Wednesday, September 07, 2016

Sedikit demi sedikit perubahan yang aku alami




*Ini sambungan untuk entri sebelum ni kehilangan memori jangka pendek (short term memory loss).


Bercerita tentang nikmat tak perlu pantang dalam mengambil sesuatu makanan, banyak sangat benda yang aku tak boleh makan, bukan 'pantang nampak makanan' je rasa nak makan. lagi satu, lebih lama daripada orang berpantang lepas bersalin. kalau aku makan juga tak mendatangkan gatal gatal, bersin, ruam, sakit perut atau apa apa la, tapi kencing aku akan terasa sangat sakit. pedih ya amat, macam ada kaca!
Aku masih ingat lagi sewaktu fasa aku mengalami short term memory dulu, boleh dikatakan setiap kali mak aku nak salinkan pampers aku akan keluar ayat ni,
"eh ada darah ni, call abang zaid". (Abang zaid bukan nama sebenar orang yang merawat aku).
Dialog ni aku kategorikan sebagai 'ingat ingat lupa' macam yang pernah aku ceritakan dahulu, iaitu zaman aku mengalami short term memory. apa yang baiknya sesetengah perkara aku hanya ingat ingat lupa / terasa macam pernah berlaku, bukan tiada memori langsung macam yang berlaku pada Drew Barrymore.


Aku ada terjumpa sebuah blog, katanya movie 50 First Dates lakonan Adam Sandler dan awek ni adalah inspirasi daripada kisah sebenar yang pernah terjadi pada Michelle Philpots, yang meneruskan hidupnya setiap hari disamping seorang lelaki yang akan meyakinkan beliau bahawa mereka telah pun berkahwin. apabila beliau menafikan, suaminya menunjukkan gambar gambar kahwin mereka yang telah disimpan berbelas belas tahun yang lalu kepadanya. selepas itu barulah Mrs Philpots yang menghidapi amnesia mempercayai segala yang suaminya Ian, katakan padanya adalah benar.


Gambar Michelle Philpots bersama sebahagian daripada berpuluh puluh nota yang ditulis beliau kepada dirinya sendiri.


Michelle dan Ian pada hari perkahwinan mereka pada tahun 1997. Beliau kehilangan memori jangka pendek pada tahun 1994 dan setiap hari sejak itu suaminya perlu meyakinkan beliau bahawa mereka telah berkahwin. Kadang kala Ian bertindak menunjukkan gambar perkahwinan mereka untuk membuktikan mereka adalah suami isteri.


Michelle Philpots yang sudah berusia 47 tahun berada dalam keadaan begitu disebabkan kecederaan otak yang dialami dalam dua kemalangan jalanraya. Beliau boleh mengingati semua perkara sehingga tahun 1994 sahaja tetapi selepas dari itu semua perkara yang berlaku dalam satu hari akan dilupai keesokkannya.
Kisah beliau lebih kurang seperti jalan cerita 50 First Dates, movie tahun 2004 yang dibintangi oleh Adam Sandler, dia berusaha untuk memenangi hati Drew Barrymore yang tiada memori jangka pendek berikutan kemalangan kereta.
Mrs philpots bukan sahaja berusaha mengingati orang yang disayanginya, beliau turut mengunakan beratus ratus kertas kecil ataupun sticky notes dan juga reminder di kalendar telefon untuk memastikan beliau sentiasa ingat sebarang temujanji dan tugas harian.
Apa apa urusan yang telah beliau selesaikan mestilah direkodkan untuk rujukan di masa hadapan. dan kadang kala beliau keluar dari rumahnya di Spalding, Lincolnshire, dengan berbekalkan Satellite Navigation (SatNav).
Walaubagaimanapun perkara ini ada baiknya, baginya tiada ulangan di tv dan setiap lawak jenaka tu menghiburkan kerana itu adalah kali pertama beliau mendengarnya.


"Seperti saya hidup dalam satu hari sahaja, dari hari ke hari" kata Mrs Philpots yang menjadi sukarela melakukan kerja amal untuk membantu orang kurang upaya selama 3 hari dalam seminggu.
"Saya gemar menonton EastEnders tetapi saya tidak dapat mengingati sebarang watak atau jalan cerita."
Suami beliau, pemain pedang yang berusia 46 tahun menyatakan rahsia perkahwinan yang berjaya adalah kesabaran. "Ia boleh menjadi sangat mengecewakan saya tetapi saya perlu bersabar dan faham. Saya perlu bertenang kerana saya mencintai dia" katanya.
"Saya telah mengenali dia selama 25 tahun jadi saya bernasib baik kami bertemu sebelum dia terlibat dengan kemalangan kerana dia mampu mengingati saya. Nasib baik kami mempunyai banyak gambar untuk mengingatkan dia, jika tidak dia akan lupa segala galanya."
Mrs Philpots mengalami kecederaan otak dalam kemalangan motosikal pada tahun 1985 dan kemalangan kereta pada tahun 1990. Pasangan ini tidak mempunyai anak.

Kemalangan kereta pada tahun 1990 yang berlaku 5 tahun selepas kemalangan motosikal. kemalangan tersebut menyebabkan beliau kehilangan memori jangka pendek.



Kes Michelle Philpots sama seperti jalan cerita di dalam filem 50 first dates, watak utama yang dilakonkan oleh Adam Sandler dan Drew Barrymore. Drew Barrymore yang memegang watak Lucy, mengalami kehilangan memori jangka pendek dan setiap hari dia lupa orang yang dicintainya Henry, dilakonkan oleh Sandler.


Dr. Peter Nestor, seorang pakar nuerosains di Universiti Cambridge berkata, Mrs Philpots telah menderita anterograde amnesia.
katanya lagi " ia perkara munasabah yang jarang berlaku tetapi ia tetap wujud. kita mampu untuk meneruskan hidup dari hari ke hari dan tidak lupa untuk melakukan sesetengah perkara seperti bercakap. tetapi jika seseorang bertanya apa yang dilakukan semalam, kita tidak akan dapat menjawabnya."


*************


Habis di situ cerita dia. perkara utama yang aku nak sampaikan di sini, bila aku buang air kecil masa aku tengah sakit teruk dulu akan terdapat darah sedikit, bila aku ada sedikit peningkatan dalam mengingati sesuatu, bila aku semakin pulih, kencing berdarah yang aku sendiri tak pasti sama ada mendatangkan kesakitan pada aku waktu tu ataupun tidak telah bertukar kepada kencing tanpa darah tetapi sakit, kadang kala amat sakit. yang jadi 'amat sakit' tu kalau semua benda aku makan.

