Wednesday, September 07, 2016

Sedikit demi sedikit perubahan yang aku alami




*Ini sambungan untuk entri sebelum ni kehilangan memori jangka pendek (short term memory loss).


Bercerita tentang nikmat tak perlu pantang dalam mengambil sesuatu makanan, banyak sangat benda yang aku tak boleh makan, bukan 'pantang nampak makanan' je rasa nak makan. lagi satu, lebih lama daripada orang berpantang lepas bersalin. kalau aku makan juga tak mendatangkan gatal gatal, bersin, ruam, sakit perut atau apa apa la, tapi kencing aku akan terasa sangat sakit. pedih ya amat, macam ada kaca!
Aku masih ingat lagi sewaktu fasa aku mengalami short term memory dulu, boleh dikatakan setiap kali mak aku nak salinkan pampers aku akan keluar ayat ni,
"eh ada darah ni, call abang zaid". (Abang zaid bukan nama sebenar orang yang merawat aku).
Dialog ni aku kategorikan sebagai 'ingat ingat lupa' macam yang pernah aku ceritakan dahulu, iaitu zaman aku mengalami short term memory. apa yang baiknya sesetengah perkara aku hanya ingat ingat lupa / terasa macam pernah berlaku, bukan tiada memori langsung macam yang berlaku pada Drew Barrymore.


Aku ada terjumpa sebuah blog, katanya movie 50 First Dates lakonan Adam Sandler dan awek ni adalah inspirasi daripada kisah sebenar yang pernah terjadi pada Michelle Philpots, yang meneruskan hidupnya setiap hari disamping seorang lelaki yang akan meyakinkan beliau bahawa mereka telah pun berkahwin. apabila beliau menafikan, suaminya menunjukkan gambar gambar kahwin mereka yang telah disimpan berbelas belas tahun yang lalu kepadanya. selepas itu barulah Mrs Philpots yang menghidapi amnesia mempercayai segala yang suaminya Ian, katakan padanya adalah benar.


Gambar Michelle Philpots bersama sebahagian daripada berpuluh puluh nota yang ditulis beliau kepada dirinya sendiri.


Michelle dan Ian pada hari perkahwinan mereka pada tahun 1997. Beliau kehilangan memori jangka pendek pada tahun 1994 dan setiap hari sejak itu suaminya perlu meyakinkan beliau bahawa mereka telah berkahwin. Kadang kala Ian bertindak menunjukkan gambar perkahwinan mereka untuk membuktikan mereka adalah suami isteri.


Michelle Philpots yang sudah berusia 47 tahun berada dalam keadaan begitu disebabkan kecederaan otak yang dialami dalam dua kemalangan jalanraya. Beliau boleh mengingati semua perkara sehingga tahun 1994 sahaja tetapi selepas dari itu semua perkara yang berlaku dalam satu hari akan dilupai keesokkannya.
Kisah beliau lebih kurang seperti jalan cerita 50 First Dates, movie tahun 2004 yang dibintangi oleh Adam Sandler, dia berusaha untuk memenangi hati Drew Barrymore yang tiada memori jangka pendek berikutan kemalangan kereta.
Mrs philpots bukan sahaja berusaha mengingati orang yang disayanginya, beliau turut mengunakan beratus ratus kertas kecil ataupun sticky notes dan juga reminder di kalendar telefon untuk memastikan beliau sentiasa ingat sebarang temujanji dan tugas harian.
Apa apa urusan yang telah beliau selesaikan mestilah direkodkan untuk rujukan di masa hadapan. dan kadang kala beliau keluar dari rumahnya di Spalding, Lincolnshire, dengan berbekalkan Satellite Navigation (SatNav).
Walaubagaimanapun perkara ini ada baiknya, baginya tiada ulangan di tv dan setiap lawak jenaka tu menghiburkan kerana itu adalah kali pertama beliau mendengarnya.


