Wednesday, March 01, 2017

Gelombang rindu (Part 4)




Untuk mengelakkan entri aku ni kelihatan macam drama bersiri filipina yang ada beratus ratus episod tu, maka ni perkongsian yang terakhir untuk entri yang tajuknya pun acah acah filem melayu pecah panggung.




*****




Setiap permulaan dibayangi dengan pengakhiran,
Setiap pertemuan akan menyusulnya perpisahan,
Itu fitrah alam...
Apa jua kisah tidak akan lengkap tanpa penamat,
Cerita yang berlaku melibatkan banyak watak,
Setiap watak pasti berbeza peranannya.....
Ku kira hal ini sudah berakhir dan sekarang sedang melalui kesan yang tak mungkin hilang..
Sebagai watak sampingan, hanya duduk di suatu sudut memerhatikan wayang yang dimainkan,
cukup sempurna.
Banyak perkara yang berlaku akan melibatkan watak sampingan,
Walau tidak semua tapi banyak perkara.
Sudah semestinya watak utama yang menggerakkan cerita lah yang banyak memberi kesan...
Baik atau buruk, terpulang pada si pemilik cerita!










 Ok aku dah habis rindu dan dah habis berkongsi.. Sekian terima kasih babai


Tuesday, February 28, 2017

Gelombang rindu (Part 3)





Dari sebaris ayat, ku kumpul menjadi puisi
Lalu ku coretkan di atas sehelai kertas.
Tanpa ku sedari
Ia telah menjadi sebuah buku yang berharga
Tajuk nya ringkas tapi bermakna bagi ku
' Semusim perkenalan yang cukup indah '
Ku simpan buku berharga itu, tersusun rapi..
Tanpa ku sedari buku tadi musnah dari dalam
Helaian demi helaian telah hilang
Lama kelamaan,
Hanya tinggal sehelai dua muka surat
Kini ku rasakan sehelai dua ini lebih bernilai daripada senaskah buku yang asal
Mahu ku gantikan helaian rosak dengan yang baru,
Pasti takkan sama..
Seribu satu macam rasa
Setelah aku memiliki sebuah buku berharga,
Kemudian punah dan tinggal lah beberapa helai sahaja...
Antara kata-kata dari buku tersebut,
"Perasaan yang Allah berikan terkadang susah nak disuratkan dengan penulisan dan percakapan"
Sekarang ternyata ia betul..




p/s: semua ni aku copy paste dari facebook aku hanya untuk berkongsi.

Monday, February 27, 2017

Gelombang rindu (Part 2)





Mengikut kronologinya, rasanya aku ambik part ni sesuai untuk dijadikan sambungan sebelum ni.

*******

15/12/2015

Sebelum cerita ini bermula, suka untuk aku nyatakan lagu yang sungguh memberi kesan kepadaku apabila ia dimainkan. tertarik akan seni kata di dalam lirik lagu AmeyCat yang berbunyi,
"Apa yang tinggal kini
Hanya sisa kesal kelmarin
Menjadi simfoni mendayu
Pada setiap malam minggu....
Setahun sudah berlalu
Disember muncul kembali
Dengan kehangatan semalam"

Baiklah.. Kisah ini diceritakan sendiri kepadaku daripada seseorang yang pernah bergelar kawan.. tapi itu satu masa dulu, kini yang tinggal hanyalah sejarah.. Ermmm tak pasti statusnya kawan ke sahabat? atau hanya kenalan? ah lantak la, sama je... Menurut kawanku, semuanya bermula pada 20 December 2014, sedar tak sedar sudah hampir setahun. tepat pada pukul 6:14 petang pada hari tersebut, kawanku telah menghantar friend request kepada seorang gadis. ternyata gadis tersebut lincah di alam maya, hanya 9 minit kemudian dia sudah pun approve, iaitu pukul 6:23 minit petang.. Saat dan ketika itulah dia mula berjinak jinak dan seterusnya memantapkan lagi skill penggunaan media sosial, yakni facebook. dengan kata lain, dia mula bergiat secara aktif berbalas balas komen di page page yang wujud di facebook ni..
Satu fakta yang ingin dikongsikan untuk menambah penggetahuan kita semua, "Tidak semua pengguna facebook tahu berbalas balas komen di page" dan dahulu kawanku ini merupakan salah seorang daripadanya. Hmm fakta kutip dari mana lettew.. Mungkin juga disebabkan tekanan hidup yang dialaminya menyebabkan dia telah terjebak ke dunia maya dengan lebih professional lagi, dengan kata lain kawanku itu dikelilingi sebahagian kecil orang orang yang butthurt. memang otak sakit jiwe kacau hati mati lah jawabnya.
Qoata internet yang tak pernah cukup pun sudah memadai untuk buat hidup seseorang tu jadi haru.. 2 minggu pertama untuk setiap bulan sudah pasti akan mencapai 100% penggunaan.. haihh tak layan youtube pun qoata cepat habis. kesian~
Tak mungkin ada mambang tolong telan qoata internet kawan aku tu kan?huh.... kalau tengok muka dia, mesti internet lembap. kalau internet lembap, mesti muka dia.. begitulah kitarannya.. Untuk seketika dia memang terkenal dengan tagline nya, "internet habis qoata", ataupun gadget yang digunakan tu selalu 'hang'.. ikut la nak percaya atau tidak, yang pasti alasan alasan yang diberikan tu semua betul.. huhu