Hah aku baru teringat di hari pertunangan kakak sulung aku pada bulan Ogos tahun 2012, macam biasalah kalau aku tak duduk di kerusi malas tempat aku bertapa dari mula mula sakit dulu, aku akan dibaringkan di atas tilam ataupun katil, tak mungkin aku akan duduk di beranda rumah sambil bermain catur pula kan. nak jadikan cerita yang aku ingat hingga ke hari ini, dalam pada masing masing sibuk (ataupun sengaja buat buat sibuk) dan aku pulak masa tu tak mampu nak bergerak sendiri walau sehasta jaraknya, ntah macam mana di sebelah tempat aku berbaring ni ada dua bekas muffin. siapa yang letak di sini woi? saja nak goda aku supaya makan benda tu kan, satu muffin coklat dan satu lagi oren. konsep yang aku pegang hingga ke hari ini, sekali sekala nak makan makanan yang mendatangkan sakit biarlah makanan yang betul betul sedap, baru berbaloi. akhirnya muffin yang mampu dicapai tangan aku tu, habis aku makan. aku pilih yang coklat. allahu sedapnya. by the end of the day tau apa yang aku dapat? Ya aku sakit kecing sangat sangat, padan muka siapa suruh makan benda tu.
Berbalik pada topik utama pasal sakit kencing yang aku cuba sampaikan ni, waktu begini satu benda yang aku pasti tentang badan aku; kalau aku jaga pemakanan, kalau aku tak makan pelik pelik, in shaa allah aku selamat dari sakit kencing. kalau aku melantak semua benda, tak jaga makan, aku tau kejap lagi aku akan sakit kencing. waktu ni senang nak faham badan aku, diibaratkan 1 + 1 = 2, tiada pula penambahan DyDx dan sebagainya. masalah berkaitan buang air kecil je la boleh guna teori ni, tidak termasuk masalah pengsan aku dan yang lain lain lagi.

Mereka terus menjaga aku dengan rutin yang sedikit berbeza dari sebelum ni. kalau dulu boleh dikatakan aku bocor pada setiap waktu pagi, tetapi sejak bulan Julai 2012 yang lalu, aku dah jarang bocor di katil pada setiap pagi, eh 'jarang' bukannya 'tiada langsung' tau. salah satu faktor yang boleh jadi kebocoran setiap pagi ni berkemungkinan juga sebab dulu aku tidak mempunyai 'rasa nak buang air kecil', aku hentam melepas je dalam keadaan posisi badan aku yang baring mengiring, dan akhirnya pomm basahlah seluruh alas tikar getah aku tu. tapi sekarang 'rasa nak buang air kecil' tu telah wujud di badan aku dalam bentuk sakit kencing, sedikit sebanyak masalah bocor di setiap pagi dan tidak mempunyai 'rasa nak buang air kecil' tu telah selesai dan digantikan dengan sakit kencing.


***********


Tengah tengah aku google berkaitan telinga dan pendengaran untuk mencari hubung kait antara telinga aku yang selalu tersumbat dengan badan aku yang tak stabil ni, benda ni pulak yang aku terjumpa, alangkah untungnya aku dan kita semua yang masih sempurna pendengaran.

Ini selingan je..


November 2012

Setelah aku mula untuk melangkah sikit sikit ni, walaupun aku masih perlu memeluk dari belakang sementara kedua dua tangan aku memaut pada leher mak aku untuk membantu aku berjalan, tapi sekurang kurangnya ini satu lagi perkembangan baik menandakan aku sudah mula untuk mengangkat kaki dan seterusnya melangkah. walaupun kadang kadang aku ditegur juga kerana masih berjalan tidak mengangkat kaki dan hanya mengheret kaki membiarkan mereka membawa seluruh berat badan aku. begitulah permulaan aku untuk mula berjalan, ada kala aku malas dan mungkin juga penat. yang pasti semenjak dua menjak selepas perkembangan baik ini, seiring dengan itu telinga aku selalu tersumbat.


Secara tak langsung masalah ini telah menggerakkan kaki kami menuju ke sebuah poliklinik di kampung ni untuk berjumpa dengan doktor. dalam keadaan aku yang berkerusi roda, ditambah pula doktor di situ dapat tahu aku masih lagi berpampers, beliau mula mencadangkan pada mak aku supaya mendaftarkan aku sebagai orang kurang upaya. menurut doktor tu lagi aku boleh didaftarkan sebagai orang kurang upaya seawal 6 bulan selepas hilang upaya. tapi maklum la, untuk satu tahun yang pertama ni mereka semua sibuk menjaga aku dan kami semua melalui satu peringkat baru dalam hidup hingga tak terfikir pun tentang kad OKU, tentang mendaftarkan aku sebagai orang kurang upaya dan juga tentang segala yang berkaitan dengan kecacatan.
Dengan apa yang terjadi di poliklinik itu akhirnya mak aku usahakan untuk mendaftarkan aku sebagai orang kurang upaya, selepas lebih kurang setahun sebulan dua minggu aku hilang upaya, pada 19 November 2012 secara officialnya barulah aku menjadi warga kurang upaya yang sah. Eh macam nak dapatkan kewarganegaraan pula.


Bulan November tahun tersebut juga merupakan kali pertama aku ke hospital besar semula, bukan poliklinik, bukan farmasi, dan bukan juga dalam keadaan tidak sedarkan diri ataupun koma, sebaliknya mak aku bawa aku ke sana untuk berfisio. aku tak pasti yang mana satu, sama ada aku menerima kad OKU dahulu ataupun aku dibawa ke hospital untuk berfisio dahulu. Di sana aku diajar membiasakan penggunaan tangan kiri aku yang agak tak teratur pergerakkannya, aku susun cawan kemudian aku telingkupkannya, bermain dengan lego menggunakan tangan kiri aku.
Keadaan tangan kiri aku bukan macam parkinson, tapi sesuatu pergerakan yang dilakukan tangan kiri aku tu macam tak tepat, aku sendiri susah nak kawal. sebagai contoh kalau nak tolak cermin mata, aku takkan guna tangan kiri aku sebab nanti tangan kiri aku akan tersentuh pipi ataupun tersentuh hidung. aku lebih senang gunakan tangan kananku. begitu juga kalau melakukan aktiviti lain, aku akan elakkan tangan kiriku daripada bekerja. pernah sekali aku cakap pada physiotherapists perempuan yang bantu aku melakukan aktiviti di situ, "orang lain umur 19 sibuk belajar, saya pulak tengah main lego" kemudian aku senyum..
Nak buat macam mana, dah ini bahagian aku di dunia ni kan, setiap orang pasti ada menghadapi kesusahan dan ujian masing masing.
Disebabkan aku sudah mampu untuk melangkah sedikit, ada satu ketika physiotherapists di situ tak membenarkan aku gunakan wheelchair. aku perlu berjalan masuk ke ruang rehabilitasi dengan berjalan kaki dan menggunakan walking frame / walking support, tidak dinafikan, untuk masuk ke situ saja sudah mengambil masa yang lama. Lebih kurang sebulan mungkin aku sempat beberapa kali melakukan aktiviti di hospital tersebut sebelum satu peristiwa yang berlaku pada aku sekaligus menyebabkan mak aku berat hati nak bawa aku ke situ semula. ini semua kerana kali terakhir dulu aku hampir pengsan selepas aku berdiri di atas sekeping papan dan bawahnya pula terdapat bola (lebih kurang itu gambaran untuk peralatan tersebut, aku tak tau apa bendanya tu). mak aku paling panik bila aku hampir pengsan tapi tak jadi pengsan, bila aku dah pengsan, bila keadaan aku yang hampir muntah tapi tak jadi muntah, dan bila aku dah muntah.