"Seperti saya hidup dalam satu hari sahaja, dari hari ke hari" kata Mrs Philpots yang menjadi sukarela melakukan kerja amal untuk membantu orang kurang upaya selama 3 hari dalam seminggu.
"Saya gemar menonton EastEnders tetapi saya tidak dapat mengingati sebarang watak atau jalan cerita."
Suami beliau, pemain pedang yang berusia 46 tahun menyatakan rahsia perkahwinan yang berjaya adalah kesabaran. "Ia boleh menjadi sangat mengecewakan saya tetapi saya perlu bersabar dan faham. Saya perlu bertenang kerana saya mencintai dia" katanya.
"Saya telah mengenali dia selama 25 tahun jadi saya bernasib baik kami bertemu sebelum dia terlibat dengan kemalangan kerana dia mampu mengingati saya. Nasib baik kami mempunyai banyak gambar untuk mengingatkan dia, jika tidak dia akan lupa segala galanya."
Mrs Philpots mengalami kecederaan otak dalam kemalangan motosikal pada tahun 1985 dan kemalangan kereta pada tahun 1990. Pasangan ini tidak mempunyai anak.

Kemalangan kereta pada tahun 1990 yang berlaku 5 tahun selepas kemalangan motosikal. kemalangan tersebut menyebabkan beliau kehilangan memori jangka pendek.



Kes Michelle Philpots sama seperti jalan cerita di dalam filem 50 first dates, watak utama yang dilakonkan oleh Adam Sandler dan Drew Barrymore. Drew Barrymore yang memegang watak Lucy, mengalami kehilangan memori jangka pendek dan setiap hari dia lupa orang yang dicintainya Henry, dilakonkan oleh Sandler.


Dr. Peter Nestor, seorang pakar nuerosains di Universiti Cambridge berkata, Mrs Philpots telah menderita anterograde amnesia.
katanya lagi " ia perkara munasabah yang jarang berlaku tetapi ia tetap wujud. kita mampu untuk meneruskan hidup dari hari ke hari dan tidak lupa untuk melakukan sesetengah perkara seperti bercakap. tetapi jika seseorang bertanya apa yang dilakukan semalam, kita tidak akan dapat menjawabnya."


*************


Habis di situ cerita dia. perkara utama yang aku nak sampaikan di sini, bila aku buang air kecil masa aku tengah sakit teruk dulu akan terdapat darah sedikit, bila aku ada sedikit peningkatan dalam mengingati sesuatu, bila aku semakin pulih, kencing berdarah yang aku sendiri tak pasti sama ada mendatangkan kesakitan pada aku waktu tu ataupun tidak telah bertukar kepada kencing tanpa darah tetapi sakit, kadang kala amat sakit. yang jadi 'amat sakit' tu kalau semua benda aku makan.

Hah aku baru teringat di hari pertunangan kakak sulung aku pada bulan Ogos tahun 2012, macam biasalah kalau aku tak duduk di kerusi malas tempat aku bertapa dari mula mula sakit dulu, aku akan dibaringkan di atas tilam ataupun katil, tak mungkin aku akan duduk di beranda rumah sambil bermain catur pula kan. nak jadikan cerita yang aku ingat hingga ke hari ini, dalam pada masing masing sibuk (ataupun sengaja buat buat sibuk) dan aku pulak masa tu tak mampu nak bergerak sendiri walau sehasta jaraknya, ntah macam mana di sebelah tempat aku berbaring ni ada dua bekas muffin. siapa yang letak di sini woi? saja nak goda aku supaya makan benda tu kan, satu muffin coklat dan satu lagi oren. konsep yang aku pegang hingga ke hari ini, sekali sekala nak makan makanan yang mendatangkan sakit biarlah makanan yang betul betul sedap, baru berbaloi. akhirnya muffin yang mampu dicapai tangan aku tu, habis aku makan. aku pilih yang coklat. allahu sedapnya. by the end of the day tau apa yang aku dapat? Ya aku sakit kecing sangat sangat, padan muka siapa suruh makan benda tu.
Berbalik pada topik utama pasal sakit kencing yang aku cuba sampaikan ni, waktu begini satu benda yang aku pasti tentang badan aku; kalau aku jaga pemakanan, kalau aku tak makan pelik pelik, in shaa allah aku selamat dari sakit kencing. kalau aku melantak semua benda, tak jaga makan, aku tau kejap lagi aku akan sakit kencing. waktu ni senang nak faham badan aku, diibaratkan 1 + 1 = 2, tiada pula penambahan DyDx dan sebagainya. masalah berkaitan buang air kecil je la boleh guna teori ni, tidak termasuk masalah pengsan aku dan yang lain lain lagi.