Berbalik pada ayat 'berbalas balas komen di page', ada satu page ni memang selalu buka aib orang, dah bukak lepastu sebarkan pulak.. memang lepas buka aib orang, page ni tak reti reti nak tutup aib tu balik agaknya.. yang lagi jahanam pasal page ni, dah post aib orang esok lusa dia repost semula. repost 5 6 kali sampai lebam, yahudi betul!..
Cerita sekarang ni bukan nak ketengahkan pasal page ni, sekadar nak menceritakan latar belakang sebuah page yang menjadi platform bagi kawan aku ni untuk mencari teman JUJUR and setia, mungkin juga untuk mencari habang atau hakak angkat dan seangkatan dengannya.. huhu
Biasa kita dengar 'indah khabar dari rupa'.. tapi lain pula bila dengar kawanku ini menceritakan tentang page tadi kepadaku, katanya "Mengenali page itu dan segala isi yang di dalamnya lebih indah rupa dari khabar. Ada nilai positif, ada juga yang negatifnya. Cubalah pandang dari sudut yang berbeza". Fuh berfalsafah pulak kawan aku ni..
Nak dijadikan cerita atau mungkin takdir yang telah tertulis sejak azali, kawan aku ni melawat post post dari page tersebut disertakan dengan penghayatan yang cukup sempurna.. hampir setiap komen komen yang ada pada post itu ditelitinya. Cuba bayangkan satu orang baru yang datang ke tempat baru, yang mana sebelum ni tak pernah dijejakkan kakinya ke situ.. dalam keadaan kawan aku yang noob ni, maka dia terus add facebook seorang gadis ayu yang merupakan salah seorang daripada beratus komentar di page tersebut hanya berdasarkan penilaian pada gambar profile facebook si gadis itu, ya gadis itu memiliki paras rupa pandang tak jemu, pandang tak jemu. namun harus diingatkan walaupun gambar profile facebook yang sebegitu cantik, realiti belum tentu seindah itu. hewhewhew


********

Kawanku ini memang seorang yang pemalu, sopan, jujur, amanah, ikhlas dan sebagainya. aku tau la sebab aku kawan dia, makan semeja, tidur pun sekatil.. Huhu.
Satu malam ( ataupun siang, takpe tak penting pun ) kawan aku mula menegur gadis tadi dengan menghantar mesej ke facebooknya. kawanku meminta izin kerana dia telah pun copy komen yang berunsurkan nasihat milik gadis itu untuk dijadikan status facebooknya sendiri.. sapaan yang bersahaja begitu berpadananlah dengan sifatnya yang pemalu, lagipun niat utama di hati hanya ingin bertegur sapa.. kerana ada pesanan yang berbunyi "mengikat tali persaudaraan akan membuatkan syaitan menangis", namun tidak dapat dipastikan sejauh mana benarnya kata kata tersebut kerana tuan punya ayat tu sudah pun mereput.
Semua yang berlaku ini seakan sudah ditentukan, rupa rupanya rakan perempuan yang baru bagi kawanku itu bukan biasa biasa, tanpa disedari kawanku telah pun memulakan satu perhubungan yang lain macam.. untuk kehidupan di alam maya, kawanku mula mengenali rakan rakan yang lain juga bermula dari gadis ini.
Sewaktu perbualan kali pertama mereka, ada antara kata kata gadis itu yang diungkapkan sambil lalu tetapi dianggap sebagai satu nasihat yang ikhlas untuk kawanku,
"Ada dua sebab untuk kita tidak percaya seseorang tu.. Pertama, sebab kita dah kenal dia. Kedua, sebab kita belum kenal dia".. tapi biasa lah manusia, kawanku hidup melangkah ke depan, nasihat tertinggal kat belakang.. huhu

Dalam perniagaan pun harus berkembang maju, ada peningkatan. begitu juga kawanku dalam usaha mencari kegembiraan yang sementara ni.. Mulanya satu. Kemudian dua, yang kedua ini merupakan satu lagi komentar yang berjaya menarik minat kawanku menerusi ayat daripada komen komen nya. Berkemungkinan besar akaun facebook itu milik seorang perempuan, tetapi nigga mana ntah dijadikan gambar profile akaun tu.. hmm
Seterusnya bilangan itu menjadi tiga, tetapi yang ketiga ini bukan kawanku yang mencari, dia seorang lelaki, datangnya sendiri, datang tidak diundang!.. insan tersebut datang menegur dan berbekalkan gula tebu di bibir, terlupa sekejap kawanku tentang 'percaya'... kawanku ada menyatakan dia ingin bersahabat dan ayat yang dibalas pun bukan main sedap, "kecil tapak tangan, stadium old trafford aku tadahkan", ok cukup sampai situ cerita stadium old trafford. Huh..
Hari demi hari dari seorang ke seorang telah menjadi teman ketawa bagi kawanku ini, biarpun hanya sekadar di internet. bukanlah kenal secara rapat pun, tetapi cukuplah ringan ringan dahulu buat masa ni. Dianggarkan dua bulan kemudian iaitu sekitar bulan Februari, seorang lelaki yang juga merupakan kawan kepada si gadis tadi mula menjadi sahabatnya. aku difahamkan oleh kawanku, apabila lelaki ini mula bermain dengan ayat, memang fuhh! dia mampu memukau hanya dengan kata kata nya.

Sebelum terlupa, aku ingin berkongsi satu cerita yang masih segar di ingatanku. kisah ini diceritakan oleh kawanku, iaitu ketika gadis tersebut tercicir handphone nya di kedai makan kalau tak silap.. si pelaku yang tidak bertanggungjawab telah melakukan satu perkara yang buruk menggunakan akaun facebook milik gadis itu.. mujur lah segala kekusutan yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan segera.
Betul kata orang, setiap yang berlaku itu pasti ada pengajarannya. Pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa itu, kita tidak seharusnya leka di mana mana sahaja, ini kerana cerita tadi banyak kaitannya dengan 'kelekaan'. ataupun pengajaran yang lain, kita mestilah log out facebook walaupun pada handphone sendiri. ha terpulang masing masing nak pilih pengajaran yang mana satu. :-) 