Ada orang kata walking frame ni macam kandang saksi di mahkamah tu..ceh





27 Januari 2013.

Dalam pada itu aku masih lagi berubat cara alternatif sejak dibawa pulang ke rumah dulu. cumanya kalau mula mula dulu ada ketikanya sehingga kami perlu bermalam di tempat aku berubat tu, sekarang kami tak perlu lakukan hingga ke tahap itu lagi. tapi masih lagi perlu bertolak pagi pagi, macam biasalah katanya "saraf lembut pagi pagi hari". Setelah lebih kurang setahun 4 bulan aku terbaring tanpa mampu berjalan, merangkak ataupun mengesot, akhirnya pada 27 Januari 2013 merupakan hari pertama aku dapat berjalan semula tanpa tongkat. punyalah excited, setelah pulang ke rumah dari tempat aku berubat tu aku terus update status di facebook untuk beritahu seluruh dunia, haha. aku mula berjalan pada hari tersebut bukanlah seperti orang normal yang sihat tu, aku perlu angkat kedua dua tangan aku ke paras dada sehingga menampakkan ketiak macam budak kecil baru belajar berjalan gitu, aku melangkah dengan sangat perlahan, lebih perlahan daripada siput khinzir. tak ingat pula waktu tu aku gayat dengan ketinggian aku ataupun aku lebih takut akan terjatuh, mungkin juga kedua dua nya sekali. kerana dalam masa yang sama aku memang rasa tak stabil langsung, boleh jadi aku tumbang ke sebelah kanan atau kiri, boleh jadi aku tersungkur ke depan, boleh jadi aku jatuh ke belakang.


Sangat susah untuk aku mengimbangkan diri sendiri. ye cerebellum tu punca.






Sekian..terima kasih daun keladi kepada yang sudi meluangkan masa untuk baca..

Wednesday, August 31, 2016

'Bersyukur' bukan ketika musim kemerdekaan sahaja






Merdeka . .
Merdeka . .
Merdeka . .
(Suka hati kau lah nak 3 kali atau 7 kali, yang penting laungkan dengan penuh semangat ye)



Apabila bercerita tentang kemerdekaan, kerap kali dikaitkan dengan nilai sebuah kebebasan, susah payah mencapai kemerdekaan di tanah air sendiri, ataupun boleh jadi bersyukur dengan keamanan@kedamaian@ketenangan yang diperolehi.
Ya kita patut bersyukur(sebut cukuur~) di atas kemerdekaan yang diperolehi. tetapi kali ni aku bukan nak bercerita pasal kemerdekaan pun, cukup aku terjemahkan semangat patriotisme aku kat atas sekeping kertas lukisan ni. di sini aku hanya nak sentuh tentang 'syukur' yang menjadi elemen penting di sebalik cerita kemerdekaan. tetapi dari sudut yang berbeza, lebih kepada apa yang berkait dengan kehidupan seharian kita. Hmm macam pening je ayat aku ni.



....



Mungkin aku ni hujan..
Kadangkala dipuji.. kadangkala dikeji..
Namun aku tetap turun membasahi seisi makhluk
Yang memanggil manggilku..
Saban hari..
Manusia yang beremosi.....
Lebih aku benci dari daun yang sepi.




Aku pernah berkawan di alam maya dahulu dengan seseorang yang berbakat dalam penulisannya pada pandangan mata aku, dan ini merupakan hasil tulisan tangannya, aku admire sangat dengan yang ni so aku simpan.
Nukilan ni tak menceritakan secara keseluruhannya tentang diri si penulis yang diibaratkan seperti hujan. atau tidak juga menceritakan segala bakti dan layanan yang diterimanya semula.
Seperti yang telah dijelaskan pada aku, ini cerita perihal orang orang yang merungut tentang rezeki.
Hujan itu kan rahmat, bila turunnya hujan ada saja yang merungut. begitu juga kalau sebaliknya yang berlaku, berminggu minggu tak hujan, apatah lagi berbulan bulan, pasti ada yang merungut.
Ayat last sekali tu baru menceritakan tentang diri si penulis, cerita akan kebencian terhadap golongan tadi menebal berbanding orang yang hidup susah lagi tidak merungut (diibaratkan seperti daun yang sepi).

Ini nasihat untuk diri sendiri jugak, sama samalah kita.. dan kesimpulannya di sini, tak usah lah kita duk merungut je. kalau memang 'jenis' kita yang suka merunguttt ni / dalam bahasa lembutnya-suka describe secara negatif sesuatu situasi itu, apa kata bila kita mendapat satu benda yang dikira nikmat, ucapkan alhamdulillah ataupun kalau yang bukan Islam tu cuba berterima kasih pada tuhan kau ataupun tunjukkan dengan cara kau 'menghargai'.. Ingat, bila perkara yang tak disenangi berlaku, jangan tahu nak Describe Secara Negatif je. selalukan jugak diri tu nak bersyukur dan menghargai pada perkara baik yang datang kepada kita, biarpun sekecil kecil perkara.


-Satel

Saturday, August 20, 2016

Hai ape kabare semua..
Entri kali ni tak bermanfaat sangat pun, jangan baca kalau anda sibuk.




Harini usaha aku nak menyiapkan menulis cerita pengalaman setahun jagung aku ni. macam biasalah, layari internet/menggoogle merupakan cara utama untuk aku buat rujukan sikit sikit selain bertanyakan pada ahli keluarga aku sendiri. ceh macam nak siapkan thesis pulak ada rujukan bagai. google punya google, ada yang bermanfaat, ada jugak yang menghabiskan tenaga dan masa aku je.

Dannn akhir sekali penutup kepada aktiviti google aku pada malam ini disebabkan aku terjumpa satu blog. lawak boleh tahan la ayat ayat yang digunakan dalam entri tu, menghiburkan, menarik minat, boleh la buat tersenggih. yang jadi lagi best bukan sebab apa pun, blog tu dimiliki oleh seorang perempuan. haha.. jarang aku nak jumpa manusia bergender perempuan suka menulis dengan cara penyampaian yang lawak (mungkin ada bersepah, aku punya alasan je untuk suka blog tu kot).


. . .
. . .


Yang jadi aku rasa nak tido terus takde mood nak sambung menulis sebab baca entri blog yang baru aku jumpa tu la, lepas satu satu aku baca, berapa banyak kali 'older post' yang aku tekan. Sampai la aku terjumpa satu entri ada pasal anak dia. Hah!Dah beranak?!.. aishhh ada betul jugak teori aku dari zaman dahulu kala, yang cantik selalu dah berpunya.. haha jangan pakai teori tu, aku saja nak berkongsi.
Ok aku takde mood ni, feelingless, smelless, bye.

Saturday, August 13, 2016

Kehilangan memori jangka pendek (short term memory loss)


'Lebih kurang 9 bulan kemudian, bulan ini banyak perkara baru dan pelik yang berlaku pada aku. di sebelah pagi aku terdengar orang bercakap seperti berbisik bisik di dapur. awal pagi sebelum subuh agaknya, ntah apa yang mereka bualkan, mereka tak ubah macam tengah mencuri makanan. di sebelah malam pula bunyi bising di luar rumah seakan akan bom meletup.'


Julai 2012.