Mereka terus menjaga aku dengan rutin yang sedikit berbeza dari sebelum ni. kalau dulu boleh dikatakan aku bocor pada setiap waktu pagi, tetapi sejak bulan Julai 2012 yang lalu, aku dah jarang bocor di katil pada setiap pagi, eh 'jarang' bukannya 'tiada langsung' tau. salah satu faktor yang boleh jadi kebocoran setiap pagi ni berkemungkinan juga sebab dulu aku tidak mempunyai 'rasa nak buang air kecil', aku hentam melepas je dalam keadaan posisi badan aku yang baring mengiring, dan akhirnya pomm basahlah seluruh alas tikar getah aku tu. tapi sekarang 'rasa nak buang air kecil' tu telah wujud di badan aku dalam bentuk sakit kencing, sedikit sebanyak masalah bocor di setiap pagi dan tidak mempunyai 'rasa nak buang air kecil' tu telah selesai dan digantikan dengan sakit kencing.


***********


Tengah tengah aku google berkaitan telinga dan pendengaran untuk mencari hubung kait antara telinga aku yang selalu tersumbat dengan badan aku yang tak stabil ni, benda ni pulak yang aku terjumpa, alangkah untungnya aku dan kita semua yang masih sempurna pendengaran.

Ini selingan je..


November 2012

Setelah aku mula untuk melangkah sikit sikit ni, walaupun aku masih perlu memeluk dari belakang sementara kedua dua tangan aku memaut pada leher mak aku untuk membantu aku berjalan, tapi sekurang kurangnya ini satu lagi perkembangan baik menandakan aku sudah mula untuk mengangkat kaki dan seterusnya melangkah. walaupun kadang kadang aku ditegur juga kerana masih berjalan tidak mengangkat kaki dan hanya mengheret kaki membiarkan mereka membawa seluruh berat badan aku. begitulah permulaan aku untuk mula berjalan, ada kala aku malas dan mungkin juga penat. yang pasti semenjak dua menjak selepas perkembangan baik ini, seiring dengan itu telinga aku selalu tersumbat.


Secara tak langsung masalah ini telah menggerakkan kaki kami menuju ke sebuah poliklinik di kampung ni untuk berjumpa dengan doktor. dalam keadaan aku yang berkerusi roda, ditambah pula doktor di situ dapat tahu aku masih lagi berpampers, beliau mula mencadangkan pada mak aku supaya mendaftarkan aku sebagai orang kurang upaya. menurut doktor tu lagi aku boleh didaftarkan sebagai orang kurang upaya seawal 6 bulan selepas hilang upaya. tapi maklum la, untuk satu tahun yang pertama ni mereka semua sibuk menjaga aku dan kami semua melalui satu peringkat baru dalam hidup hingga tak terfikir pun tentang kad OKU, tentang mendaftarkan aku sebagai orang kurang upaya dan juga tentang segala yang berkaitan dengan kecacatan.
Dengan apa yang terjadi di poliklinik itu akhirnya mak aku usahakan untuk mendaftarkan aku sebagai orang kurang upaya, selepas lebih kurang setahun sebulan dua minggu aku hilang upaya, pada 19 November 2012 secara officialnya barulah aku menjadi warga kurang upaya yang sah. Eh macam nak dapatkan kewarganegaraan pula.