Ok berbalik pada topik utama, untuk pengetahuan semua, walaupun banyak sifat sifat terdidik yang ada pada kawanku ini, namun dia tetap punyai kelemahan.. dia antara makhluk yang suka merenyam di laman sosial, dengan kata lain dia suka 'test market', huhu.. Ini kerana baginya tiada konsep perkenalan di alam maya yang kemudiannya membawa ke kancah percintaan yang sebenar. dia lebih mendambakan cinta yang kudus di alam nyata, Fuh.. Disebabkan tabiatnya itulah dia sering bertegur sapa di page tersebut dengan seorang cik misi, tetapi mereka hanya sekadar berkawan. tidak lebih dari tu. Huhu..
Rakan rakan yang dikenali dari alam maya itu penuh variasi.. ada antaranya juga yang selalu menggunakan dual language. menurut kawanku lagi, seandainya orang yang berkenaan mula menggunakan bahasa inggeris di dalam komennya, hasilnya lebih sedap dibaca berbanding google translate. Huhu.. Andai kata Mark Zuckerberg ambil sebagai pekerja google translate sekalipun, pasti takkan rugi..

Sedikit yang ingin aku katakan daripada kisah ini, sudah banyak perkara yang kawanku pelajari dengan bersahabat bersama mereka semua. Dari situ juga lah permulaan dia pelajari menterjemahkan setiap rasa yang terpendam melalui saluran yang baik dan betul iaitu dalam bentuk penulisan ataupun dalam bentuk puisi (ha yang ni susah). Setelah dia mula berkecimpung di alam maya ini, akhirnya berjaya juga dia menanam minat untuk membaca. sekurang kurangnya dia tau masih wujud penulisan penulisan yang tidak bercirikan ensaiklopedia bebas mahupun buku teks sejarah tingkatan 5.. huhu


**********


Perbualan beramai ramai di page itu merupakan satu perkara biasa bagi mereka, saling sahut menyahut, sambung menyambung. sehinggakan tiada ruang dan masa untuk menarik nafas, begitu rakus masing masing dapat menaip menggunakan keyboard, keypad dan sebagainya. tetapi itu semua berlaku pada peringkat awal perkenalan mereka. Melihatkan keadaan itu menyebabkan kawanku berasa sedikit kurang selesa kerana katanya, "hampir sama sahaja seperti bertukar tukar pasangan" huhu ntah apa yang bertukar pasangannya kan.. Mungkin juga jari nya yang agak keras untuk menaip selaju mungkin dan secara tidak langsung dia sering tertinggal isu yang dibincangkan
Hubungan itu berlainan sedikit di pertengahan kegemilangannya, sedikit hambar, tidak serancak dahulu. barangkali kurangnya rencah dan perasa..
Kata orang, tiada apa yang kekal di atas muka bumi ini hatta gunung yang terdiri daripada batuan yang keras sekalipun berubah bentuk dek kerana masa dan wujudnya angin.. inikan pula seketul daging yang bernama hati, hati manusia!.

Seperti yang telah aku sebutkan tadi, masih ramai lagi kawan kawan lain yang turut dikenalinya dari alam maya itu.. Tetapi semua ini jelas sama sekali seperti satu anjuran program yang menemukan pelbagai jenis manusia dari serata malaysia dan manusia manusia itu diletakkan di dalam satu kumpulan, kemudian setiap ahli kumpulan diminta untuk beri kerjasama. mahu atau tidak masa tu, kena akur, kena turut, kena patuh. dah nama pun ahli dalam kumpulan, bukan la ketua kumpulan kan.. Apabila tamat sahaja program yang formal tersebut, setiap ahli kumpulan mula meneruskan hidup dengan haluan masing masing. Ada antara ahli kumpulan yang masih berbaik baik, ada juga sebaliknya. biasalah kan..
Rasa rasanya kalau disebut labah labah, semua orang dapat membayangkan binatang jenis apakah itu. ya labah labah merupakan serangga berkaki lapan yang mana membuat sarangnya hanya dengan menyirat benang yang keluar dari badannya. andai kata dilanggar objek yang besar sekalipun, belum tentu dapat merosakkan keseluruhan sarang itu, paling tidak pun ia sekadar mencacatkan rupa asalnya.. tapi ingat, ia tetap rosak!.. Bagi ukhuwah yang terbina ini pula, konsepnya sama seperti sarang labah labah tadi, dan sekarang ternyata rupa asalnya telah pun cacat

Setelah beberapa ketika aku meminjamkan kedua-dua telingaku untuk mendengar kisah ini akhirnya aku mula menggunakan satu satunya mulutku ni untuk memberi sedikit nasihat. seandainya nasihat ini tak dipedulikannya, lantak dia la, tak merugikan air liur aku pun.. kataku padanya, "yang telah pergi, biarkan ia berlalu.. yang masih tersisa, hargailah ia".
Selesai je aku ungkapkan kata kata hikmah tu padanya, dia membalas pandanganku dengan mimik muka orang yang tak habis meneran sebab kena kacau.. ceh macamtu dia punya ucap terima kasih. Nah aku bagi lagi,
" Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui " - Surah Al-baqarah , ayat 216 - ..
Ha baru reti nak beri senyuman kepadaku.. huhu..




Bersambung....


Sunday, February 26, 2017

Gelombang rindu (Part 1)




~tajuk entri macam tajuk filem melayu pecah panggung pulak kan. huhu.~

Perkataan 'sejarah' yang digunakan pada hari ini adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'syajaratun' yang bermaksud pohon. dari sudut lain pulak, istilah history merupakan terjemahan daripada perkataan Yunani iaitu histories yang bermaksud satu penyelidikan ataupun pengkajian. kalau mengikut pandangan aku pulak, sejarah ni benda yang lepas ataupun telah berlaku, tak pernah lagi perkara baru yang belum terjadi dan akan terjadi kita panggil dengan nama 'sejarah'. dengan sebab itu sejarah sentiasa di belakang diri kita.