Ini adalah sambungan daripada entri sebelum ni (klik sini untuk baca).
Boleh dikatakan setiap malam sejak kebelakangan ini asyik dengar bunyi bom meletup letup di luar rumah. eh bukan! bukan bunyi bom. aku pasti itu bunyi mercun. tapi apa yang menghairankan, mengapa aku tak bermain mercun dengan adik aku di luar? mengapa aku terbaring dalam bilik? mengapa aku tak keluar rumah?. semua persoalan tu baik tinggalkan saja tak perlu dijawab, sebab masa ni terlalu banyak perkara yang pelik berlaku dekat aku, berlaku di sekeliling aku. di sebelah malam bunyi mercun, di sebelah pagi pulak bunyi bising di dapur. dalam lebih kurang pukul empat ke lima pagi aku akan terjaga kerana mendengar mak dan kakakku curi curi makan di dapur. mengapa mereka perlu makan diam diam awal pagi begitu? dah la tak ajak aku makan. pada masa yang sama aku diberikan sebuah handphone skrin besar. sejak kebelakangan ni habis aku gelebek dan teroka handphone tu, setiap kali aku terbuka gallery dan lihat gambar kawan course aku, aku tau tu bukan muka aku dan hati aku terdetik, "macam familiar je tengok muka dia tapi serius aku tak ingat siapa". aku selongkar lagi sampai ke bahagian 'bluetooth', perkara kedua tentang gadget berskrin besar tu yang buatkan aku tertanya tanya, mengapa aku menggunakan nama "mu duk manno" untuk nama bluetooth handphone tu, itu kan bunyi seperti loghat kelantan.
Kemudian setiap kali bangun pagi aku mesti dalam keadaan basah lejut di atas kain yang sudah basah bercampur air berbau hancing. kenapa aku harus buang air kecil atas katil? kenapa aku tak buang air kecil di tandas? habis semua basah, seluruh badan aku basah, sampai ke lengan dan leher turut basah, kaki jangan ceritalah. keadaan bermandikan air kencing yang harus aku lalui setiap pagi tu diiringi dengan soalan yang aku ajukan pada mak aku juga di setiap pagi,
"mak, kita kat mana?"
Puas la mak aku suruh ingat jalan masuk ke taman perumahan ini ataupun bertanyakan aku pernah bersekolah di mana, dan bermacam lagi usaha yang mak aku lakukan. yang aku hairannya, aku kenal pula wanita di depan aku tu adalah mak aku. waktu ni aku belum menyedari hakikatnya yang aku ni sakit, aku hairan mengapa perlu buang air dalam pampers. sebab tu di hari hari mendatang ni apabila aku tengok orang yang sakit teruk, aku selalu tanya mak aku, "mak diorang tahu tak diorang sakit?".. antara seorang manusia yang tahu dia tengah sakit dengan seorang manusia yang tak tahu langsung apa yang dia sedang lalui, aku lagi kesian dekat mereka yang sedar dan tahu yang mereka sedang sakit teruk, sebab dalam keadaan begitu dia waras akal fikiran dan sedikit sebanyak pasti hadir rasa sedih dalam diri bagi mereka yang mengetahui mereka sedang sakit.

Semua kebingungan ni agaknya telah mendorong aku untuk bertanya pada mak aku di setiap pagi apabila beliau masuk ke bilik ini, bilik apa ni pun aku tak tahu. hah bilik ni pun satu lagi perkara yang sangat pelik pada aku, seingat aku pintu bilik sebelum ni di sebelah kanan pada bahagian kepala, tapi sekarang bilik yang aku duduk di sini mempunyai pintu di sebelah kiri pada bahagian kaki. masa tu puas aku cuba kenal pasti aku berada di mana. yelah aku tak pernah langsung tidur di bilik ni masa sihat dahulu, macam mana aku nak tau.
Apabila dikenangkan kembali kisah dan persoalan persoalan itu semula, semua cerita  tu adalah apa yang aku pernah rasai, dan itu sahaja persoalan persoalan yang timbul dalam benak fikiran aku yang masih aku ingat hingga ke hari ini. banyak lagi perkara lain yang berlaku pada aku dalam seharian dahulu cumanya tak timbul pula soalan soalan yang pelik, aku jalani sahaja kehidupan aku yang hidup segan mati tak mahu dahulu tu tanpa persoalkan; mengapa diorang perlu suap aku makan?, mengapa diorang mandikan aku?, mengapa aku buang air dalam pampers?, atau mungkin juga soalan seperti siapa diri aku sebenarnya ni?. dan boleh jadi banyak lagi soalan lain tapi semua tu tak terlintas di fikiran aku.

Cuti semester kakak ketiga aku telah pun bermula, maka bermulalah pula episod dia dan mak menjaga aku. jadinya yang berlaku di awal pagi seperti orang mencuri makan tu adalah kakak ketiga aku bersama sama dengan mak, setelah beberapa tahun berlalu baru aku tahu mereka bukan curi curi makan tetapi mereka tengah bersahur, mereka perlu makan di dapur secara diam diam untuk mengelakkan aku terjaga. kalau aku terjaga bertambah lagi la kerja mereka nak suap aku makan dan gosokkan gigi aku, sedangkan mereka sendiri nak kejar bersahur. waktu tu aktiviti makan aku mengambil masa yang lama, itu pun dah satu hal. biasanya bila dah bersahur, secara automatik aku pun turut berpuasalah haritu melainkan pagi sikit atau tengah hari nanti aku minta makan. dalam keadaan diri aku yang macam tu dapat juga enam hari berpuasa tahun tersebut. Ermm tapi jujur aku cakap, solat pun tidak, aku puasa pula kerana apa? ya tepat sekali, aku puasa sebab terjaga masa kakak dan mak aku bersahur. kemudian mereka akan gosokkan gigi aku. Mereka akan dudukkan aku di birai katil, beberapa saat sahaja bertahan kemudian perlahan lahan badan aku akan senget. dan terus senget, lalu terjatuh. aku tau dari dulu mereka suka mengajuk gaya badan aku yang menyenget kemudian jatuh tu, aku memang tak boleh nak duduk sendiri lagi masa tu. oleh itu sementara kakak aku mengosokkan gigi aku, dalam keadaan berbaring mak aku akan bertindak menyokong badan aku menggunakan kaki sama seperti keadaan yang berlaku pada pokok kacang.
Itu cerita mereka gosokkan gigi aku. kalau mandikan aku pulak, mula mula dahulu mereka akan mandikan aku di atas kerusi malas yang telah dibawa ke dalam tandas, tapi masa ni rasanya aku jarang mandi di tandas sebab banyak masa aku dihabiskan dengan duduk di kerusi malas dan tidak berpeluh. jadinya yang selalu mereka lakukan hanyalah lap badan aku menggunakan sehelai kain kecil setiap hari, itu sudah memadai. kadang kadang kain kecil yang mereka gunakan untuk lap badan aku tu berbau wangi, aku tau air yang digunakan tu menyebabkan wangi. aku tau sebab baldi yang berisi air wangi tu dibawa hingga bersebelahan tempat aku bertapa ni.


"dari tarikh aku koma sehinggalah saat aku dapat semula memori aku iaitu lebih kurang awal bulan Julai 2012, selama tempoh tersebut aku berada dalam keadaan tiada memori. macam hilang ingatan lah ni."
Dulu aku selalu berpendapat begini, tetapi sebenarnya yang aku alami selama lebih kurang sembilan bulan tu adalah kehilangan memori jangka pendek ataupun kita panggil hilang ingatan jangka pendek, bukanlah hilang ingatan terus.
Apa itu kehilangan memori jangka pendek?
"Apabila seseorang mengalami kehilangan memori jangka pendek, dia mampu mengingati kejadian yang berlaku 20 tahun yang lalu tetapi kabur mengenai sesuatu perkara secara terperinci yang berlaku 20 minit sebelum itu.
Terdapat beberapa sebab kehilangan memori jangka pendek, antaranya hasil keadaan perubatan seperti sawan, epilepsi, pembedahan pintasan jantung, kemurungan juga boleh memberi kesan kepada memori jangka pendek dan lain-lain yang berkaitan dengan kecederaan atau disebabkan pengaruh luar yang lain. kekurangan oksigen untuk sampai ke otak juga boleh memberi kesan kepada memori jangka pendek. alkohol dan penyalahgunaan dadah, gegaran dan trauma lain yang melibatkan kepala turut berpotensi memberi kesan kepada memori jangka pendek. kehilangan memori jangka pendek merupakan salah satu tanda tanda awal demensia.
Orang yang pernah menjadi mangsa atau menyaksikan peristiwa traumatik seperti jenayah kekerasan atau kemalangan juga boleh mengakibatkan mereka mengalami ingatan jangka pendek."

