
Sebelum
tiba bulan Ogos tahun 2012 dahulu yang merupakan bulan kakak sulong aku
mengikat tali pertunangannya, kakak ketiga aku telah pun tamat cuti
semester dan kembali ke universiti. ini merupakan satu cabaran baru buat
kami, terutama sekali mak aku dan aku sendiri kerana waktu tersebut
keadaan aku boleh dikategorikan sebagai masih belum normal lagi,
sehingga wujud ayat mak aku "just the two of us" yang sering
diungkapkannya hingga ke hari ini apabila kami kena tinggal berdua saja.
dalam keadaan aku yang masih belum boleh berjalan lagi masa tu,
bergerak dari satu tempat ke satu tempat pun dengan menggunakan
wheelchair, namun aku mampu gerakkan wheelchair tersebut menggunakan
kaki sendiri walaupun sangat lambat untuk sampai ke destinasi, dan
hakikatnya lebih cepat kalau orang lain yang tolakkan. masa ni tak
banyak tangan yang dapat menjaga aku jadi aku perlu belajar suap makanan
sendiri dengan menggunakan sudu, detik permulaan aku perlu suap makan
sendiri bermula di kerusi malas beralaskan dua biji bantal besar sebagai
meja makan, serta talam untuk mengalas pinggan sebab aku baru belajar
suap makan sendiri, pasti bersepah sepah. masa yang diambil untuk aku
menghabiskan makanan selalunya memang berjam jam.
Perkara kedua
yang aku anggap cabaran besar buat aku masa ni adalah aku perlu belajar
'rasa nak buang air besar'. kalau dulu masa kakak ketiga aku masih cuti,
aku memang akan melepas/buang air besar di dalam pampers di kerusi malas kemudian mereka
akan bawa aku ke tandas duduk untuk selesaikan aku. walaupun samar
samar tetapi aku masih ingat hingga ke hari ini kepayahan kerja kerja
mereka nak mencuci aku selepas buang air besar di dalam pampers, al
maklumlah main dengan bahan buangan ni, bau getah buku lagi sedap tau.
kakak aku perlu pegang aku untuk berdirikan aku, biasanya memang mak aku
selesaikan pampers dan isi kandungan di dalam pampers tu.
Disebabkan itu apabila tamat sahaja cuti sem
kakak ketiga aku, aku sendiri perlu alert dengan hal hal buang air
besar, aku mesti cepat belajar merasai 'rasa nak buang air besar' agar
aku tak buang air besar dalam pampers dan kuranglah sikit cabaran
untuk mak aku melakukan kerja mencuci yang sepatutnya dilakukan oleh dua
orang. disebabkan hal ini juga, aku perlu catatkan tarikh aku buang air
besar supaya aku senang jangkakan tarikh seterusnya dan aku lebih
bersedia untuk buang air besar pada hari tersebut, secara tak langsung ini
juga melatih aku untuk tahan buang air besar dan segera ke tandas. aku
akan save di dalam handphone berskrin besar tarikh aku buang air besar
sebagai 'POM', keadaan badan aku masa tu selalunya 5 hari sekali aku POM
ataupun boleh jadi seminggu sekali. rasanya takda la normal sangat,
orang normal sehari atau 2 hari sekali kan? (kebetulan sama seperti Mrs
Philpots yang perlu gunakan reminder dan sticky notes untuk mengingatkan
beliau tentang sesuatu perkara). tetapi dalam pada proses aku belajar
merasai 'rasa nak buang air besar' tu, banyak kali jugak mak aku
terpaksa melakukan kerja mencuci yang sepatutnya dilakukan oleh dua
orang tu. dan setiap kali berlaku keadaan begitu, seperti kebiasaan mak
aku akan uruskan pampers yang mempunyai isi, sementara itu aku perlu
berdiri menggunakan walking support/walking frame untuk membolehkan mak
aku tanggalkan pampers aku kemudian barulah aku duduk dan mencucinya
sendiri.
(ok dah habis flashback)
Jun 2013.
Hampir sepuluh bulan selepas aku mula mencatat
tarikh aku POM di dalam handphone aku, ditakdirkan gadget berskrin besar
yang aku beli di Kelantan dahulu tu rosak, maka aku perlu catatkan
pada kertas. hah rupa rupanya menulis pun aku dah lupa, dari situ
bermulalah pula episod aku perlu belajar menulis semula, mujur aku
masih mengingati cara bercakap, membaca, dan mendengar.
 |
rasanya
tulisan budak 5 tahun lagi cantik daripada ni. haha. apa apapun nasib
baik aku tak lupa kewujudan huruf huruf ni, kalau tidak apa yang aku nak
tulis
|
Akhirnya pertengahan tahun 2013 aku mula menulis (12
Jun), jari aku jangan ceritalah, habis semua merah merah. menurut
catatan ringkas dengan tulisan cakar ayam aku tu, katanya habis merah
merah jari aku sebab tak biasa pegang pen, bila tulis secara perlahan
lahan barulah cantik.
Selain itu, kemahiran lama yang baru aku
kuasai ni aku gunakan untuk mencatat tarikh aku potong rambut dan juga
tarikh aku kemas kini bulu bulu di badan termasuklah janggut dan misai,
agar aku dapat merancang untuk projek mengemas kini yang seterusnya. Hmm
macam projek juta juta pula.
Ok
aku guna ayat sopan nak tanya ni, pernah terfikir tak bulu yang ada
pada kulit di bawah lengan dan juga bulu bulu di bahagian sulit bagi
seorang yang tiada upaya pun perlu ada orang lain yang menguruskannya?
tambahan pula orang yang menguruskan segala hal tu berlainan jantina
dengan orang yang tiada upaya tersebut, makna kata kat sini, cara dan
kaedah yang perlu digunakan pun pasti berbeza. huhu. menurut orang yang
menjaga aku, masa aku tengah terlalu teruk dulu bulu bulu ni tak tumbuh
dan mereka tak perlu susah susah nak fikir.
Soalan kedua, agak
agaknya orang yang tiada upaya tersebut ada rasa malu tak?. kalau tanya
aku jawapannya dah pasti ya, tapi orang lain yang tiada upaya mungkin
tak kisah. lain orang lain pendapatnya. mahu atau tak perlu ditolak
tepi semua tu, diri sendiri bukannya mampu nak buat.
Aku
baca semula buku aku belajar menulis tu, dalam banyak banyak benda
mengarut yang aku tulis, aku tertarik dengan satu tulisan tangan yang
bertarikh 13 Jun 2013. aku kira benda ni sangat bermanfaat untuk
dikongsikan;
"
Aritu tengok program Selami Jiwa fadzilah kamsah sebagai pengacara,
beliau citer pasal nabi ayub yang menghidap sakit dan habes ladang
musnah, bini tinggalkannya, katanya 80 tahun dipinjamkan kesihatan dan
baru beberapa tahun sakit. so berbalik pada aku, aku ade tangan kiri
yang sehat 18 tahun dulu dan skang baru nak dekat 2 tahun sakit....
Conclusion, hargailah nikmat yang kite ade skang sebelum ditarik! "
Itu
antara tulisan tangan aku setelah dua hari baru boleh menulis,
disebabkan tulisan tu buruk sangat untuk ditayangkan maka lebih baik
aku copy paste.
Untuk baca kisah Nabi Ayub, boleh baca di entri
Kisah Nabi Ayub.
Sekian.. maafkan atas kekurangan dalam penyampaian aku dan terima kasih kepada yang sudi baca panjang lebar ni!