Harini tiba tiba aku teringat satu perkara yang telah berlaku di masa lalu / ataupun kita panggil ia sebagai sejarah, yang aku sendiri tak pasti kewujudannya. sebagai permulaan cerita, nah baca petikan ni yang diambil daripada mesej lama;

" Mungkin ni jawapan klise. Atau just anggap perkongsian.
Tp sebelum tu akk nk tnya pmpuan yg mcmna awk cari n cun cmana awk maksudkan.
Tak pyh jwb akk, jwb dlm hati. Hee
Sbb terus terang akk ckp pmpn ni ada byk jenis. akk pun kdg2 xfhm, atau sbnrnya xperlu fhm sbb kalau dh fhm mmg dem mencarut sendiri.
Cun/cantik tp memilih dan bersebab.
Biasa2 tp demand lebih tinggi dr yg cun pun ada. Mcm2 lah
Tgk nisbah lelaki n pmpn. pmpn lebih byk drpd llaki. Sbb itu la pmpn berebut2 berusaha utk cantik. Dan kbykannya, cantik cuma modal utk dptkan lelaki yang stabil ekonomi x kisah pun hensem ke dok.
Sebenarnyalah kannn.. Sbb tu pmpn cun smua jarang2 single. 


. . . . . .
. . . . . . (panjang sangat isi kandungannya, so kena tapis) . . . . . . .
. . . . . .

Jd jgn risau x ada psgn. Belum tentu psgn kita akan ada masa kita susah.
Ada org 16 tahun dh kawin
Ada org 16 tahun dah meninggal.
Jd betullah jodoh maut itu bukan blh kita sendiri tetapkan. Asalkan ada usaha, in sha Allah. "







Ok nanti lah aku sambung...




Sunday, February 19, 2017

Isteri isteri Nabi Muhammad s.a.w




Manusia sekarang suka gunakan agama sebagai alasan tak kira tempat, suka memberi jawapan berunsur agama yang tak kena pada soalan seolah olah nak selamatkan diri sendiri, suka meraih populariti (kalau kat facebook, bertujuan untuk mendapatkan LIKE) dengan melazimi ayat ayat islamik di bibir, hakikatnya.....? satu gelaran untuk kelompok ni iaitu 'penunggang agama' - maafkan aku kalau istilah ni nampak negatif. haaaa jangan nak terasa sangat, eh penulisan ni bebas daripada tujuan yang negatif tau.
Entri kali ni aku hanya nak berkongsi hasil daripada pembacaan sirah Nabi (dah la sumber yang dibaca daripada google pun ada aku tebuk tebuk, rujuk pada orang yang alim pun tidak). tapi aku cuba untuk ringkaskan dengan baik, harap tak sesat lagi menyesatkan apa yang aku sampaikan ni.


 *******


Isteri isteri Nabi Muhammad adalah wanita wanita mulia yang telah berkahwin dengan Nabi Muhammad, isteri isteri baginda dikenali sebagai "Ummahatul Mukminin" yang bermaksud "ibu ibu kepada orang orang beriman". gelaran ini datang dari firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:
"Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka..." - surah Al-Ahzab ayat ke 6.


1. Siti Khadijah binti Khuwailid.

- Merupakan isteri pertama Nabi Muhammad dan antara manusia pertama yang memeluk Islam.
- Banyak kisah menceritakan bahawa sewaktu Nabi mengawini Khadijah, Nabi masih berumur 25 tahun sedangkan Khadijah sudah berumur 40 tahun. tetapi secara ringkasnya menurut Hafiz Ibn Kathir: mereka berkahwin dalam usia yang sebaya. (banyak sangat pendapat, pening aku nak fahamkan dan tulis)
- Beliau merupakan isteri Nabi Muhammad yang tidak pernah dimadukan kerana kesemua isterinya yang dimadukan adalah berlaku selepas daripada wafatnya Khadijah / Rasulullah tidak berpoligami semasa hayat Siti Khadijah.
- Nama suami pertama dan kedua Siti Khadijah, Atiq bin Abid dan Abi Halah bin Malik, kedua dua suaminya meninggal dunia. akhir sekali Siti Khadijah berkahwin dengan Rasulullah.
- 15 tahun setelah menikah dengan Khadijah, Nabi Muhammad s.a.w pun diangkat menjadi Nabi pada umur 40 tahun.
- Banyak sangat pendapat tentang umur ketika berkahwin, umur ketika wafat, siap ada perbahasan kerana perbezaan pendapat. last sekali ini yang aku ambik:

Ulama Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; 'pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun' telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.) adalah salah dan tidak benar sama sekali. Meskipun dengan fakta yang sebegini jelas, kita masih mempercayai (dan terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan khabar angin semata mata.


2. Saudah binti Zam’ah.

- Rasulullah kahwini Saudah selepas 3 tahun kewafatan Siti Khadijah, Saudah merupakan seorang janda tua.
- Suami pertamanya ialah al-Sakran bin Amr, Saudah dan suaminya adalah di antara mereka yang pernah berhijrah ke Habsyah atas arahan baginda Nabi Muhammad s.a.w (beliau menjadi wanita pertama berhijrah ke Habsyah atas jalan Allah).
- Apabila suaminya meninggal dunia setelah pulang dari Habsyah, maka nabi Muhammad telah mengambilnya menjadi isteri untuk memberi perlindungan kepadanya dan memberi penilaian yang tinggi kepada suaminya.
-  Apabila menjelang usia tua, baginda risau Saudah akan berasa kecewa atau sedih kerana harus menyangi isteri isteri baginda yang lain yang lebih tua dan menawarkan beliau perceraian. beliau yang tidak mahu hal begitu berkata beliau sanggup untuk menyerahkan bahagian malamnya kepada Aisyah, yang juga disayanginya, kerana dia mahu menjadi isteri baginda pada Hari Kebangkitan nanti. hal ini turut dikisahkan oleh Aisyah:
Ketika dia telah tua, dia memberikan bahagian malamnya bersama Nabi kepada Aisyah. - H.R Muslim dalam Ar-Radha',10/48(1463)
- Sepanjang hujung usianya, beliau lebih banyak beribadah dan masih menjalinkan hubungan rapat dengan Aisyah (boleh google untuk baca cerita lebih lanjut).