Kesimpulannya koma tidak menyebabkan seseorang hilang ingatan. kedua dua keadaan koma dan kehilangan ingatan adalah disebabkan oleh kecederaan kepada otak. dan apa yang aku lalui dulu tu adalah kehilangan memori jangka pendek, bukan disebabkan koma tetapi disebabkan kecederaan kepada otak ataupun trauma yang melibatkan kepala. itu apa yang aku faham hasil daripada pembacaan artikel bahasa inggeris yang memeningkan, ish penat nak kena google translate.
Aku google lagi segala macam yang berkaitan koma, banyak pula terjumpa cerita semasa koma, katanya mereka jumpa itulah jumpa inilah, kononnya orang yang telah mati datang menemui si pesakit koma lalu memberikan semangat lah. ermm itu terserah pada nasib mangsa yang koma agaknya, mungkin la ada orang dapat jumpa sesuatu yang tak disangka sangkakan semasa mereka koma, ataupun sebaliknya. Ok ni perkongsian yang ikhlas, bagi aku pula, aku rasa aku takda pun jumpa apa apa semasa koma, kalau ada pun mungkin aku tak ingat. tapi 100% aku pasti aku tak dapat nak ceritakan pengalaman semasa koma, apatah lagi malam sebelum aku koma dulu tu, kata kawan kawan di kolej masa tu aku menggenggam botol minuman sehingga kemek. kisah genggam botol sehingga kemek pun aku tak boleh ingat, macam mana orang lain boleh ingat apa yang mereka lalui semasa koma?, ok dah cukup aku berhenti di situ.

Zaman zaman aku tengah mengalami short term memory ni, selalu sangat mak aku soal aku semula setelah selesai melakukan sesuatu aktiviti tu contohnya apabila dah selesai makan, lebih kurang beberapa jam selepas tu mak aku akan tanya semula apa yang aku telah makan tadi. ataupun orang yang datang menziarah, aku kenal sipolan sipolan waktu tersebut, setelah mereka pulang mak aku akan tanya siapa yang datang tadi. seperti kebiasaannya aku tak akan dapat memberikan jawapan kepada kedua dua jenis soalan mak aku masa tu.
Dua jenis soalan ni sampai sekarang aku ingat ingat lupa, terasa macam biasa dengar soalan ni, terasa macam pernah terjadi cuma tak begitu jelas dalam kepala, aku tau situasi ini terjadi pun melalui penceritaan yang dah berulang kali. soalan jenis ini yang selalu disoal pada aku, aku terasa macam ingat ingat lupa, tapi yang lebih teruk, siapa yang pernah ziarah aku masa tu, sampai sekarang aku tak tau dan tak ingat langsung. oh satu lagi, ingat lagi kawan rapat yang rajin mengikuti perkembangan aku dari mula tu?, dalam keadaan aku yang masih belum nampak normal ni, kawan perempuan yang merupakan kawan sekelas aku waktu sekolah menengah dulu selalu menelefon. maaf tentang ini pun aku tak dapat nak ingat langsung.

Seperti yang telah dicatatkan oleh aku pada sebuah buku atas dasar ingin menyimpan sesuatu yang mempunyai nilai tersendiri, pada tarikh 9 Julai 2012 aku mula menghantar mesej kepada orang pertama dalam kalangan kawan kawan menandakan aku baru sahaja mula untuk mengingati secara normal. kalau tak salah, 9 Julai ni sebelum tibanya hari raya. namun kesemua memori tak datang sekaligus secara serentak, sikit sikit, makan masa, hingga ke hari ini pun kadang kadang ada perkara lama yang pernah berlaku sebelum aku sakit dahulu tetapi baru sahaja aku ingati (ada benda lama memang aku dah sedia ingat, bukan semua benda yang lepas aku dah lupa). perkara pertama yang aku mula ingat dan sedari adalah aku pernah belajar di kelantan yang mempunyai kawan dan dia juga pernah bersekolah menengah sama dengan aku dahulu. shoolmate perempuan aku tu, dia orang pertama dalam kalangan kawan kawan yang aku mula ingat. masa tu aku macam terkejut campur teruja pun ada, sebab aku mula perasan sesuatu yang baru berlaku dalam hidup aku, aku dah mula ingat semula!. tapi masa ni aku belum sedar bahawa aku tengah sakit, cuma aku persoalkan mengapa aku sudah tak belajar bersama kawan kawan yang lain.

Aku masih ingat mesej di dalam handphone mak aku, ada beberapa orang kawan yang mesej mak aku dahulu memberikan kata semangat. mesej yang paling aku ingat ada menceritakan tentang penyakit scoliosis yang dihidapinya, katanya penyakit itu berpotensi membuatkan dia paralyse dengan niat memberi semangat untuk kami lebih kuat menghadapi ujian ini, ya aku faham tujuan mesej tu dihantar dan terima kasih. ikutkan keadaan badan aku ni yang cepat lupa, yang baru nak pulih dari masalah kehilangan memori jangka pendek, aku sepatutnya dah lama dapat lupakan mesej tersebut. tapi disebabkan aku baca mesej di dalam handphone mak aku tu berulang ulang kali maka sekarang aku tak dapat melupakan mesej tu secara keseluruhannya. Namun apakan daya, handphone nokia mak aku dan handphone berskrin besar aku tu telah rosak. kami masing masing masih menyimpannya, sebab ia ada sejarah dan cerita tersendiri yang sungguh bermakna di sebaliknya.

Oleh kerana ada sesetengah perkara yang telah aku lupa, maka aku kena lalui semula keadaan tersebut untuk mengembalikan ingatan aku tentang perkara tu, tapi itu kalau sesuatu peristiwa. kalau alamat email, kata laluan, ataupun nombor pin kad bank dan seangkatan dengannya, aku tak mampu untuk mendapatkan semula. rentetan daripada apa yang berlaku tu, pada 20 Oktober 2012 aku mula cipta akaun facebook baru sambil dibantu adik beradikku, untuk apa tujuannya pun aku tak pasti, mungkin sebab nak bagitau kawan kawan yang aku masih hidup agaknya. mula mula aku gunakan nama sendiri untuk akaun facebook tu, lama kelamaan aku tukarnya sendiri lebih kurang kepada nama Bersyukur Diberi Kesihatan dengan harapan ada manusia yang menyedari bahawa kesihatan adalah mahkota tak terlihat, dan tidak ada seorang pun yang dapat melihatnya melainkan mereka yang sakit. sebagai contoh, tidak perlu pantang untuk makan sesuatu tu dah merupakan salah satu nikmat yang cukup besar!


Tuesday, August 02, 2016

Hiburan sebelum aku memiliki gadget (BAHAGIAN 2)

 


Agaknya masa muda ayah aku suka kumpul benda ni,




Turunlah ke aku. aku simpankan koleksi ayah aku ni berserta aku punya yang tak seberapa ni.



Aku tau duit syiling satu sen dan sekeping syiling seringgit tu nanti akan ada nilainya so awal awal aku simpan 46 keping tu sebagai koleksi kepunyaan aku, tapi aku tak dapat la nak kumpul duit singapura atau duit thailand.