Bulan November tahun tersebut juga merupakan kali pertama aku ke hospital besar semula, bukan poliklinik, bukan farmasi, dan bukan juga dalam keadaan tidak sedarkan diri ataupun koma, sebaliknya mak aku bawa aku ke sana untuk berfisio. aku tak pasti yang mana satu, sama ada aku menerima kad OKU dahulu ataupun aku dibawa ke hospital untuk berfisio dahulu. Di sana aku diajar membiasakan penggunaan tangan kiri aku yang agak tak teratur pergerakkannya, aku susun cawan kemudian aku telingkupkannya, bermain dengan lego menggunakan tangan kiri aku.
Keadaan tangan kiri aku bukan macam parkinson, tapi sesuatu pergerakan yang dilakukan tangan kiri aku tu macam tak tepat, aku sendiri susah nak kawal. sebagai contoh kalau nak tolak cermin mata, aku takkan guna tangan kiri aku sebab nanti tangan kiri aku akan tersentuh pipi ataupun tersentuh hidung. aku lebih senang gunakan tangan kananku. begitu juga kalau melakukan aktiviti lain, aku akan elakkan tangan kiriku daripada bekerja. pernah sekali aku cakap pada physiotherapists perempuan yang bantu aku melakukan aktiviti di situ, "orang lain umur 19 sibuk belajar, saya pulak tengah main lego" kemudian aku senyum..
Nak buat macam mana, dah ini bahagian aku di dunia ni kan, setiap orang pasti ada menghadapi kesusahan dan ujian masing masing.
Disebabkan aku sudah mampu untuk melangkah sedikit, ada satu ketika physiotherapists di situ tak membenarkan aku gunakan wheelchair. aku perlu berjalan masuk ke ruang rehabilitasi dengan berjalan kaki dan menggunakan walking frame / walking support, tidak dinafikan, untuk masuk ke situ saja sudah mengambil masa yang lama. Lebih kurang sebulan mungkin aku sempat beberapa kali melakukan aktiviti di hospital tersebut sebelum satu peristiwa yang berlaku pada aku sekaligus menyebabkan mak aku berat hati nak bawa aku ke situ semula. ini semua kerana kali terakhir dulu aku hampir pengsan selepas aku berdiri di atas sekeping papan dan bawahnya pula terdapat bola (lebih kurang itu gambaran untuk peralatan tersebut, aku tak tau apa bendanya tu). mak aku paling panik bila aku hampir pengsan tapi tak jadi pengsan, bila aku dah pengsan, bila keadaan aku yang hampir muntah tapi tak jadi muntah, dan bila aku dah muntah.

Ada orang kata walking frame ni macam kandang saksi di mahkamah tu..ceh





27 Januari 2013.

Dalam pada itu aku masih lagi berubat cara alternatif sejak dibawa pulang ke rumah dulu. cumanya kalau mula mula dulu ada ketikanya sehingga kami perlu bermalam di tempat aku berubat tu, sekarang kami tak perlu lakukan hingga ke tahap itu lagi. tapi masih lagi perlu bertolak pagi pagi, macam biasalah katanya "saraf lembut pagi pagi hari". Setelah lebih kurang setahun 4 bulan aku terbaring tanpa mampu berjalan, merangkak ataupun mengesot, akhirnya pada 27 Januari 2013 merupakan hari pertama aku dapat berjalan semula tanpa tongkat. punyalah excited, setelah pulang ke rumah dari tempat aku berubat tu aku terus update status di facebook untuk beritahu seluruh dunia, haha. aku mula berjalan pada hari tersebut bukanlah seperti orang normal yang sihat tu, aku perlu angkat kedua dua tangan aku ke paras dada sehingga menampakkan ketiak macam budak kecil baru belajar berjalan gitu, aku melangkah dengan sangat perlahan, lebih perlahan daripada siput khinzir. tak ingat pula waktu tu aku gayat dengan ketinggian aku ataupun aku lebih takut akan terjatuh, mungkin juga kedua dua nya sekali. kerana dalam masa yang sama aku memang rasa tak stabil langsung, boleh jadi aku tumbang ke sebelah kanan atau kiri, boleh jadi aku tersungkur ke depan, boleh jadi aku jatuh ke belakang.


Sangat susah untuk aku mengimbangkan diri sendiri. ye cerebellum tu punca.






Sekian..terima kasih daun keladi kepada yang sudi meluangkan masa untuk baca..

No comments :

Post a Comment