3. Aisyah binti Abu Bakar.

- Merupakan isteri ke 3 Nabi Muhammad s.a.w.
- Seorang perempuan bernama Kholeah Bint Hakeem menyarankan agar Nabi mengawini Aishah dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungan dengan keluarga Sayidina Abu Bakar.
- Pernikahan di antara Nabi Muhammad dan Aisyah diadakan di Mekah sebelum Hijrah, tetapi penikahan tersebut berlaku setelah wafatnya Khadijah dan setelah baginda berkahwin dengan Saudah. Ketika itu, Aisyah berumur - - tahun (namun ulama berselisihan pendapat mengenainya).
- Tentang umur Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah ada banyak pendapat, aku tak mampu nak tulis.


4. Hafsah binti Umar.

- Merupakan puteri kepada Umar Al-Khattab
- Aku ada terjumpa beliau berusia 21 tahun ketika berkahwin dengan Nabi.
- Beliau mempunyai seorang suami tetapi suaminya telah terkorban dalam perang Badar. apabila mendapat berita mengenainya, Rasulullah saw mengambilnya sebagai isteri atas membalas jasa suaminya yang membantu baginda.
-  Beliau wafat pada bulan Syaaban tahun ke-45 Hijrah, kemudian dimakamkan di Jannatul Baqi' bersama kebanyakan isteri Rasulullah.


5. Zainab binti Khuzaimah.

- Merupakan isteri ke 5 Nabi Muhammad s.a.w.
- Beliau diterangkan berusia sekitar lewat 20an (ada yang mengatakan 29 tahun) sewaktu berkahwin dengan Nabi, walaupun ada yang berpendapat beliau berumur 48 tahun.
- Beliau dikenali dengan sifat kemurahan dan dermawan, mendapat gelaran ummu al-Masakin (ibu orang orang miskin) kerana sikap penyayang dan kelembutannya terhadap faqir miskin.
- Suaminya syahid dalam perang Uhud dan telah meninggalkan beliau dalam keadaan miskin dengan beberapa orang anak, Rasulullah menikahinya demi memuliakan suaminya yang syahid.
- Wafat kurang dari 2 tahun kemudian (ada yang mengatakan 3 bulan setelah perkahwinan tersebut), menjadikan beliau isteri baginda selepas Siti Khadijah yang wafat sebelum kewafatan Nabi Muhammad, beliau kemudiannya dikebumikan di Jannatul Baqi'.


6. Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah.

- Beliau dan suami lamanya, Abu Salamah adalah antara yang terawal memeluk Islam. dikhabarkan bahawa hanya Ali, Abu Bakar dan sebilangan kecil sahaja yang memeluk Islam sebelum mereka berdua.
- Suaminya meninggal dunia akibat kecederaan teruk semasa perang Uhud.
- Berkahwin dengan Nabi ketika berusia 34 tahun (ada jugak yang kata 29 tahun).
- Ummu Salamah menjadi isteri yang paling tua di kalangan isteri isteri baginda ketika itu. beliau juga dikatakan mendapat kedudukan yang tinggi di kalangan para isteri baginda, selain khadijah dan mungkin juga Aisyah.
- Beliau merupakan isteri yang terakhir dari kalangan para isteri Rasulullah yang wafat.


7. Zainab binti Jahsy.

- Merupakan isteri kepada Zaid Ibn Harithah (perkahwinan kedua) yang merupakan anak angkat Nabi Muhammad.
- Pada awalnya Nabi Muhammad yang mengatur agar Zainab mengahwini Zaid Ibn Harithah, namun perkahwinan mereka tidak lama dan Nabi pun menerima wahyu bahawa jika Zaid dan Zainab bercerai Allah memerintahkan agar Nabi Muhammad mengahwini Zainab. (Surah Al Ahzab 33:37).
- Perkahwinannya dengan Rasulullah adalah perintah langsung daripada Allah.
- Zainab wafat (ada yang mengatakan beliau berusia 53 tahun) semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab pada musim panas tahun 641, yang menjadikan beliau isteri baginda yang pertama wafat selepas kewafatan baginda.


8. Juwairiyah binti Al-Harith.

- Ayah Juwairiyah adalah ketua puak Bani al-Mustaliq yang telah mengumpulkan bala tenteranya untuk memerangi Nabi Muhammad, namun akhirnya Juwairiyah (Barrah) dan Bani al-Mustaliq telah tewas dan menjadi tawanan Thabit bin Qais dalam Perang Al-Muraisi. ketika itu, suami Juwairiyah, Mustafa bin Safwan, telah terbunuh.
- Ayah Juwairiyah datang berjumpa Nabi Muhammad dan memberikan wang sebagai penebus anaknya. Nabi pun meminta ayah Juwairiyah agar membiarkan Juwairiah untuk memilih.
- Beliau kemudian dibebaskan oleh Rasulullah dan dinikahi baginda.
- Bapa beliau dan lelaki dari kaumnya yang dibebaskan memeluk Islam selepas itu.
- Wafat pada usia 65 tahun pada 50H dan dimakamkan bersama isteri baginda yang lain di Jannatul Baqi.

 
9. Safiyah binti Huyay.

- Safiyah ialah anak kepada Huyay seorang yahudi, ketua puak Bani Quraizah iaitu dari keturunan Nabi Harun a.s.
- Beliau mengahwini Kinanah ibn al-Rabi sewaktu usianya lebih kurang 17 tahun, namun suaminya telah dibunuh ketika Perang Khaibar (tentera Islam mengalahkan beberapa kaum yahudi).
- Dalam satu rundingan setelah dibebaskan, Safiyah telah memilih untuk menjadi isteri Nabi Muhammad.
- Beliau wafat dalam bulan Ramadhan tahun ke 50H (ada yang mengatakan 52H) kemudian dikebumikan di al Baqi'.


10. Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufiyan.

- Perkahwinan pertama beliau bersama Ubaidullah bin Jahsy (abg kepada Zainab binti Jahsy / Zainab yang dikahwini Nabi Muhammad).
- Mereka berdua adalah antara yang terawal memeluk Islam, untuk mengelakkan diri daripada penindasan Quraisy, mereka berdua berhijrah ke Habsyah.
- Di Habsyah beliau melahirkan anak perempuan dan dari situ beliau mendapat gelaran 'Ummu Habibah' yang bermaksud 'ibu Habibah'.
- Mereka berpisah selepas Ubaidullah memeluk agama Kristian sehinggalah Ubaidullah meninggal dunia.
- Melalui Raja al Najashi, Nabi Muhammad s.a.w meminang Ummu Habibah.
- Beliau wafat pada tahun 45 Hijrah kemudian dimakamkan di Jannatul Baqi' bersama isteri baginda yang lain.


11. Maimunah binti Al-Harith. (Aku tak jumpa sangat detail pasal Maimunah ni, so aku copy paste)

- Dia masih berumur 36 tahun ketika menikah dengan Nabi Muhammad s.a.w yang sudah berumur 60 tahun (Ada jugak aku terbaca berusia ketika 25 tahun).
- Suami pertamanya adalah Abu Rahmah Ibn Abed Alzey.
- berkahwin dengan Nabi bagi menyebarkan syiar Islam / Ketika Nabi s.a.w membuka Mekah di tahun 630 A.D, dia datang menemui Nabi s.a.w, memeluk Islam dan meminta agar Rasullullah s.a.w mengahwininya. Akibatnya, banyaklah orang Mekah merasa terdorong untuk menerima Islam dan Nabi s.a.w.


12. Mariah binti Syam’un.

- Ataupun dikenali dengan nama Maria al-Qibtiyyah.
- Hadiah daripada Raja Muqawqis.
- Satu satunya isteri yang mempunyai zuriat bersama Rasulullah selepas Siti Khadijah, anak yang diberi nama Ibrahim, akhirnya meninggal pada umur 18 bulan  (itu yang aku terbaca)
- Beliau wafat 5 tahun setelah kewafatan Nabi Muhammad.









*tambahan:

13. Raihanah binti Zaid bin Amr.

- Nama lengkapnya adalah Raihanah binti Zaid bin Amru Khunaqah bin Syam’un bin Zaid dan Bani Nadhir.
- Para perawi hadits berselisih pendapat tentang kehidupan Raihanah. Selain itu, tidak banyak riwayat yang menjelaskan isteri Rasulullah yang satu ini. Permasalahan berpusat pada data apakah Rasulullah membebaskannya (ketika Bani Quraizhah ditawan) kemudian menikahinya atau baginda hanya menjadikannya sebagai budak? Sebahagian riwayat mengatakan bahwa Raihanah termasuk salah seorang isteri baginda, namun riwayat lain mengatakan bahwa beliau tidak termasuk isteri isteri Rasulullah.




Wallahu a'lam... 
yang baik tu datangnya dari Allah, yang buruk tu datangnya dari diri aku.
nak menuntut ilmu biarlah berguru, aku ni saja nak update blog ok.

Friday, February 10, 2017

David Side



Ok ni saja aku nak kongsi, dengar dan layann. aku sedar walaupun 'beat' aku masih tunggang langgang, 'ryhtem' pun ke laut, tapi tak salah nak mencari sesuatu yang memberi motivasi (kurang pasti betul ke tak penggunaan term term pelik tu tapi nampak tak aku macam nak menunjuk? haha)
Ni salah satu daripada entah berapa banyak video dia yang aku terminat pulak baru baru ni.





Monday, January 23, 2017

Barang keperluan orang sakit yang nampak remeh tetapi amat penting





Aihh malassss betul aku nak bukak blog apatah lagi nak update apa apa, hatta cerita utama yang menjadi sebab aku wujudkan blog ni pun malas aku nak taip tambah tambah lagi sejak kebelakangan ni, tengok tajuk entri tu pun aku dah tak tau nak letak apa sebenarnya. entahlah mungkin aku sedang cuba menjadi orang normal yang sihat dan sibuk agaknya. bak kata ayat pada blog Cik Matahariku "mungkin menulis blog bagi sesetengah blogger part time hanyalah ruang untuk mengisi minat atau sekadar suka-suka". ya betul tu, atas dasar terpaksa serta sementara aku masih hidup dan sihat-yang-entah-sampai-bila ni, jadi inilah hasilnya selamat membaca:



Assalamualaikum dan selamat berkasih sayang diucapkan kepada semua. kenapa aku ucap selamat berkasih sayang di entri pertama tahun 2017 ni? (FAKTA: ni memang entri pertama untuk tahun 2017). yalah kita perlu menyemai dan membajai perasaan kasih dan sayang dalam diri masing masing kerana entri sebelum ni yang berkaitan (boleh klik sini) ada aku selitkan cerita semacam satu perasaan dan situasi yang aku rasai selepas aku sakit ni, juga daripada entri tersebut ada beberapa statement aku kira menjadi prinsip yang dipegang kuat oleh aku buat masa ni; ketahuilah adakala masalah yang berlaku berpunca daripada diri kita sendiri adalah sangat tinggi. dan jangan pula asyik tunding jari salahkan manusia lain ataupun salahkan tuhan.