Minat aku mengumpul sesuatu barang yang ada nilai tersendirinya diteruskan lagi dengan mengumpul keratan keratan akhbar yang menarik di mata aku.


Masa ni minat betul aku dengan sejarah titanic. aku mencari segala cerita berkaitan titanic, aiceberg, dan cerita mangsa yang terselamat. punya la semangat sampai ke library di daerah ni aku pergi mencari. Vcd titanic pun ada kat rumah ni, siap beli yang ori lagi.


Akhir sekali perangai aku yang suka copy paste ayat ayat sedap ni jadi hobi aku, secara tak langsung dahulu ia mengajar aku cara untuk menulis dan berbahasa. akan tetapi sampai sekarang aku masih tidak sehebat orang lain dalam menghasilkan sesuatu penulisan.


p/s:
Alhamdulillah aku sempat merasai zaman kanak kanak yang seronok dalam keadaan sihat dahulu.. orang lain mungkin nampak itu perkara biasa, tapi bagi aku tak. melalui zaman kanak kanak dalam keadaan yang sihat nampak seperti perkara kecil. hakikatnya, orang yang tak dapat merasai nikmat seperti itu pasti mahukannya. Bersyukurlah sentiasa kawan.

Sunday, July 31, 2016

Hiburan sebelum aku memiliki gadget (BAHAGIAN 1)




Baru baru ni aku mengemas barang barang di bilik lama aku. ok la bukan satu bilik pun, cuma sebuah almari yang penuh dengan barang yang aku sayang. last sekali aku betul betul kemas sebelum sambung belajar dulu tu, rasanya pertengahan tahun 2011. koleksi pingat dan piala yang aku dapat sepanjang 11 tahun bersekolah, aku dah pun post kat fb dahulu sewaktu aku kemas cincai cincai. kali ni aku mengemas lain macam sikit, kira macam hari terakhir nak closing accaunt la (sori ntah apa aku merepek ni). kemudian terjumpa la barang mainan aku zaman dahulu kala.


Mula mula kita fokus pada gasing tu, kalau tak silap itu dipanggil gasing cina. maaflah kalau aku salah, aku pun dah lupa. yang penting tangan aku masih cekap ikat tali gasing cina tu tau. haha.. tapi aku tak try la baling gasing tu, rasanya konfem tak terpacak dan berpusing. masa sekolah rendah dulu lepas dapat beli terus main kat belakang kelas. fuh syahdu nya bila ingat balik. ( Erk lastik burung aku dah hilang! Sedihnyaaaa )
Alat permainan aku yang kedua tu ha yang penuh getah tu. ikat punya ikat punya belit, tadaa jadilah macam tu, aku namakan gunduk (bukan gundik, haram main benda tu woi). gunduk ni aku boleh cakap pengaruh daripada cerita Anak Anak Sidek, ha buku tu semuanya dah jual timbang kertas dan surat khabar lama so tak dapat nak tunjuk koleksi koleksi buku anak anak sidek yang tak seberapa ni. Berbalik pada cerita gunduk tadi, aku pun pernah acah acah jadi macam Bun lestik cicak tau. lepastu aku kumpul cicak cicak tu dalam satu plastik. bila plastik tu dah penuh, bercampur pulak dengan lendir ke darah apentah, aku start moto pegi buang kat sungai. rasanya Bun dia buang cicak tu kat parit kot. peh merasa jugak la aku benda benda macamni walau tak seberapa.
Seterusnya tutup botol tu atau orang panggil tudung oren atau macam macam nama lain lagi yang aku pun tak tau. ha kat sekolah rendah aku dulu kami guna nama CEPER, ni pun sejenis alat mainan yang mudah dibawa ke sekolah, sama je macam batu seremban. tapi sayangnya batu seremban takde dalam almari aku. aku tak ingat dan malas nak ingat sangat peraturan peraturan main ceper ni, cuma satu yang terlintas kat fikiran aku kalau sebut tentang permainan ceper ni, 'garip' atau 'garib'. aku hanya tau itu satu situasi yang berlaku dalam bermain ceper.
Barang yang keempat dalam gambar tu rasanya bukan lah kategori barang permainan zaman dahulu kala, tapi bagi aku papan catur tu penuh memori. tu bukan mainan aku pun, aku tolong simpankan barang mainan kakak sulong aku sebab bagi aku sampai satu ketika nanti, barang barang ni semua akan ada nilainya.

Majalah, komik, novel dan sebagainya banyak yang aku tak selongkar, sebab itu takde dalam almari yang aku perlu kemas ni. cuma sebahagian ini yang tersesat dalam kawasan aku mengemas.


aku pernah terbaca, dahulu kadang kadang orang berkenalan ikut belakang majalah majalah je. aku tak sempat merasa sebab masa zaman ni aku masih kecil lagi, aku setakat usha biodata dan gambar awek kat belakang majalah je. yang aku ingat selalu gambar posing atas motor, sebab diorang ada join kelab skuter. takpun awek bergambar tepi pasu. aduh sedihnya.


Childhood aku diteruskan lagi dengan aktiviti aktiviti yang sihat dan menyeronokkan bagi aku ketika itu.


Kereta tamiya dan kereta dash ingat? yang kena letak bateri kemudian On kan, terus bergerak. ha yang tu aku main dalam longkang sekolah, cantik je kereta tu bergerak ke kiri dan ke kanan dalam longkang kecik tu. Tapi yang di dalam gambar tu adalah kereta kawalan jauh atau cakap mulutnya kita panggil kereta control. bersusah payah aku simpan duit raya tahun tu semata mata nak beli kereta mainan tu, hish tahun tu dah la sikit je dapat duit raya!. Point yang aku nak sampaikan, baik kereta tamiya atau kereta dash, ataupun kereta kawalan jauh, penghujung hayat diorang aku akan pastikan diorang masih berjasa kat aku. biasanya aku akan bukak ambik enjin dia dan buang body kereta tu, enjin tu aku letak kat bot kayu yang aku buat. Berpusing pusing bot aku sebab takde kemudi, bukan gerak ke depan.. Haha
Magnet pun aku kumpul, seronok main benda benda ni!. wayar merah dan hitam tu dengan tempat bateri tu pulak bahan eksperimen aku. disebabkan ada kereta control dan juga tamiya tu, maka ini mendorong aku untuk cari penyelesaian kepada masalah kehabisan bateri. aku bercadang letak bateri tu, kemudian sambungkan wayar pada tempat letak bateri tu, wayar tu sambungkan pula pada kepala pengecas. konon konon aku nak cas bateri lah ni. last last terkejut badan aku sebab tersentuh sedikit diantara wayar dengan besi tempat letak bateri tu. haha pendek juga akal aku masa tu. ada juga cara lain yang diajarkan pada aku, kawan kawan aku masa tu kata jemur bateri tu kat bawah cahaya matahari, aku tak sempat nak belajar betulkah cara tu tapi aku rasa macam karut je.

Kemas almari punya kemas lagi, benda ni pula aku jumpa.


Ni satu lagi aktiviti aku masa dahulu, selalunya aku lakukan masa duduk di asrama dahulu. macam macam lirik lagu aku tulis atas kertas. lagu favourite aku lagu lagu lama, lagu retro. kertas yang dah dikonyotkan tu semua kategori lirik lagu lama. hadui membazir betul kertas kertas tu, secara tak langsung aku dah menyumbang kepada peningkatan penebangan hutan lepasni.

