Tuesday, May 30, 2017

Hari hari yang mewarnai bulan SyaabanKu




Bismillah..
Assalamualaikum..

Masih belum terlambat aku nak mengucapkan selamat berpuasa kepada semua manusia yang beragama Islam. ini merupakan bulan Ramadhan kali ke 6 yang dilalui selepas aku bertukar status / kejatuhan nilai-dan-kualiti-hidup dalam dunia pada mata manusia. bulan puasa tahun 2012 iaitu lebih kurang kira kira 9 bulan selepas aku koma, aku turut berpuasa lebih kurang sebanyak 6 hari dan kesemuanya adalah kerana terjaga ketika mak dan kakak aku bersahur. tahun 2013 pula aku dapat berpuasa sebanyak 10 hari dan kesemuanya adalah kerana Allah. yang paling bermakna apabila tahun tersebut aku berjaya mengalahkan adik bongsu yang berumur 8 tahun sedang aku telah mencecah 20 tahun. tahun 2014, 2015, 2016 dan mungkin juga tahun 2017 aku tak berpuasa langsung gara gara kembung perut. aku mungkin dah pernah sebut tentang perkara ni sebelum ini ataupun belum pernah, maafkan aku sebab yang menulis blog ni pun bukanlah orang yang sihat 100%.



Untuk pengetahuan semua, 10 Mei 2017 yang lalu mak aku berada dalam keadaan yang kurang sihat pada sebelah malam selepas minum air daun bidara (sidr), kebetulan pula masa tu mak aku perlu ke tandas untuk buang air kecil. akhirnya beliau minta pampers aku kerana tak mampu untuk berjalan, dan aku kata 'jangannnnnn'. sebab pakai pampers sendiri dalam keadaan berbaring buat kali pertama bukan semudah melihat aku yang melakukannya setiap hari dalam masa 3 tahun, haaa tahu tak?. kalau dah siap buang air kecil di dalam pampers kemudian nak salin sendiri buat kali pertama, agak agak senang ke susah? akhirnya keputusan yang diambil adalah mengesot ke tandas. hal yang berlaku pada malam tersebut membuatkan aku teringat satu masa dulu ada ketikanya kami semua memikirkan cara untuk aku bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa bergantung sedikit pun pada wheelchair, mulanya aku memilih untuk merangkak tapi malangnya badan aku berat, bukan macam bayi dan lutut aku akan sakit. kemudian aku memilih untuk mengesot, aku mengesot untuk satu tempoh yang agak lama dulu (baca entri ini, waktu ni aku aktif melakukan aktiviti mengesot), berdasarkan pengalaman aku mengesot dengan hanya memakai pampers tanpa berseluar pendek akan mendatangkan kesakitan pada paha serta menyukarkan usaha tersebut. kesimpulannya kepada sesiapa yang nak mengesot tu disarankan pakai sesuatu yang licin agar mudah bergesel pada lantai, anda boleh juga menggunakan kain atau bantal sebagai alas kepada punggung. ini cadangan daripada aku je, terpulang mengikut keselesaan masing masing untuk mengesot. oh ya, aku lebih suka mengesot atas karpet berbanding lantai semata sebab mungkin buku lali, pergelangan kaki atau sekitar anggota yang aku nyatakan tu terasa kurang sakit.

Oleh kerana entri ni aku label juga sebagai Tips jadi aku nak selitkan cara minum air dalam keadaan baring. selepas segala yang berlaku pada malam tersebut aku tak sangka pula bukan semua orang boleh minum dalam keadaan baring, dan ramai juga yang berfikir minum sambil baring boleh lemas atau tersedak, ya tak dinafikan langsung tapi cuba bayangkan kalau manusia tersebut tiada pilihan melainkan minum dalam keadaan baring?. caranya mudah; jangan ketawa, tahan nafas sebentar, tuang air ke dalam mulut dan berhenti setelah penuh, kemudian telan sedikit demi sedikit, jangan teguk air sewaktu sedang tuang air ke dalam mulut, paling penting minum dengan tenang, haha. entah kenapa aku tulis benda ni.



Malam berikutnya pula (11 Mei 2017) bekalan elektrik terputus sehingga awal pagi di kawasan taman perumahan kami, aku tak tahu apa nasib suami isteri di kawasan perumahan kami pada malam jumaat tersebut sebab aku sedang berjuang menghabiskan makan malam aku. lebih kurang 1 jam 40 minit kemudian pasukan penyelamat TNB tiba di rumah kami dan menghantar genset yang bakal membinggitkan kawasan sekitar rumah kami (terima kasih abang abang TNB!).


'Aku berjuang menghabiskan makanan', kedengaran macam meletakkan nyawa pada kedudukan yang bahaya, kira macam tu lah. kalau ikutkan garis panduan yang aku sendiri tetapkan selepas aku pernah pengsan ketika makan di dapur sambil ditemani kakak aku, apabila elektrik terputus aku sepatutnya menghentikan segala aktiviti yang membuatkan badan aku cepat panas seperti berbual, makan serta kurang melakukan pergerakan, seterusnya aku hanya perlu survive dalam ketiadaan elektrik atau dalam kata lain aku jangan pengsan dan terus bernyawa. tapi rasanya itu garis panduan yang lama, sekarang kalau aku panas ketika elektrik terputus (dalam tempoh yang tidak terlampau lama) aku boleh masuk ke tandas kemudian mandi untuk sejukkan badan, dan mungkin menjadi salah satu sebab aku kadangkala suka perhatikan waktu mula sesuatu perkara, waktu tamat, jam, tarikh, hari dan sebagainya.

Setiap bulan selalunya memang akan ketiadaan elektrik di tempat kami dan setiap kali keadaan tersebut berlaku 4 ke 5 tahun sebelum ni, mak, ayah dan kakak aku akan angkat dan masukkan aku ke dalam kereta yang ber air-cond. 'aku mula resah setiap kali panas' telah menjadi kayu ukur / konsep mudah buat mereka yang menjaga aku sejak dari aku tak mampu bercakap lagi menandakan aku tak stabil berada dalam persekitaran yang panas.
Agaknya sekitar tahun 2013 setelah kakak yang menjaga aku sejak di HUSM telah sambung belajar, penjagaan aku ketika elektrik terputus menjadi bertambah sukar sehinggalah mak aku menghubungi TNB kawasan itu. diringkaskan cerita setelah melalui semua kekusutan yang aku sendiri tak tahu dan juga setelah mengisi borang tertentu maka rumah kami telah diletakkan di bawah senarai VIP, ha lebih kurang macamtu lah. sehingga kini jika bekalan elektrik terputus melibatkan rumah kami atas perkara yang tak dapat dielakkan ataupun sebab tersendiri yang hanya TNB saja tahu, genset dari TNB akan dihantar terus ke rumah. mengalahkan puteri lilin kan?



Selamat beribadah di bulan Ramadhan.



Baca juga entri Haih, kenapa sekejap sangat? , Sebulan berkampung di HUSM , Perubatan alternatif sebagai jalan keluar




Sekian.

5 comments :

  1. Assalamualaikum dik.. mama baca posting adik mama tak tau adik sakit apa. Tapi mama tau adik seorg yg kuat. Be positive insya Allah, Allah balas dengan sebaik2nya atas kesabaran adik Dan keluarga. Mama doakan cepat sihat ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam.. Sy saja nk berkongsi cerita, terima kasih sudi singgah dan baca.. Ya semoga sy cepat sihat, terima kasih mendoakan :-)

      Delete
    2. GV pun doakan perkara yang sama juga. InsyaAllah. Aamin. :)

      Delete