Lagi sekali aku tekankan bahawa "aku bukan berdendam / kau patut rasa macam yang pernah aku rasa", ingat tagline untuk entri kali ni 'Marilah Berkasih Sayang'. entri kali ni aku cuma nak share beberapa tulisan tangan daripada buku aku yang serupa diari tu. tak banyak yang dapat aku manfaatkan daripada menonton rancangan motivasi sebab aku baru pandai menulis, mendengar dan salin dari tv / television menyebabkan aku perlu salin laju laju dengan tulisan yang buruk kemudian tulis semula di tempat lain supaya lebih cantik, leceh kan?. lain pula kalau aku menggunakan facebook, boleh salin selambat mana yang aku suka.


Ini aku dapat daripada rancangan Selami Jiwa kat Astro Oasis yang menjadi rancangan favourite aku satu masa dulu:
16/6/2013 , Ahad , 12.32 pm
Fadzilah Kamsah kata masalah ibarat segenggam kopi, jiwa kita ibarat sebekas air. kalau tak mahu rasa masalah itu terlalu berat untuk dihadapi, kita perlu besarkan jiwa kita (bekas air tadi). pahit kopi takkan terasa dalam bekas yg besar kan? besarkanlah jiwa kita dengan cara kita pandang orang yang lagi susah, barulah kita akan lebih bersyukur @ jangan rasa diri kita lah yang paling berat dugaannyer!

P/s: ayat ni jugalah yang aku guna pada description blog ni.




Setelah diringkaskan tulisan tangan aku yang panjang lebar dalam buku tu ada juga aku bercerita;
21/6/2013 , Jumaat , 10 pm
Lepas aku SPM dulu, aku gi tolong ayah aku buat keje kat ladang. best bro! selalu sangat time kat ladang tu, tengah aku jalan kaki, ade burung ekor panjang warne biru terbang laju-laju dan zassss, langgar kepale aku. banyak kali, bukan sekali dua tau. macam nk bagitau je yg aku ni ade urat bersimpul kat pale otak!

Rasanya belum pernah aku sebut dalam cerita aku sebelum sebelum ni, jadi aku nak bagitau sekarang.
Setelah aku koma tahun 2011 dulu, seluruh ahli keluarga baru tau aku ada penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) atau dalam bahasa kampung yang ringkas serta mudah difahami adalah urat yang tak sempurna dan bersimpul di kepala. orang lain yang mempunyai avm ada yang leaking, tapi aku ruptured kemudian koma. sebelum aku tamat sekolah dulu, aku selalu terfikirkan penyakit yang dinamakan Tumor Otak sebab nama penyakit ni macam grand dan kedengaran hebat. lepas habis sekolah, penyakit dalam badan sejak kecil yang baru aku tahu ada dalam badan aku pun tak kurang grand namanya, AVM. huhu.


* * * * * * *


10 Julai 2013 , Rabu

Rasanya ini hari kedua bulan Ramadhan, tapi bagi aku pula hari ni adalah hari pertama aku berpuasa bagi tahun 2013 dan juga merupakan tahun kedua aku menempuhi bulan Ramadhan dalam keadaan aku yang belum sihat sepenuhnya, 9/10 keadaan aku masih lagi sama dalam banyak perkara.
Hanya perubahan kecik yang berlaku pada aku kalau nak dibandingkan dengan puasa tahun lepas, antaranya tahun ni aku dalam keadaan dah sedar tak macam 6 hari yang aku berjaya puasa pada tahun lepas. yang dimaksudkan dengan 'dah sedar' tu aku puasa tahun 2013 ni kerana Allah, bukan kerana mak dan kakak ketiga aku bersahur sehingga mengejutkan aku untuk sahur bersama. soal makan pula, mereka tak perlu lagi menyuap makanan ketika sahur sebab dah berbulan bulan aku boleh suap makan sendiri, aku tak sempat nak tanya mereka macam mana kaedah dan siapa yang suap aku makan ketika berbuka puasa tahun 2012 dulu atau mungkin mereka suap aku makan selepas mereka berbuka ala kadar.
Oh ya waktu puasa ni aku bangun sahur tak macam orang lain, sebab nak tunggu proses aku bergerak dari katil ke kerusi malas di ruang tamu akan mengambil masa yang lama. jadi sebelum mak dan ayah aku meninggalkan aku seorang diri dalam bilik untuk pergi bersahur, mak aku akan siapkan makanan dan hantar ke katil untuk aku suap sendiri sambil baring mengiring ke sebelah kiri supaya tangan kanan aku dapat bekerja. setelah selesai makan barulah aku akan bangun daripada berbaring dan duduk di birai katil untuk sendawa, kalau tak sendawa nanti muntah pula, lagi susah. sementara tunggu aku 'berg-berg', ada baiknya aku gosok gigi.

rupa apparatus yang mereka siapkan dan diletakkan di atas kerusi plastik, kemudian aku akan bergerak ke situ dengan wheelchair. kalau masa sahur pula, barang barang ni yang dibawa ke katil

Antara perubahan lain yang berlaku pada aku adalah dari segi buang air kecil. ni ayat aku dalam entri sebelum ni;
"kalau dulu boleh dikatakan aku bocor pada setiap waktu pagi, tetapi sejak bulan Julai 2012 yang lalu, aku dah jarang bocor di katil pada setiap pagi, eh 'jarang' bukannya 'takda langsung' tau." Mungkin juga di sebabkan kakak ketiga aku yang berada di rumah dulu sewaktu cuti sem dan perlu menjaga aku pernah berpesan "kalau rasa nak buang air kecil tu aku perlu segera baring secara terlentang / badan tu jangan mengiring ke tepi". proses untuk melatih diri supaya dapat 'rasa' nak buang air kecil tu makan masa. kalau tak silap aku, Julai 2013 ni memang dah takda masalah bocor di katil.