Thursday, July 28, 2016

Perubatan alternatif sebagai jalan keluar

 

Wahh baru sekarang ada masa senggang nak sambung cerita. maklumlah musim perayaan begini, agak susah nak cari masa lapang bagi kedua dua belah pihak, aku dan orang orang yang nak ditemubual. bila aku duduk melepak mereka sibuk, bila mereka berehat aku pulak yang sibuk. oh ya lagipun ini merupakan tahun pertama aku menyambut hari raya aidilfitri tanpa menggunakan wheelchair setelah 4 kali syawal berlalu, alhamdulillah best!

Ok sambungan haritu;
Setelah tamat episod episod kritikal aku di HUSM kubang kerian lebih kurang sebulan lamanya itu, kemudian aku dipindahkan ke hospital lain di mana berdekatan sedikit dengan tempat tinggal kami. tarikh tepatnya tak dapat dikenal pasti so ambik sekitar awal bulan depannya, yang pasti masa tu lebih kurang dalam minggu kedua bulan november. setelah dipindahkan dari husm, aku ditempatkan di wad pesakit lelaki sahaja di sebuah hospital di sini, dekat la dengan tempat tinggal kami. kalau tak silap aku duduk di sini hanya untuk enam hari sahaja. Su Yee pun tiada di sini untuk membantu, manakala hal hal berkaitan penjagaan aku pula telah menjadi rutin buat mereka. suap aku makan, tapi aku kemam je, tak mengunyah pun, aku tak berapa nak makan dah masa tu. salinkan pampers, tukarkan baju, lap seluruh badan aku, sehingga mereka perlu mengiringkan badan aku ke kiri dan ke kanan untuk lap di bahagian belakang badan.
Saudara mara dan kawan kawan lebih mudah untuk datang menziarah, yelah dekat sikit kan. setelah beberapa hari aku di sini, ibu kepada kawanku sewaktu di sekolah menengah dulu turut datang menziarahi aku. beliau datang bawa bersama seorang pengamal perubatan homeopati untuk berjumpa aku. Teringat sewaktu tingkatan lima dahulu, mak aku akan menjemput aku di asrama kemudian menghantar ke tuisyen dan sering kali dia akan tumpang sama untuk ke tuisyen. sekarang bantuan sebegini rupa pula yang mereka hulurkan pada kami.
Enam hari aku di sini sambil ditemani ahli keluarga seperti di kubang kerian dahulu, dengan rupa aku yang masih lagi seperti mayat hidup, aku hanya descharge begitu sahaja. menurut mak aku, doktor pakar berpendapat aku ni tak sakit, wallahualam aku difahamkan begitu. agaknya mereka pun dah tak dapat nak bantu apa apa.
Aku dibawa pulang ke rumah dalam keadaan yang entah apa akan jadi pada aku nanti, buat masa tu mak aku hanya bercadang mereka mungkin akan membeli sebuah katil sama seperti yang digunakan di hospital, mudah sikit untuk menguruskan aku. keesokkan hari setelah aku dibawa pulang ke rumah, mak dan ayah aku bertindak mengambil dan membawa ke rumah pengamal homeopati yang telah diperkenalkan pada mereka beberapa hari lepas semasa di hospital. Setelah melihat aku, kata perawat itu vitality aku tinggi, in shaa allah boleh sembuh.
Menguruskan orang sakit seperti aku memerlukan banyak tenaga kerja, tiga orang diperlukan untuk mengangkat aku sahaja, itupun masih susah. badan aku keras, badan aku tak mudah untuk dilenturkan ketika itu ataupun gambarannya lutut siku aku, dan bahagian lain badan aku yang bersendi susah untuk mereka 'mengononkan', misal kata kalau nak melakukan pergerakan untuk aku, mereka sendiri yang perlu menggerakkan anggota anggota aku. otak yang berfikir dari orang lain, anggota badan pula dari orang lain. ditambah pula dengan ketinggian aku lagi, hanya untuk bawa aku masuk ke dalam kereta pun sudah cukup susah. di sebabkan itu orang yang merawat terpaksa dibawa ke rumah kami. bahagian ni pun banyak yang aku tak dapat nak tulis, contohnya cerita mereka mengharungi ribut untuk menjemput orang yang merawat aku tu hanya mereka dan tuhan sahaja yang tahu betapa susahnya masa yang telah mereka lalui itu.




*****




Mula mula aku dibawa pulang ke rumah, aku dimandikan dengan daun daun apentah, cara tradisional yang dicadangkan oleh pak sedara aku. mereka heret kerusi malas yang aku gunakan hingga ke hari ini bawa masuk tandas, dan di atas kerusi tu mereka mandikan aku. Mereka panggil 'serung', untuk lembutkan urat urat. erk aku tak tau sangat yang pasal ni.


Selepas dibawa balik ke rumah pasti lebih memudahkan orang yang mengenali aku datang melawat berbanding untuk ke kelantan masa di husm dahulu. saudara mara, kawan kawan sekampung, kawan kawan dari zaman sekolah yang tinggal berhampiran malah kawan kawan UiTM juga ada yang turut datang melawat. dari jauh sanggup mereka datang ke rumah, ada yang bermalam di rumah, sebahagian yang lain tak tau la di mana mereka bermalam.
Fasa fasa ini mereka perlu bertungkus lumus menghantar aku berubat, apabila aku mainkan semula video yang sempat dirakamkan kakak aku dahulu ketika itu cukup mengambarkan penyakit saraf yang dihidapi. kakakku masukkan ubat ke dalam mulut aku. dengan mata aku yang tidak berkedip langsung, terbeliak je, setelah disentuh oleh jarinya barulah mataku terpejam sekejap. Masih ingat lagi tekak aku yang ditebuk masa koma untuk bantuan pernafasan dulu tu? kesannya aku masih tak boleh bercakap ketika ini. jadi aku hanya diam membisu, kaku tidak bergerak. macam anak patung.

keadaan kesihatan aku nampak agak merosot setelah pulang jika nak dibandingkan semasa di husm dulu, dengan aku yang hanya mengemam makanan sahaja ketika itu. jadi keinginan aku yang sudah mula untuk makan menjadi kayu ukur mereka bahawa aku menunjukkan tanda tanda positif untuk sihat. alhamdulillah setelah tiga hari menggunakan kaedah rawatan alternatif begini, aku telah menunjukkan tanda tanda positif untuk sembuh. oleh kerana segala benda mereka yang lakukan untuk aku, maka aku makan pun perlu bersuap. masa mula mula pulang ke rumah, pemakanan aku tidak teratur, apa yang aku perlu dan boleh aku makan pun tidak dititikberatkan sangat. lama kelamaan barulah aku mula makan nasi yang lembik tu, kadang kala mereka perlu suap aku makan sehingga dua jam lamanya. bila aku dah mula makan, mesti aku akan mula 'membuang' pula kan? jadi bermulalah satu lagi pengalaman baru buat mereka iaitu mencuci najis di katil..
Bila sampai masanya, mula mula sekali mak aku akan menggunakan surat khabar sebagai alas. kemudian mengiringkan aku. kalau mengiringkan ke sebelah kanan, alas surat khabar di sebelah kiri dan begitulah sebaliknya. seterusnya mak aku akan tanggalkan pampers tadi dan terus buang. yang pastinya mak aku akan menggunakan tisu yang dibasahkan dan juga tisu kering untuk mencuci berkali kali sehingga baunya hilang. selalunya tisu yang digunakan memang banyak. menurut mak aku lagi, cara mencuci najis ni berbeza beza dari semasa ke semasa mengikut keadaan kesihatan aku.
pampers masa tu pula sangat banyak yang digunakan dan sangat banyak yang perlu dibeli. lebih kurang dalam 25 bungkus sebulan yang perlu dibeli, atau mungkin lebih sedikit daripada itu kalau aku banyak berkumuh. masa tu pasaraya di tempat aku menjual sebungkus harganya lebih kurang RM 11 lebih.