Ni pula ayat lain aku tentang sakit kencing;
"sekarang 'rasa nak buang air kecil' tu telah wujud kat badan aku dalam bentuk sakit kencing, sedikit sebanyak masalah bocor di setiap pagi dan tidak mempunyai 'rasa nak buang air kecil' tu telah selesai dan digantikan dengan sakit kencing." 
Waktu ni aku dah mula sakit kencing sekali sekala. sakit bila aku tak pantang makan/sakit bila aku silap makan, ataupun sakit tanpa ada sebab. sebagai contoh 'sakit tanpa ada sebab' tu ada aku tulis dalam buku waktu aku tengah berpuasa, masa puasa tak makan apa apa sekalipun tetap akan sakit;
9:05 malam
Tadi nasib baik aku sakit kencing time ujung2 waktu, nak dekat buke pose. mula2 pukul 5ptg > 5:50 ptg > 6:25 ptg > 6:50 ptg > 7:25 ptg > sampai skung.

Di antara 7:25pm hingga waktu aku sedang menulis ni aku tak buat observation pun. tapi nampak betapa tak konsistennya sakit kencing tu?. ia bukanlah datang dalam satu bentuk ulangan yang seragam, ikut suka je bila nak sakit dia akan rasa sakit dan sebaliknya. adakalanya aku mengalami sakit kencing waktu tengah tidur, aku akan terjaga daripada tidur semata mata untuk mengerang sambil menahan pedih ketika bahan kumuh tersebut melalui saluran kebiasaan dia tu. kemudian aku sambung tidur bila keadaan dah tenang semula sebab sakit kencing next round pula, bakal menyusul dan tak tahu selang berapa jam lagi.



Kalau bulan Julai tahun 2013 aku telah mula / telah dapat berpuasa di bulan ramadhan, manakala solat pun pasti aku dah mula lakukan ya tak, cumanya kalau tak silap aku sejak beberapa bulan yang lepas lagi dah aku mula bersolat. tapi mula mula dulu aku solat di kerusi malas dan mereka yang tolong wudu' kan aku guna penyembur air yang kita gunakan semasa menggosok baju tu.

penyembur air seperti gambar di atas dan 2 helai kain basah yang digunakan untuk cuci pampers aku seperti gambar di bawah dah berapa banyak kali tukar yang baru selama aku sakit ni pun aku tak pasti

Bersolat di kerusi malas dan mereka yang wudu' kan aku tu masa dulu, sebelum bulan Julai 2013. dan seingat aku waktu bulan puasa (Julai) tahun tersebut, aku telah mula berpuasa, telah boleh berwudu' sendiri, dan aku tak lagi solat duduk di kerusi malas, aku solat baring di atas katil dalam keadaan terlentang dan bukannya mengiringkan badan.
- Kenapa daripada solat duduk aku solat baring?
- Kenapa aku solat baring secara terlentang dan tidak mengiringkan badan menghadap kiblat?
Kedua dua jawapan kepada soalan tu ada kaitan dengan sakit kencing aku, sakit tau bila aku melakukan pergerakan yang melibatkan pinggang dan baring mengiring tu pula mempercepatkan lagi proses sakit kencing aku. jadi solat baring secara terlentang waktu tersebut adalah mudah dan selesa bagi aku. penyembur air tadi aku gunakan semasa berwudu' sendiri dalam keadaan baring dengan beralaskan tuala mandi aku, tilam basah lantaklah. aku pun dah tak bergantung 100% setiap masa tapi masih 94% memerlukan pertolongan mereka lagi, banyak masanya adalah pertolongan mak aku.

Menurut diari aku pada bulan lepas (17 Jun 2013), aku ada complaint susah nak bergerak ke mana mana tanpa wheelchair. ini membuktikan bahawa setelah selesai solat ada kerja yang perlu diselesaikan, aku perlu bangun menggunakan bantuan frame support dan terus duduk atas wheelchair. dengan adanya wheelchair, peralatan untuk aku bersolat seperti tuala mandi untuk berwudu', penyembur air, kain pelikat buat tutup badan (aku tak pakai baju dan seluar-hanya berpampers seharian), kain alas daripada air liur basi pada bantal, semua tu aku boleh simpan di tepi katil dan juga sidai di tempat yang disediakan.
Semua hal hal berkaitan solat tu aku boleh uruskan sendiri (kecuali tukar pampers sebab solat perlu bersih), ditambah aku boleh suap makan sendiri, makan ubat sendiri dan beberapa perkara lain, aku kira tu cukup '6% aku tak memerlukan pertolongan mereka'.

nak solat perlu bersih, so diorang salin pampers aku guna 2 kain basah yang telah diperah, setiap satu kain boleh digunakan 2 kali, atas dan bawah diorang sapu aku punya

Selain penyembur air, kain lap kencing, tempat mini gosok gigi aku tu, ini pun barang keperluan yang aku rasa nak tunjuk, tapi aku tak pasti kewujudannya bermula bila, rasanya elok aku bercerita tentang ni sekarang. aku tak namakan benda ni sebagai 'poket doraemon' sebab keupayaan nak simpan pelbagai jenis barang tak sama level, aku cuma namakan benda ni sebagai 'kantung kangroo' sebab macam macam aku boleh letak dalam tu walaupun tak setaraf poket doraemon terutama barang yang sangat penting contohnya seperti bekas cermin mata, stokin, deodorant, sikat, ubat titis telinga, dan kadang kadang kalau travel jauh aku sumbat juga nail clipper, botol air dan botol ubat homeopati.

satu cerita berkaitan kantung kangroo sebelum kewujudannya yang aku ingat hingga ke hari ini dan rasanya ini lah sebabnya aku ada benda ni. disebabkan dulu daya ingatan aku teruk sangat sehingga pernah sekali berlaku selepas aku solat dalam keadaan baring, aku terlupa di mana cermin mata aku diletakkan. dengan bantuan mak aku, akhirnya kami berjaya menemui cermin mata aku berada di atas dada sendiri, hish.
Muda muda lagi dah jadi super power punya pelupa.



Ok babai...