Dalam satu hari memang aku akan dialih alihkan duduk di kerusi malas, wheelchair, takpun katil. aku tidak akan dibiarkan berada setempat dari pagi. kakak aku akan memegang ketiak aku manakala mak pula akan memegang kedua dua belah kaki untuk mengalihkan aku. lebih kurang setahun juga mereka perlu mengangkat begitu untuk mengalihkan aku dari satu tempat ke tempat yang lain.
Beberapa bulan yang pertama selepas aku keluar dari hospital dan juga setelah aku agak mudah untuk dialih alihkan, boleh dikatakan begitu kerap mereka bawa aku berulang dari rumah ke tempat berubat yang jauhnya tidak sampai dua marhalah itu. yang memeritkan adalah proses untuk keluarkan aku dari rumah tersebut. kalau kerja untuk mengalihkan aku dari satu tempat ke tempat yang lain di dalam rumah ini dikira agak susah, maka untuk mengeluarkan aku dari rumah dan bawa masuk ke dalam kereta adalah dua kali ganda kesusahan yang perlu dihadapi. Pagi pagi lagi selepas solat subuh mereka sendiri akan bersiap kemudian barulah mereka menyiapkan aku pula. disebabkan pintu depan rumah aku bertangga level anak anak, ini menambah lagi kerja mereka. mak aku akan meletakkan kenderaan betul betul di hadapan rumah. ok bahagian ni ada campur tangan ayahku untuk membantu. ayahku yang slip disc hanya menarik wheelchair secara mengundur ke belakang, tayar belakang wheelchair yang besar dahulu akan menuruni anak tangga. dan kakakku pula akan mengangkat sedikit tayar hadapan wheelchair yang lebih kecil agar tidak terhentak. walaupun mereka hanya perlu menghadapi anak tangga, tetapi anak tangga ni ada dua, anak tangga yang terpisah sejauh lebih kurang empat kaki.


Selesai di situ, mereka akan mengangkat dan memasukkan aku terus ke dalam kereta, bahagian bahagian wheelchair yang dicipta untuk dicabut dan dipasang semula akan mereka tanggalkan seperti pada bahagian kepala, penyandang kaki, penghadang di bahagian tepi kiri dan kanan dan seterusnya wheelchair tersebut akan dilipat. sebelum jam 6:30 pagi kami sudah bertolak untuk bawa aku pergi berubat, kerana katanya saraf lembut pagi pagi hari.

Kesan daripada tekak yang ditebuk menyebabkan aku tak boleh bercakap untuk beberapa bulan, atau perkataan yang lebih tepatnya adalah bisu. setelah lebih kurang empat bulan berlalu dalam keadaan aku yang bisu begitu, alhamdulillah akhirnya rezeki aku dapat bercakap semula. mungkin perkataan pertama yang keluar dari mulut aku adalah "mak", biarpun tak begitu jelas sebutannya, sekurang kurangnya itu satu perkembangan yang baik kan. Selama aku menjadi bisu, kami berhubung hanya dengan menggunakan isyarat tangan dan berpandukan suara mak aku, sehinggalah wujudnya dialog dialog yang mengundang sebak di dada;
"Pening berapa?"
"Satu? dua ke tiga?"
Dengan di sertakan gaya tangan dan jari yang menunjukkan isyarat satu, dua dan tiga, barangkali untuk lebih menjiwai komunikasi dua hala yang amat sukar tu. ataupun boleh jadi,
"Sakit banyak mana?"
"Sikit, sedang ke banyak?"
Sambil membuat gaya objek kecil, sederhana dan besar.
Banyak kali aku tonton cerita My Sister's Keeper, dan tak sangka di dalam cerita tu pun ada scene di mana doktor bertanya pada Sofia vassilieva, sebagai watak Kate fitzgerald yang menghidap leukemia menggunakan kaedah yang sama. menggunakan angka untuk mengukur level kesakitan. kalau tak silap, rasanya itu satu satunya yang pernah aku tonton filem sedih bagi Cameron diaz yang merupakan emak kepada Kate fitzgerald tu.
Selepas aku dapat bercakap kembali, aku diberitahu ada kawan rapat yang mengikuti perkembangan aku sejak dari hari pertama aku koma sehingga saat ini ingin bercakap dengan aku melalui telefon. Terima kasih, baik sungguh dan rajin betul dia mengikuti perkembangan aku masa tu. Haha pasti dia pun teruja aku dapat bercakap semula..

Pada peringkat awal aku dalam keadaan begini, anak mata hitam aku bergerak gerak ke kiri dan ke kanan tanpa diri sendiri ada kemampuan untuk mengawalnya. selalunya mak aku akan letakkan satu jari di hadapan muka aku dan meminta aku pandang tepat ke arah jari tersebut,
"pandang mak, pandang mak"..
Argh susah tau assignment ni, mata aku mesti bergerak gerak juga. aku tak pasti selama mana mata aku dalam keadaan begini. Pada fasa ini juga ada sekali saja aku pengsan dulu masa mula mula descharge dan balik ke rumah jadi tak banyak untuk diceritakan, yang banyak berlaku pada aku adalah muntah. Ada satu ketika tu kakakku beri makan buah betik, dek kerana aku yang tak reti untuk bagitahu dah kenyang ataupun tidak, maka aku pun muntah. mungkin kerana aku makan terlalu banyak. masa tu aku tak banyak bergerak, masih tiada respon, dan disebabkan takut aku akan lemas muntah dalam keadaan begitu, kakakku perlu menarik badan aku ke depan.

Sarung tilam pvc yang kebiasaannya pelajar perempuan gunakan untuk sarung tilam mereka semasa tidur di hostel tu boleh digunakan semula untuk tujuan yang sama cuma caranya berbeza. aku tak pasti sama ada kreativiti orang yang menjaga aku atau situasi yang menekan mereka menyebabkan idea tercetus untuk menjadikan sarung tilam pvc itu sebagai barang keperluan aku yang sangat berguna. setiap masa bilamana aku berada di katil, sarung tilam pvc tersebut akan dilipat untuk dijadikan alas di tempat aku berbaring dan tujuannya pun tetap sama. cuma aku namakan sarung tilam pvc yang telah ditransform itu dengan nama 'alas tikar getah'. sehingga ke hari ini aku masih lagi menggunakannya, kalau dahulu saiznya besar, tapi sekarang dilipat makin kecil, tak perlu bentang tikar getah besar besar. Setiap pagi lebih kurang selama setahun apabila aku bangun daripada tidur, alas tikar getah tadi yang dilapik dengan kain dan kesemuanya sekali akan turut basah dibanjiri dengan air kencing. setiap pagi pasti basah lejut!


 Oleh kerana aku ada ramai kakak kandung, jadi sementara menunggu bermulanya cuti semester kakak ketiga aku, kakak sulung aku terpaksa berulang dari serdang ketika itu hampir setiap minggu untuk pulang ke rumah demi membantu mak aku menjaga aku selepas kakak kedua yang menjaga aku sejak di husm sudah mula sambung belajar.